Sabtu, 11 Oktober 2014

MENGUAK TIRAI DERITA - Fragmen 1 Bab 5

BAB 5
Aku menyusun pinggan mangkuk yang akan kami gunakan untuk mengisi juadah makan malam. Kami makan tidak terlalu lewat. Kadang-kadang, selepas solat Maghrib, kami terus makan. Kadang-kadang ibu ajak makan sebelum bersolat kerana selepas solat Maghrib, ibu akan berwirid sehingga masuk waktu Isyak.
Aku sudah biasa dengan rutin ibu. Ibu tidak suka makan lewat malam kerana ibu mahu tidur awal setelah berpenat-lelah sehari suntuk di gerainya atau mungkin juga untuk menjaga kestabilan kesihatannya. Ibu yang bekerja keras seharian dan staminanya agak berkurangan ditambah dengan umur yang semakin meningkat.
Aku menjeling sekilas ke arah ibu  yang sedang berkemas-kemas di atas tikar sejadahnya. Kasihan ibu, sentiasa bekerja keras demi untuk menyara hidup kami berdua. Kalau ada ayah, tentu ibu tidak akan sesusah ini. Aku teringatkan ayah yang tidak pernah kulihat rupa parasnya.
Ibu bangun dan melipat sejadahnya selepas menunaikan solat. Mungkin ibu mahu mengajak aku makan lebih awal malam ini kerana dia tahu, aku mahu ke rumah Masyitah pula selepas itu.
Hatiku berbelah bagi juga. Pertama kali berbohong dengan ibu, aku jadi takut. Kalau sesuatu perkara buruk berlaku ke atasku, apa yang akan jadi pada ibu? Kalau tiba-tiba sahaja aku kemalangan dan dilenyek kereta semasa membonceng motosikal Abang Mahadi, apa pula tanggapan orang? Sambil berkemas sambil fikiranku mencari kewarasan. Kewarasan apakah yang akan aku temui?
Ibu, maafkan Roha. Bukan Roha hendak membelakangkan ibu dan bukan juga Roha mahu mengikut kata hati  tetapi Roha sangat-sangat ingin keluar dengan Abang Mahadi. Roha percaya Abang Mahadi baik. Roha percaya Abang Mahadi akan jaga Roha. Abang Mahadi akan melindungi Roha. Roha selamat bersama-sama Abang Mahadi.
Selesai makan malam, aku segera mengemas pinggan mangkuk dan membawanya ke singki. Semua pinggan mangkuk ini perlu kubersihkan supaya tidak terbiar hingga ke petang esok kerana awal pagi esok, aku sudah perlu bergegas ke gerai ibu tanpa sempat membasuhnya.
Aku merenung pinggan mangkuk di dalam singki. Buih-buih sabunnya menggelembung dan pecah berderai-derai terkena sentuhan jemariku. Hidupku juga mungkin seperti buih itu, muncul seketika dan kemudiannya pecah bersatu dengan udara.
“Roha, cepat sikit berkemas. Nanti lewat pula ke rumah Masyi.” Peringatan ibu mengejutkan lamunanku. Aku cepat-cepat menyudahkan kerjaku mencuci pinggan mangkuk itu. Tangan yang masih basah segera kukeringkan dengan kain batik di bahagian pahaku. Telapak dan belakang tangan itu kukeringkan silih berganti dengan cepat sekali.
Kemudian, aku cepat-cepat berlalu ke bilik. Menyarung baju kurung modenku dan kemudiannya menyarung pula baju panas yang besar gedoboh. Tujuannya untuk melindungi baju kurungku agar tidak terlihat oleh ibu. Aku tidak mahu ibu berprasangka yang bukan-bukan melihat aku melaram lebih-lebih malam ini.
“Roha jangan balik lewat sangat,” terdengar pesan ibu dari luar.
“Ya, ibu. Roha dengar,” sahutku sambil meratakan bedak di mukaku. Aku mahu kelihatan cantik malam ini. Aku tidak mahu mengecewakan Abang Mahadi. Aku mahu Abang Mahadi bangga membawa aku keluar bersamanya.Aku mahu Abang Mahadi puas hati dengan penampilanku malam ini.
Aku menarik laci almari solek. Tanganku menggagau di dalam laci itu. Mencari sesuatu yang telah sekian lama kusimpankan di situ. Ya, dapat pun.
Gincu itu aku keluarkan. Belum pernah kukenakannya untuk keluar berjalan-jalan. Selalunya, aku hanya memakai gincu itu di dalam rumah sahaja. Menari-nari di hadapan cermin dan berangan-angan yang bukan-bukan. Jadi puteri raja, jadi Snow White dan jadi entah apa-apa lagi.
Penutup gincu itu kutanggalkan tetapi aku masih teragak-agak untuk mengoleskannya di bibirku.
Aku terjengket-jengket ke muka pintu bilik sambil di tangan kiriku menggenggam penutup bekas gincu manakala di tangan kananku tergenggam gincu berwarna merah samar jenama Avon yang kupesan dalam katalog melalui Kak Julie yang menjadi pengedarnya.
Aku memanjangkan leherku keluar. Fuh…selamat. Ibu sedang menunaikan solat. Belum masuk waktu Isyak. Mungkin ibu menunaikan solat sunat. Aku bergegas mengenakan gincu bibir merah samar itu. Baju panas segera kutanggalkan lalu kubaling di atas katil. Aku perlu bergerak keluar sebelum ibu menyelesaikan solatnya.
Sewaktu kakiku telah menginjak anak tangga pertama dari atas, langkahku terhenti. Aku masih teragak-agak. Akhirnya, aku kembali semula ke bilik. Mengambil baju panasku dan kembali semula menuruni anak tangga. Pintu kayu itu kututup perlahan-lahan dan bunyi keriukannya tetap sahaja kedengaran dihasilkan oleh engsel yang sudah berkarat.
Sebaik tiba di tanah, aku melangkah ke bawah rumah dengan membongkokkan sedikit badanku. Baju panasku kugantungkan di tali dawai penyidai baju yang terdapat di situ. Sebagai persediaan sekiranya aku pulang di saat ibu masih belum tidur.
Sewaktu aku mahu melangkah keluar dari bawah rumah yang rendah itu kepalaku terhantuk pada gelegar kayu. Kuat bunyinya, rasanya macam bergegar sedikit rumahku atau mungkin otakku yang bergegar.
“Aduuhh…,” aku terjerit kuat. Kugosok-gosok kepalaku yang tiba-tiba sahaja membonggol.
“Roha…kenapa?” kedengaran suara ibu bertanya dari atas rumah.
“Tak ada apa-apa ibu. Tak ada apa-apa,” sahutku walaupun tanganku masih sahaja laju menggosok benjolan di atas kepala. Memang berpinar-pinar juga mataku.
“Roha,” panggil ibu. Ibu sudah membuka tingkap di atas rumah. Aku tidak berani keluar dari bawah kolong itu. Aku takut ibu nampak bajuku yang meriah ini. Aku duduk tercangkung sambil menggosok-gosok kepalaku.
“Tak ada apa-apa ibu, kepala Roha terhantuk gelegar. Sakit sikit je,” sahutku jujur. Jujur bab ‘terhantuk gelegar’ tapi kurang jujur bab ‘Sakit sikit je’ kerana aku memang benar-benar sakit. Sakit macam nak mati.
“Haaa…kalau macam tu tak apalah. Ibu bukan apa, takut runtuh pula rumah kita ni dihantuk dek kamu,” ujar ibu sambil kedengaran bunyi dia menutup daun tingkap.
Aduh, ibu! Masih sempat lagi dia mengenakan aku. Kalau diikutkan hati, rasa-rasanya aku ingin sahaja membatalkan pertemuanku dengan Abang Mahadi malam ini. Mungkin ini balasan pertama Allah terhadapku kerana membohongi ibu.

Ibu, maafkan Roha. Walaupun kepala Roha sakit tapi Roha tetap kena pergi sebab Roha sudah berjanji dengan Abang Mahadi. Kita tidak boleh mungkiri kalau kita sudah berjanji. Betulkan, ibu?

Tiada ulasan: