Selasa, 28 Oktober 2014

MTD Bab 49



BAB 49
 “Kamu ke mana, Roha?” sergah Wan Syamril, suamiku.
“Kalau ikutkan hati, aku sudah tidak ingin memandang muka engkau lagi. Engkau perempuan yang tidak mengenang budi. Tidak tahu dek untung. Madu yang kuberi, racun yang kau balas.” Dia semakin meninggikan suaranya. Suamiku yang baik ini tiba-tiba sahaja bersalin kulit.
Aku terkesima. Belum hilang penatku menguruskan majlis pengebumian ibu. Masih belum reda kesedihanku menangisi pemergian ibu. Sekarang dihamburkan pula dengan kata-kata kesat, bahang amarah daripada Wan Syamril sebagai menyambut kepulanganku. Bukan hendak bertanyakan tentang apa yang sedang aku lalui malahan dijerit-jeritkan pula.
Sudahlah berkali-kali aku menghubunginya, namun masih sahaja tidak dapat bercakap dengannya.
“Bang, maafkan Roha. Roha dah cuba hubungi abang tapi tak dapat.”
“Memanglah tak dapat kalau engkau asyik berkepit dengan jantan tu.” Air mataku tumpah lagi. Mungkin Wan Syamril nampak kereta Abang Mahadi yang menghantar aku sehingga ke simpang jalan tadi.
“Patutlah engkau tak kisah sama ada aku balik atau tidak. Rupa-rupanya sudah ada jantan  lain yang boleh engkau peluk, engkau cium siang dan malam.” Wan Syamril semakin menyinga. Aku tidak tahu  jin jenis apakah yang sedang merasuknya kini.
Mulutku seakan terkunci. Kepalaku kembali pening berpusing-pusing. Aku tidak dapat melayani amarah Wan Syamril. Aku berlari ke bilik air untuk memuntahkan isi perutku. Wan Syamril masih tidak berpuas hati. Dia mengekoriku dari belakang.
“Entah anak jantan mana pula yang ada di dalam perut kau sekarang.” Mulut Wan Syamril semakin cabul. Tidakkah dia kasihan melihat aku yang sedang terbongkok-bongkok menekan perut sambil memuntahkan isinya? Aku tidak mampu membalas cakapnya.
“Engkau ingat aku bodoh? Aku tahu, Wan Jamilah bukan darah dagingku. Aku dapat engkau yang sudah ditebuk tupai. Engkau patut bersyukur yang aku dah terima engkau selama ini. Jaga makan minum dan pakaian engkau. Lahir saja anak ini, aku ceraikan engkau dengan talak satu.” Lancar sahaja Wan Syamril menuturkan kata-kata itu sebelum dia meninggalkan aku yang sudah terjelepuk di dalam bilik air.
Kepala paip kupusingkan sehabisnya. Kubiarkan air deras memancut di atas kepalaku. Aku rasa begitu berat beban batu yang menghempap di atas kepalaku sekarang. Air mataku mengalir deras sederas air pancur yang menimpa ubun-ubunku. Ya Allah, aku tiada siapa-siapa lagi di dunia ini. Sampai hati Wan Syamril meninggalkanku. Sampai hati Wan Syamril menjatuhkan talak ke atasku.
Aku tak minta apa-apa malahan aku tidak akan menuntut hakku. Cukuplah sekadar dia menerimaku sebagai isterinya. Anugerah gelaran ‘isteri’ itu lebih bermakna buatku daripada segala-galanya yang ada di atas muka bumi ini. Ke mana aku dan anak-anakku akan membawa diri selepas ini?
Oh, anak-anakku. Masihkah ibu diberi kesempatan untuk bersama-sama kalian? Wan Jamilah! Bagaimana Wan Syamril tahu bahawa Wan Jamilah itu bukan daripada zuriatnya?Aku tidak pernah bercerita kepada sesiapa hatta kepada Abang Mahadi sekali pun, meskipun Abang Mahadi ayah kandungnya sendiri. Mungkin aku terlupa bahawa Wan Syamril telah mengahwini Masyitah. Tentu dia sudah dapat membezakan antara aku dan Masyitah, masih dara ataupun tidak.
Selepas itu, Wan Syamril pergi dan tidak pulang-pulang lagi. Aku juga tidak sempat untuk memberitahunya berita kehilangan ibu. Wan Syamril masih tidak mengetahui perihal kesedihan yang aku tanggung.
Rasanya lama betul Wan Syamril pergi sehinggakan aku sudah tidak merinduinya lagi. Oh Tuhan. Aku masih sahaja cuba untuk menyembunyikan kelukaan hatiku. Berbohong tentang perasaan hati yang bergelora. Walaupun Wan Syamril bukan lagi suamiku, namun aku tetap merinduinya dan mengharapkan kepulangannya untuk menjernihkan keadaan.
Aku juga tidak pernah bercerita kepada Puan Hajah Wan Maimun tentang status kami apabila aku selamat melahirkan bayiku kelak. Aku masih tetap biasa-biasa sahaja. Mungkin kerana aku telah biasa ditinggalkan berjauhan daripada Wan Syamril selama ini. Ada dia ataupun tidak, sama sahaja bagiku.
Sesekali, aku masih juga merinduinya. Merindui suamiku yang telah menyelamatkan maruahku dan mengangkat darjatku semulia ini. Tidak pernah terlintas di hatiku untuk memusuhinya apatah lagi untuk menyimpan rasa dendam. Terlalu banyak budi dan jasanya terhadapku selama ini. Namanya tetap kusebut dalam setiap doaku. Jasa baiknya tetap kusanjung sampai mati.
Aku tidak marah Wan Syamril mengahwini Masyitah. Memang selayaknya dia mendapat gadis yang baik-baik untuk dijadikan isteri. Lagipun, aku sudah tiada apa-apa ikatan dengan Wan Syamril. Lahirnya anak kecil ini nanti, talak yang dilafazkannya akan jatuh juga. Dia melafazkannya dalam keadaan dirinya yang masih waras. Aku mendengarnya dengan jelas.
Aku bakal menyandang gelaran janda. Itu bukan masalah berat bagiku tapi aku takut Wan Syamril kembali dan menceraikan aku secara rasmi. Aku boleh kembali ke rumah peninggalan arwah ibu tapi bagaimana dengan anak-anakku? Mustahil Hajah Wan Maimun dan Haji Nik Dasuki akan membenarkan aku membawa cucu-cucunya keluar dari rumah ini.
Saban hari, aku memanjatkan doa ke hadrat Ilahi agar kesihatanku baik-baik sahaja dan aku dapat terus bersama anak-anakku sampai bila-bila. Apa yang ALLAH berikan, aku terima dengan berlapang dada. Aku tidak mengharapkan Wan Syamril untuk menerimaku semula kerana aku tahu kepedihan hati Wan Syamril. Wan Syamril yang tertipu dengan perkahwinan kami.
Kalau dia kembali, aku hanya ingin memohon ampunannya. Hanya kemaafan daripada Wan Syamril sahaja yang mampu menenangkan jiwaku. Meskipun Wan Jamilah dan Nik Jamali ada bersamaku tetapi hatiku tetap terluka dan melirih. Sampai bilakah aku akan dibenarkan untuk mendampingi anak-anak ini?

Mereka darah dagingku. Mereka anak-anak yang kukandung selama  sembilan bulan sepuluh hari dan kulahirkan dengan mempertaruhkan nyawaku. Namun, mereka bukan hakku. Melihat cara layanan Tok Mummy dan Tok Daddynya, aku percaya, anak-anakku akan dijaga dengan sempurna meskipun tanpa aku bersama.

Tiada ulasan: