Jumaat, 31 Oktober 2014

MTD Bab 54




BAB 54
“Mak, kenapa ayah tidur dengan mak cik baru tu ?” tanya Nik Jamali pada suatu malam. Nik Jamali, sudah sembilan tahun usianya. Saat kata-katanya amat petah dituturkan. Aku meneguk liur. Mencari kata-kata yang sesuai untuk menjawab pertanyaan Nik Jamali. Nik Jamali, satu-satunya cucu lelaki zuriat Wan Syamril yang masih dikehendaki oleh Tok Mummy dan Tok Daddynya.
“Kenapa ayah tak tidur dalam bilik emak? Bukankah mak kata, itu ayah saya? Ayah sepatutnya tidur dalam bilik emak, kan? Kenapa ayah tak macam ayah-ayah yang saya lihat dalam tv dan ayah kawan-kawan saya?” Nik Jamali masih saja menyerangku dengan kata tanya dan persoalan hatinya.
“Jamali, Mak Cik Masyitah tu emak Jamali juga. Dia isteri baru ayah. Jamali kena hormati Mak Cik Masyitah macam Jamali menghormati mak sebab dia juga emak Jamali,” terangku kepada anak ini agar dia bisa mengerti duduk perkara yang sebenarnya dan yang pastinya, aku ingin dia membiasakan dirinya dengan ibu barunya itu.
Nik Jamali bakal kutinggalkan di rumah ini. Kehidupan dan masa depannya lebih terjamin di sini. Aku tiada apa-apa untuk diberikan kepada anakku ini. Suatu hari nanti, aku harap Nik Jamali akan mengerti makna pengorbananku ini. Sedangkan aku sekarang masih sahaja berkeluh-kesah tentang nasib dan masa dengan anak-anak perempuanku, Wan Jamilah dan Wan Jamnah.
Menyedekahkan harta untuk ALLAH cukup sepertiga sahaja, selebihnya buat ahli warismu yang lain. Ingatlah wahai sahabatku, meninggalkan hartamu untuk seorang ahli waris dalam keadaan cukup jauh lebih baik daripada meninggalkannya dalam keadaan miskin. Jangan sampai dia menadah tangan dan meminta sedekah daripada orang lain. –Nabi Muhammad S.A.W kepada Ibnu Mas’ud.
Aku kini sedang berkemas-kemas untuk berpindah. Tiada barang yang boleh kubawa, hanya pakaian dan sedikit barang-barang peribadi. Wan Jamilah agak keberatan untuk meninggalkan rumah besar ini. Rumah tempat dia dilahirkan dan dibesarkan. Rumah tempat dia mendapatkan sepenuh kemanjaan dan kasih sayang yang penuh daripada Tok Mummy  dan Tok Daddynya namun kini semua itu telah lenyap begitu sahaja.
Aku tidak berhasrat untuk tinggal menetap bersama keluarga Ustazah Sarifah. Aku merancang untuk kembali tinggal di rumah lamaku yang ditinggalkan arwah ibu dan berulang-alik ke rumah Ustazah Sarifah untuk mengasuh anaknya. Wan Jamilah dan Wan Jamnah sesekali datang tidur bersamaku di bilik ini.
Selalunya, mereka telah kubiarkan tidur berkongsi kamar di bilik bersebelahan ibu dan bapa mentuaku  tetapi selepas Wan Syamril kembali ke rumah ini, mereka lebih banyak menghabiskan masa di bilikku. Kata Wan Jamilah, ayahnya selalu memandangnya seperti ‘nak makan orang’. Aku hanya tertawa untuk melindungi resah di jiwaku dan memujuk Wan Jamilah agar tidak memandang asing terhadap ‘ayah’nya. Aku tidak mahu anak-anakku terhidu segala keresahanku.
Mungkin Wan Syamril sedang memikirkan tentang status Wan Jamilah. Kalau Wan Jamilah bukan anaknya, anak siapakah dia? Mungkin Wan Syamril telah mengesyaki Wan Jamilah ialah zuriat Abang Mahadi kerana aku pernah mendengar dia menuturkan begitu di hadapan  ayahnya dulu.
Suatu malam, Wan Jamilah dan Wan Jamnah tidur di dalam bilik mereka. Aku tidur bersendirian selepas kedua anak gadisku itu kembali ke bilik mereka. Tidak lama kemudian, aku rasakan katilku bergegar. Fikirku, mungkin Wan Jamilah atau Wan Jamnah yang datang semula untuk tidur bersama-samaku. Saat mataku mulai meruyup, kurasakan ada satu lengan besar yang melingkari perutku.
Aku yang masih di bawah paras sedar, tidak menghiraukan semua perlakuan itu sehinggalah aku terdengar desahan nafas yang cukup keras di cuping telingaku. Aku tersentak dan masih mengharapkan agar semua ini hanyalah mainan mimpi semata-mata.
Lama kelamaan, desahan itu semakin ketara dan aku tahu bahawa aku tidak lagi bermimpi. Malam itu, aku sempat menyelamatkan diriku daripada menjadi mangsa kerakusan Wan Syamril. Aku berlari ke bilik Wan Jamilah dan Wan Jamnah dan tidur bersama-sama mereka tanpa memberikan sebarang alasan.
Aku rasakan bahawa aku sudah tidak selamat lagi untuk terus berada di rumah ini. Aku bimbang jika aku akan tertewas di dalam rangkulan Wan Syamril kerana sesekali terbit juga nafsu kejahatanku untuk melayani kehendaknya. Oh, Tuhan. Jangan lagi aku diuji dengan nafsu kejahatan ini. Kenapa Wan Syamril masih ingin memesraiku sedangkan aku bukan lagi isterinya?
Seboleh mungkin, aku akan cuba mengelak daripada bertembung dengannya. Masyitah pun memang tidak pernah mahu bertegur sapa denganku. Kalau aku menyediakan makanan di dapur, dia akan terus menguncikan dirinya di dalam bilik. Kadang-kadang, aku melihat dia berbual-bual dengan Hajah Wan Maimun di taman sambil mendukung anaknya.
Bahagiakan Masyitah dengan cara itu? Selepas menamatkan pengajiannya, Masyitah tidak bekerja. Dia juga sudah sama seperti aku. Walaupun punya kelulusan yang baik, dia sanggup lepaskannya demi untuk bersama Wan Syamril. Aku aku di tempatnya, pasti aku berfikir dua kali sebelum berhenti kerja dan menjadi isteri kedua.
Oh, aku terlupa. Dia bukan lagi isteri kedua. Dialah satu-satunya isteri Wan Syamril. Aku inilah isteri yang terbuang. Aku hanya menumpang sementara di sini.
“Roha, aku nak bercakap dengan kau,” sergah Masyitah semasa aku sedang asyik menyiang ikan sambil berangan-angan. Tersentak aku dari lamunan yang melekakan itu.
“Ya?” tanyaku. Tanganku terhenti di bawah pancuran air paip.
“Tutup paip tu,” arah Masyitah sambil berpeluk tubuh dan menyandar pada dinding kabinet. Aku ikut arahan Masyitah selepas membersihkan tanganku. Setelah sekian lama tinggal sebumbung, baru kali ini Masyitah mahu menyapaku. Tentu ada perkara penting yang ingin disampaikannya.
“Ya, ada apa Masyi?” tanyaku kemudiannya. Masyitah menarik nafas panjang sebelum melepaskannya dan merenungku dengan tajam.
“Jangan panggil aku Masyi. Aku tak suka dengar. Kau bukan kawan aku,” satu lagi arahannya dikeluarkan. Aku diamkan sahaja. Terasa hinanya diri ini pada pandangan mata Masyitah.
“Aku nak tanya engkau, kenapa sampai sekarang engkau masih nak tinggal di dalam rumah ini?” Aku terkedu. Memang salah aku kerana masih tinggal di sini sedangkan aku sudah tidak punya apa-apa hak di sini.
“Sudah lama aku perhatikan dan sudah puas aku bersabar. Aku mahu engkau kemaskan barang-barang kau dan berambus secepat mungkin dari rumah ini. Sakit hati aku tengok muka kau masih menempel di sini. Muka tak tahu malu.” Masyitah bercekak pinggang memandangku sambil telunjuknya ditunjalkan ke dahiku.
Aku sedikit berolak ke belakang. Nasib baik ada mangkuk singki yang menahan dari terjatuh.
“Ingat ya. Jangan sampai aku hilang sabar. Aku tak suka suami aku asyik menyebut-nyebut nama orang lain walaupun sedang tidur,” tambah Masyitah sebelum berlalu pergi.
Betul kata Masyitah. Sudah sampai masanya untuk aku pergi. Aku takut Wan Syamril akan bertindak di luar dugaanku. Aduan Wan Jamilah juga tidak boleh kupandang remeh. Aku pernah nampak Wan Syamril memandang pelik ke arah Wan Jamilah. Aku tidak mahu sesuatu yang buruk berlaku ke atas kami.

Tiada ulasan: