Ahad, 26 Oktober 2014

MTD Bab 44




BAB 44
Sewaktu mengemas barang-barang yang dibawa pulang Wan Syamril, aku tersentap dengan apa yang kutemui di dalam begnya. Lapan keping gambar itu begitu menghiris hatiku. Gambar-gambar Wan Syamril di hari konvokesyennya. Siapakah perempuan muda yang berdiri di samping Wan Syamril dan diapit oleh ibu dan bapa mentuaku dan juga anak kami, Wan Jamilah?
Ah, mana mungkin aku tidak mengenali perempuan itu. Sudah bertahun aku mengenalinya dan sudah bertahun juga tidak kutemuinya. Masyitah ! Bagaimana dia boleh ada di dalam gambar ini? Di hari konvokesyen Wan Syamril? Menggantikan tempatku sewaktu aku sedang berpantang kerana melahirkan Nik Jamali.
Jangan berprasangka buruk terhadap suami sendiri. Syaitan memang suka menimbulkan rasa was-was dan curiga di hati umat Muhammad. Bagai terngiang-ngiang kata-kata Ustazah Sarifah di cuping telingaku. Ya ALLAH! Jahatnya pemikiran aku ini. Kenapa aku menyangka yang bukan-bukan? Namun ke‘baik’anku itu tidak lama apabila seketika kemudian, saat aku sedang berkira-kira untuk menyimpan kembali gambar-gambar itu ke dalam beg pakaian suamiku, tiba-tiba sahaja tanganku terpegang sekeping lagi gambar .
Suamiku! Apakah dia sedang melakukan upacara akad nikah? Oh Tuhan. Dan gambar yang seterusnya mengesahkan semua itu. Suamiku bersama Masyitah. Sejak bilakah mereka bergelar suami isteri?
“Roha!” Aku terdengar suara Kak Tipah melaungkan namaku. Hampir sahaja saat itu aku terbenam di dalam kesedihanku. Kepingan-kepingan gambar itu terlepas daripada genggaman tanganku.
“Roha,” panggil Kak Tipah lagi.
“Ya,” sahutku sambil menyeka air mataku di pelupuk  yang terasa akan meleleh bila-bila masa sahaja.
“Roha.” Kak Tipah termengah-mengah.
“Ada apa, kak?”
“Panggilan dari hospital. Ibu Roha dimasukkan ke wad kecemasan.” Aku hampir pitam mendengar khabar yang dibawa Kak Tipah. Nasib baik Kak Tipah sempat menyambar tubuhku dan mendudukkan aku di atas birai katil.
Serasakan seluruh alam menangis dan mengiringi kesedihanku. Oh Tuhan. Kenapa dengan ibu? Ibu sakit apa? Patutlah dua tiga hari ini aku asyik teringatkan ibu. Rupa-rupanya ada perkara tidak baik akan berlaku ke atas ibu.
Ayah dan ibu mentuaku tiada di rumah. Sudah tiga hari mereka pergi makan angin di Pulau Pinang, membawa bersama Wan Jamilah dan Nik Jamali. Mungkin juga ibu dan ayah mentuaku sengaja merancang percutian ini bertepatan dengan kepulangan Wan Syamril.
Mungkin mereka ingin memberi peluang kepada kami untuk memadu kasih setelah sekian lama berjauhan. Namun semua rancangan mereka itu gagal untukku dan Wan Syamril milikinya. Wan Syamril jarang ada di rumah. Mungkin dia ke rumah Masyitah.
Ah, sekarang ini bukan masanya untukku memikirkan tentang mereka berdua. Aku lebih bimbangkan tentang kesihatan ibu.
“Kak Tipah, tolong Roha. Roha nak pergi tengok ibu.” Aku sudah mulai menangis tersedu-sedu.
“Ya, Kak Tipah akan usahakan. Roha bersiap-siap dulu, ya. Kak Tipah panggilkan Pak  Wan Daud,” janji Kak Tipah.
Sebaik sahaja Kak Tipah berlalu pergi, aku tidak tahu yang mana dulu mahu kulakukan. Pegang itu salah. Pegang ini salah. Akhirnya, kucapai sebuah beg kecil dan kumasukkan beberapa helai bajuku serta kain telekung. Mungkin aku terpaksa bermalam di hospital menemani ibu.
Kak Tipah datang semula dan memimpin tanganku ke kereta. Aku yang hendak pergi menziarahi orang sakit, aku pula yang dipimpin oleh Kak Tipah.
“Tak apa Kak Tipah. Saya boleh jalan sendiri,” aku mengingatkan Kak Tipah tentang keupayaanku. Kak Tipah seakan menyedari kesilapannya. Dia bergegas mengambil beg di tanganku dan melepaskan aku berjalan sendirian.
“Kak Tipah, nanti bagitahu ibu dan bapa mentua saya, ya,” aku masih sempat berpesan kepada Kak Tipah.
“Ya. Tak apa. Nanti akak sampaikan. Roha jangan risau. Yang penting, Roha pergi lawat ibu Roha sekarang. Tentu ibu Roha perlukan Roha saat ini,” sahut Kak Tipah yang kurasakan sedang cuba menenangkan perasaanku. Perasaanku memang sangat celaru. Debaran yang kuat bergelombang di dalam dada.
ALLAH, ALLAH, selamatkanlah ibu. Pada saat ini, hanya ALLAH tempat aku meminta. Aku tak punya siapa-siapa di dunia ini. Aku hanya punya ibu. Ya, aku hanya punya ibu. Saat ini, air mataku tidak mampu kubendung lagi.empangnya pecah bersepai dan air mataku jatuh berderai.
Memang aku tak punya siapa-siapa. Aku sendirian saat ini dan ibu lebih-lebih lagi. Aku yang mementingkan diri sendiri. Kalau ibu terima lamaran Encik Rosman Perisik, tentu ibu tidak akan sendirian seperti sekarang. Aku yang menggagalkan rancangan Encik Rosman dan berprasangka buruk terhadapnya. Mungkin Encik Rosman baik dan tidak seperti yang aku sangkakan.
Entah mengapa, di saat-saat ini, aku sempat terkenangkan Encik Rosman, jiran terdekat kami. Ibu, baik-baik sajalah ibu. Ibu tunggu Roha datang. Aku rasa mahu meraung tapi aku tak punya suara. Yang ada hanyalah air mata kesedihan dan penyesalan. Menyesal kerana tinggalkan ibu sendirian mengharungi hidup ini. Aku yang sudah berumahtangga. Tanggungjawabku sudah beralih arah.
Aku tahu, ibu faham akan situasiku kerana ibulah yang sering menasihatiku agar pandai-pandai menjaga hati mentua. Malahan ibulah insan yang paling gembira saat kukhabarkan tentang penerimaan Hajah Wan Maimun dan Haji Nik Dasuki terhadapku dalam keluarga mereka.

Tiada ulasan: