BAB 10
Aku rasa kepalaku berat
amat dan sakitnya masih berdenyut-denyut. Mungkin terlalu mengantuk atau bahana
terhantuk gelegar awal malam tadi. Kaki aku juga berdenyut-denyut tapi aku
tidak berdaya untuk membeleknya sekarang. Aku menanggalkan sarung kaki dan meletakkannya
di birai katil. Sempat juga aku urut-urut tapak kaki yang sakit itu.
Belum
pernah aku berjaga sehingga lewat malam begini. Bukan malam tapi sudah
menjelang dinihari. Kalau diikutkan kata hati tidak rajinku, aku ingin terus
melemparkan tubuhku di atas katil tanpa menanggalkan baju kurung moden kain
suteraku tetapi aku tidak boleh berbuat demikian.
Aku
tidak boleh biarkan ibu tahu yang aku pulang lewat dan terlalu kepenatan. Esok
pagi ibu pasti terkejut melihatku kalau aku masih berbungkus dengan pakaian
sebegini, baju kurung moden sutera asli Terengganu yang belum pernah kupamerkan
padanya.
Mahu
tidak mahu, aku terpaksa menukar pakaianku kepada sehelai kain batik dan
t-shirt putih lengan pendek, uniform
harianku semasa di rumah. Baju sutera pemberian Abang Mahadi kusumbatkan dalam
kotak pakaian lamaku di bahagian dasarnya yang paling bawah, ditindih kain baju
lama yang lain.
Aku
mencapai botol air mineral di atas meja solek. Tutupnya kubuka dan sedikit
airnya kutuangkan di atas tapak tangan. Kuraup muka dengan air mineral itu dan
mengelapnya dengan tuala. Terasa sedikit segar berbanding tadi. Selepas itu, aku terus membantingkan tubuhku di atas
katil. Mataku terlalu berat. Aku ingin tidur dan berehat sepuas-puasnya.
Dan buat pertama kalinya juga, aku tidak sempat
menunaikan solat Isyak kerana terlalu penat tanpa sebarang keuzuran syarii. Aku
tidak peduli tentang dosa dan pahala lagi. Apa yang lebih penting, panggilan
tilam dan bantal begitu melambai-lambai.
Sebaik sahaja kuletakkan kepala di atas bantal, mataku
terkatup rapat. Iblis meniup bayu lembut ke wajahku, melenakan tidurku sehingga
lupa akan segala-galanya. Lupa terhadap seraut wajah ibu yang sering
mendambakan kebahagiaanku.
Aku mimpi bertemu dengan Wan Syamril di langit biru. Kami
berlari-lari mengejar kepulan awan putih dan terbaring riang di atas keempukan
gumpalan awan. Ah, sialan. Kenapa Wan Syamril yang hadir dalam mimpiku? Di
manakah Abang Mahadi? Aku ingin bersama Abang Mahadi, Amir Khanku tetapi kenapa
aku rasa bahagia bersama Wan Syamril? Mungkin kenangan masa lalu yang membawa
aku bertemu Wan Syamril di alam khayal.
Saat
aku menoleh, kulihat Wan Syamril tersenyum sambil memandang ke arahku.
Senyumannya penuh bermakna dan hanya aku yang memahami maknanya itu. Aku lupa
akan Masyitah. Aku lupa akan Abang Mahadi. Aku lupa akan ibu kerana di sini, di
angkasa ini, hanya ada aku dan Wan Syamril sahaja. Malahan aku bahagia sekali berdua-dua dengan Wan
Syamril.
Kami ketawa dan bergembira bersama. Berlari-lari di
dalam angin, berpusing-pusing riang sambil tertawa gembira. Sesekali Wan
Syamril datang hampir dan memelukku. Bahagianya aku hanya aku sahaja yang tahu.
Tidak mampu kulafazkan dan kunukilkan kebahagiaan ini dengan kata-kata.
Aku hanya tersedar saat ibu mengejutkan aku sebelum
dia berangkat ke gerai. Ah, ibu. Mataku masih sahaja meruyup. Mimpi bersama Wan
Syamril bagaikan baru sahaja bermula. Aku rasa ingin menyambung tidurku semula.
Aku masih ingin meneruskan mimpiku yang
diputuskan ibu. Ibu mengganggu tidurku.
“Semalam balik pukul berapa?” tanya ibu mendatar. Aku
terpisat-pisat, masih mencari diri di alam nyata.
“Entahlah, Roha tak tengok jam.” aku sekadar beralasan
dan ibu juga tidak bertanya lagi tentang
itu. Memang semalam aku tak sempat tengok jam.
Ibu datang menghampiriku. Tiba-tiba sahaja dia
meletakkan tangannya di atas kepalaku dan menggosok-gosoknya.
“Aduh!” pekikku sambil cuba mengelak tangan ibu.
“Sakit?” tanyanya.
“Memanglah sakit…tapi semalam ibu lebih sayang rumah
ibu daripada Roha. Ibu takut rumah ibu runtuh, kan?” Aku pura-pura merajuk. Ibu
tertawa kecil.
“Ibu gurau sajalah,” ujar ibu sambil menarikku ke
dalam pelukannya.
“Dah sapu minyak?” Aku menggeleng-gelengkan kepala.
“Sapu minyak. Ibu nak pergi dulu. Roha bangun solat. Nanti
cepat sikit ke gerai. Jangan
biarkan pelanggan ternanti-nanti.”
“Baik ibu.”
Ibu berlalu pergi tetapi sebentar kemudian, dia
berpatah balik sambil membawa botol minyak angin di tangannya. Aku yang sudah
mulai mahu menutupkan kelopak mata, terpaksa membukanya kembali. Berpura-pura
segar walaupun aku mengantuk yang amat.
Ibu menyapu minyak angin di tempat luka atas kepalaku.
“Besar juga lukanya ni,” ujar ibu sambil menuangkan
minyak angin.
“Besar, bu?” Cuak juga aku dengan penjelasan ibu.
“Hmmm…besar. Besar lagi luka ditendang dek nyamuk.”
Hmmm…ibu masih mahu bergurau denganku.
“Perlahan-lahanlah, bu. Sakit kepala Roha ni.” Ibu
memberhentikan gosokannya.
“Entah apalah yang dicarinya di bawah rumah
malam-malam begitu,” rungut ibu. Aku hanya membungkam. Tidak mahu menjawab atau
yang tepatnya, tidak mahu menambah dosaku dengan membohongi ibu lagi.
“Ibu pergi dulu. Roha bangun, ya,” pesan ibu sambil
bangun. Aku mengangguk-anggukkan kepala, malas.
Aku mengiringi pemergian ibuku dengan pandangan mata
yang meredup. Kasihan ibu. Dia bekerja keras untuk membesarkanku, menelan
segala umpat keji dan fitnah orang-orang sekeliling kerana bersendirian tanpa
kehadiran suami di sisi. Isteri-isteri takut untuk rapat dengan ibu kerana
bimbang suami mereka akan terpaut dengan ibu.
Aku tahu, ibu cantik. Sehingga ke hari ini, kecantikan
ibu masih tetap terpelihara. Aku juga tahu akan kegilaan sesetengah lelaki
terhadap ibu. Aku pernah lihat ibu digoda lelaki termasuk suami-suami orang
tetapi ibu tidak pernah ambil pusing. Mungkin kematangannya sejajar dengan
pertambahan usianya.
Dia sudah mangli dengan tohmahan orang kampong. Dia
sudah imun dengan umpat keji dan caci nista orang terhadapnya. Ibu kebal
daripada sebarang godaan. Aku tahu, ibu tidak termakan dengan pujuk rayu
lelaki. Ibu masih menyayangi ayah, mungkin.
Aku bergegas bangun mengikut arahan ibu. Tapak kakiku
terasa nyilu. Aku terjengket-jengket menuju ke bilik air, mandi dan
membersihkan tubuhku. Mindaku kembali bekerja, cuba menelusuri mimpi semalam.
Aku keluar untuk berjanji temu dengan
Abang Mahadi tetapi kenapa Wan Syamril yang hadir dalam mimpiku.
Aku tidak
pernah mengharapkan kepulangan Wan Syamril dan seandainya ditakdirkan Wan
Syamril ingin kembali kepadaku sekali pun, aku tidak mungkin dapat menerimanya
semula.
Aku tidak mungkin akan mengutip sisa-sisaku kembali. Aku
ingin membina hidup baru dengan
melupakan kenangan silam bersama Wan Syamril. Mungkin cinta yang pernah wujud
antara kami hanyalah cinta budak-budak. Cinta monyet yang melingkungi hidup
anak-anak remaja bukan cinta sebenar yang tulus dan lahir dari hati yang suci.
Selesai
membungkuskan nasi lemak dan menyusunnya di dalam bakul, aku mengorakkan
langkahku ke gerai ibu. Aku
pasti, pelanggan-pelanggan ibu sudah ternanti-nantikan aku di sana. Aku percepatkan langkah agar
tidak terlalu lewat. Begitulah rutin harianku yang tidak kuketahui sampai
bilakah akan tiba di titik penghujungnya. Saban hari mengulangi rutin yang
sama.
Nasib baik juga Encik Rosman tidak memanggil aku pagi
ini. Mungkin dia sudah bertolak ke pejabatnya. Aku tidak tahu apakah pekerjaan
sebenar Encik Rosman. Ada orang kata, Encik Rosman perisik kerana dia bekerja
tak kira masa. Pejabatnya pun entah di mana. Ahh, aku tiada masa untuk
mengambil tahu perihal pekerjaan Encik Rosman yang sudah beberapa tahun menyewa
di kawasan kediaman kami ini.
Encik Rosman tidak melaung-laungkan namaku pagi ini
pun sudah cukup bagus. Mungkin dia belum balik dari tugasan merisiknya. Encik Rosman yang bahasanya kadang-kadang
menyakiti hatiku sehingga merosakkan moodku sepanjang hari. Tergerak juga di
hati mahu mengadu pada ibu perihal Encik Rosman tapi aku tidak mahu ibu susah
hati dan memikirkan yang bukan-bukan pula. Akhirnya, kupendamkan saja segala
rasa sakit hatiku itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan