
BAB 31
Aku mengamati alamat
yang di dalam genggamanku dan juga
alamat rumah yang tertera di tembok batu, bawah peti surat rumah mewah itu. Beberapa kali aku merenungnya silih berganti, cuba
membuat perbandingan dan mencari kepastian. Dan yang pastinya, alamat di atas
kertas catatanku sama dengan alamat rumah besar yang tersergam di hadapanku.
“Cik, kita sudah sampai,” tegur pemandu teksi itu tatkala
melihat aku yang masih lagi terpinga-pinga. Aku menguakkan daun pintu dan
melangkah keluar dengan penuh tanda tanya. Kubukakan dompetku dan kukeluarkan
wang sewa teksi sebanyak dua puluh ringgit. Dua keping not sepuluh ringgit itu
bertukar tangan.
Setelah
mengucapkan terima kasih, teksi itu pun berlalu pergi. Tinggallah aku
sendirian, tercangak-cangak di situ seperti rusa baru masuk kampong. Aku tidak
tahu sama ada mahu memanggil tuan rumah itu ataupun pulang sahaja ke kampungku.
Hatiku kecut serta-merta. Mustahil Abang Mahadi
tinggal di rumah sebesar ini?
Adakah Abang Mustafa tersilap memberikan alamat
kepadaku? Entah siapalah yang empunya rumah ini? Aku meneliti nama pemilik
rumah di bawah peti surat yang tertulis dengan tinta berwarna emas di atas plak
tembaga. Dato’
Murad bin Haji Abdul Majid dan Datin Kamariah binti Haji
Ahmad. Silap aku juga kerana
tidak pernah bertanyakan nama bapa Abang Mahadi.
Tanpa sebarang arahan, laju sahaja jariku menekan suis
loceng yang terlekat di tembok pagar. Ya, ALLAH. Aku semakin takut jadinya. Apa
yang akan aku katakan kepada tuan rumah ini jika sekiranya aku salah? Adakah aku akan dimarahi dan
dihalau dari rumah ini? Memikirkan
kemungkinan-kemungkinan itu, aku rasa seperti hendak lari sahaja dari rumah
ini. Tapi kenapa kakiku ini
bagaikan terpaku di asfalt yang kian
membahang?
Aku
nampak seseorang sedang berjalan keluar dari rumah besar itu. Aku cuba
menjenguk ke dalam. ABANG MAHADI !!! Ingin sahaja aku menjeritkan namanya
pabila tiba-tiba aku melihat dia tidak bersendirian. Di lengannya berpaut
seorang gadis cantik. Mereka berjalan berduaan sambil tertawa dan
bergurau-senda. Darahku berderau, menyerbu naik ke muka.
Aku
tidak tahu apakah perasaanku saat ini, marah atau kecewa? Tapi kedua-duanya
bercampur menjadi satu di dalam jiwaku. Aku rasa mahu menangis. Aku rasa
dikhianati. Hatiku luluh memandangnya. Maruahku bagaikan pecah berderai dan
bertaburan di atas asfalt. Tidak tahu sama ada perlu kukutip kembali atau
kubiarkan sahaja ianya terus meleret jatuh di atas jalan dan diinjak-injakkan
kaki yang melintasinya.
Mataku berpinar-pinar. Mabukku kembali lagi. Aku tidak
mahu lebih lama di sini. Aku tidak mahu Abang Mahadi melihat keadaan aku yang
teruk ini. Aku meluru ke arah longkang besar yang
terlindung di balik serumpun buluh aur. Isi perutku kumuntahkan di situ. Aku
tidak mahu menunggu lebih lama di sini. Aku mahu pergi jauh dari tempat neraka
ini.
Patutlah
Abang Mahadi tidak menghubungiku lagi. Rupa-rupanya, dia sudah punya pengganti yang lebih sempurna berbanding
dengan diriku. Aku rasa begitu terhina. Langkah kaki terus kuhayunkan sedangkan aku masih tidak tahu ke manakah arah tujuanku. Keadaan
yang semakin membahang dengan matahari pukul dua petang memanah tepat di atas
ubun-ubunku.
Air mataku mengalir tanpa dipinta.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan