Ahad, 12 Oktober 2014

MTD Bab 22


BAB 22
Abang Mahadi semakin menyayangiku dan aku rasa Abang Mahadi memang berhasrat untuk mengambil aku menjadi suri hidupnya. Hampir tiga bulan kami bersama, duniaku semakin ceria dengan warna-warna pelangi daripada spektrum cinta yang dilukiskan Abang Mahadi.
Ibu pula langsung tidak menyebut perihal kedatangan tetamu kami beberapa hari yang lalu sehingga aku jadi tidak tahu, atas tujuan apakah sebenarnya mereka berkunjung ke rumah kami tempoh hari. Aku berharap, ibu tidak akan menerimanya kalau itu memang betul-betul lamaran daripada Encik Rosman untuk memperisterikanku.
Sehinggalah pada suatu malam, Abang Mahadi berhasrat untuk membawaku bertemu dengan kedua ibu bapanya. Aku rasa begitu bahagia. Aku bakal bertemu dengan kedua ibu bapa Abang Mahadi, bakal ibu dan bapa mentuaku, kata Abang Mahadi. Abang Mahadi memang bersungguh dengan kata cintanya. Aku semakin mempercayainya.
Kebetulan pada malam itu, ibu ke rumah ibu saudaraku, Mak Long Aziah kerana ada majlis tahlil di rumahnya. Ibu akan bermalam di sana. Walaupun ibu mengajakku pergi bersamanya tetapi aku memberi alasan bahawa aku terlalu penat walhal aku sudah buat janji dengan Abang Mahadi.
Abang Mahadi datang menjemputku dengan motosikalnya di tempat biasa kami bertemu. Aku membonceng di belakang sambil memeluknya erat. Kebahagiaan kian menyelubungi kehidupanku. Aku tidak sabar untuk berjumpa dengan bakal mentuaku walaupun dadaku bergetaran.
Kata Abang Mahadi, ibu bapanya orang baik-baik. Pasti mereka akan menerimaku untuk menjadi pasangan hidup anak mereka. Bersama Abang Mahadi, aku tidak gentar untuk berhadapan dengan sesiapa sahaja. Asalkan dengan Abang Mahadi, pasti aku rela.
Sewaktu tiba di bandar, motosikal Abang Mahadi meragam  lagi dengan tiba-tiba. Aku hanya bersahaja. Aku tidak takut kerana Abang Mahadi ada bersamaku. Abang Mahadi mampu selesaikan apa sahaja kesulitan yang timbul.
Motosikal Abang Mahadi masih tidak dapat dihidupkan. Lagipun, waktu malam begini mana ada lagi bengkel motosikal yang dibuka. Abang Mahadi cuba menghubungi sahabatnya, Fahmi tetapi setelah berkali-kali mencuba, Fahmi masih tidak dapat dihubungi.
Akhirnya, Abang Mahadi mencadangkan agar kami bermalam di hotel yang berhampiran. Aku tidak punya pilihan. Selepas mendaftar di kaunter, kami ditunjukkan sebuah bilik.
Dalam ragu-ragu, aku masuk juga ke bilik itu. Abang Mahadi duduk di birai katil.
“Jangan takut. Abang penat. Abang nak tidur sahaja,” kata Abang Mahadi sambil merebahkan tubuhnya di atas katil. Memang Abang Mahadi penat. Penat menyorong motosikalnya yang selalu buat ragam.
Aku tidak tahu untuk berbuat apa. Abang Mahadi sudah mulai berdengkur. Mungkin dia betul-betul penat. Aku turut merebahkan tubuhku di sebelahnya, perlahan-lahan. Aku tidak mahu mengejutkannya. Aku terlena juga kemudiannya.
Tengah malam itu aku terjaga apabila terasa ada sesuatu yang merayap di pahaku. Dan apa yang tidak aku jangkakan akan terjadi, terjadi jua akhirnya. Abang Mahadi menguasai seluruh tubuhku malam itu.
Terjaga pagi itu, aku rasa terlalu penat. Seluruh badanku sakit-sakit. Saat kubukakan mata, Abang Mahadi terdampar di sebelahku. Aku mulai mengerti apakah yang telah berlaku semalam. Aku bukan lagi gadis seperti aku yang kelmarin.
Dan yang lebih pelik lagi, aku tidak menyesali kehilangan ini malahan aku begitu bangga kerana dapat membuktikan cintaku kepada Abang Mahadi. Sesuatu yang kumiliki telah pun menjadi milik Abang Mahadi. Aku lupa juga akan janjiku untuk menjadi anak ibu yang paling baik.
Aku lupa segala janji dan laknat Allah terhadap orang-orang yang alpa sepertiku. Aku terlupa akan dua malaikat di atas bahu kiri dan kananku yang sedang mencatat segala amal buruk dan baikku saat ini. Terlajak perbuatan yang tidak mampu kuundur walaupun sejengkal. Perbuatan aib dan malu yang harus kutanggung sampai bila-bila sehingga jasad dikandung tanah.
Aku yakin benar bahawa aku telah berjaya mengikat Abang Mahadi. Abang Mahadi tidak boleh lari dariku lagi. Dia kini telah betul-betul menjadi tawananku. Tidak mungkin dia akan berpaling kepada gadis lain lagi. Dia tersenyum memandangku sambil mengucapkan terima kasih. Memang kasihnya telah lama kuterima. Aku bangga menjadi kekasihnya.
Aku tidak rasa aku jahat. Aku rasa, aku telah menunaikan kewajipanku sebagai seorang kekasih yang setia. Aku telah membuktikan kesetiaanku itu kepada Abang Mahadi. Apa yang aku harapkan, selepas ini Abang Mahadi akan segera memperisterikanku. Dan yang lebih penting, ibu tidak akan memaksa aku menerima lamaran Encik Rosman lagi.
“Abang berjanji, abang akan memperisterikan Roha,” Abang Mahadi merenung ke dalam mataku.
“Abang sayang Roha. Sayang sangat-sangat,” sambung Abang Mahadi lagi.
“Roha juga sayang abang. Sayang sangat-sangat.” Sungguh! Aku sungguh-sungguh menyayangi Abang Mahadi. Kalau boleh, setiap masa dan ketika aku ingin berada bersama-samanya, di sampingnya dan di dalam pelukannya.
Aku tahu, Abang Mahadi juga bersungguh dengan kata-katanya. Kalau tidak, mana mungkin dia mahu membawa aku bertemu dengan keluarganya. Aku percaya dengan janji Abang Mahadi. Percaya sungguh-sungguh.
Saat ini, tiada apa-apa dalam pemikiranku melainkan Abang Mahadi dan kasih sayangnya. Aku lupa ibu. Aku juga lupa segala janjiku kepada ibu. Aku lupa segala pesanan dan nasihat ibu kepadaku. Kasih sayang Abang Mahadi telah membutakan mata hatiku. Aku cuma nampak Abang Mahadi. Abang Mahadi sahaja.
Aku lupa, pada saat aku di dalam pelukan Abang Mahadi, para iblis dan syaitan sedang berpesta. Aku lupa akan janji-janji ALLAH terhadap manusia hina sepertiku. Aku tidak merasakan aku hina. Akulah Marusia yang paling beruntung saat ini. Beruntung kerana berjaya menakluki seorang lelaki kacak seperti Abang Mahadi.

Tiada ulasan: