
BAB 53
Saat ini, aku tidak mahu memikirkan tentang keperluan diriku semata-mata.
Aku mesti fikirkan tentang masa depan aku dan kedua anak perempuanku. Anak-anak
yang tidak tahu apa-apa tentang pergolakan hidup yang sedang melanda ibu dan
ayah mereka.
Wan Syamril pula bukan lagi Wan Syamril yang kukenali
empat belas tahun yang lalu. Wan Syamril, suamiku dulu yang terlalu dalam
kasihnya padaku. Yang pernah membelaiku dengan sepenuh kasih dan sayang dan
memberikan pelindungan padaku.
Wan
Syamril, bekas suamiku ini amat berlainan sekali tingkahnya. Sudah lama tidak bersua, memang ketara sekali
perbezaannya pada pandangan mataku. Pulangnya selalu sahaja sehingga lewat
tengah malam waktu semua orang sudah nyenyak tidur. Mendengar dia mengetuk
pintu utama dan menjerit-jerit memanggil Masyitah dan pernah beberapa kali aku
terdengar dia menyeru namaku.
Wan Syamril yang pemabuk. Bukan aku tidak sedar akan
kepulangannya tetapi aku tidak mahu menempah bahaya. Antara kami berdua sudah
tiada ikatan suci yang menghalalkan. Pernah sekali, saat aku tidak tergamak
untuk terus mendengar dia terjerit-jerit di luar pintu sana sedangkan Masyitah tidur mati.
Tidak mahu membiarkan keadaan berlanjutan, aku
bergegas turun untuk membukakan pintu. Sebaik sahaja pintu besar itu terkuak,
dia terus menerpa dan memelukku, mencumbuiku dengan hanyir mulutnya berbau
arak. Aku menolak tubuhnya sekuat tenagaku dan menepis tangannya yang sudah
mulai bertindak keterlaluan.
“Roha, Roha…tolonglah abang. Abang nak Roha.” Aku
tidak tahu sama ada dia sedar atau tidak dengan pengucapannya itu tetapi aku
sendiri, memang cukup-cukup sedar. Kutolak tubuhnya sekuat tenaga sehingga
terhumban di atas sofa dan aku berlari ke bilik lalu kukuncikan pintu kamar
itu.
Wan Syamril rupa-rupanya tidak mahu berhenti setakat
itu sahaja. Dia mengekoriku hingga ke bilik dan merayu memanggil-manggilku.
Saat ini, aku hanya mampu berdoa agar Wan Syamril kembali ke biliknya dan tiada
sesiapa pun penghuni rumah ini akan terjaga dek kerana terdengar suara
jerit-pekiknya.
Wan Syamril yang terus merayu di muka pintu dan aku
yang telah basah lencun dengan air mata. Oh, seandainya Wan Syamril masih lagi
suamiku, sudah tentu tidak akan kubiarkan dia terus memujuk rayu sedemikian
rupa. Aku juga yang masih dambakan sentuhan seorang lelaki. Tuhan, tabahkanlah
hati hamba Mu ini.
Sejak kejadian malam itu, aku hanya akan memekakkan
telingaku saat dia terjerit-jerit memanggil nama Masyitah dan diselang-seli
dengan namaku di ambang pintu besar sana. Biarkanlah dia terus menjerit. Dan
aku sendiri tak pasti sama ada Hajah Wan Maimun dan Haji Nik Dasuki pernah
terdengar laungan dan jeritan itu.
“Kenapa dengan kamu ni, Syam? Apa salahnya didikan
kami selama ini? Mana perginya pegangan agama kamu? Sejak bila kamu jadi
begini?” Suara Haji Nik Dasuki
kedengaran jelas melantun hingga ke dalam bilikku. Malam nan sunyi, aku tidak
pasti siapa lagi yang mendengar suara Haji Nik Dasuki. Jiran kami yang terdekat
hanya Pak Wan Daud sekeluarga.
“Apa lagi yang cukup? Kalau begini perangai kamu,
sia-sia sahaja kamu balik ke mari.”
“Ayah yang paksa saya balik ke mari,” suara Wan
Syamril juga meninggi.
“Memang ayah yang memaksa kamu balik. Memang ayah mahu
kamu balik dan bertanggungjawab kepada isteri dan anak-anak kamu.”
“Tapi saya dah ceraikan Roha,” Wan Syamril tidak mahu
mengalah.
“Kalau dah tahu kamu dah ceraikan dia, kenapa masih
terpekik terlolong panggil nama dia?”
Hanya kesepian yang mengisi di ruang tamu sana. Aku bukan ingin mendengar
kata-kata itu semua tetapi aku juga tidak mampu untuk menutup telingaku. Mendengar
namaku dilibatkan sama dalam pertengkaran itu, aku jadi ingin tahu. Kurenggangkan
sedikit pintu bilik agar aku bisa mendengar perbualan itu.
“Mana ayah tahu kamu sudah ceraikan dia. Dia tak
pernah bagitahu apa-apa,” suara ayah Wan Syamril agak mengendur.
“Dia curang, dia isteri yang tidak bermaruah,” tegas
Wan Syamril. Air mataku mengalir membasahi pipi. Memang aku isteri yang tidak
bermaruah, aku kotor dan aku sememangnya tidak layak untuk menjadi isteri Wan
Syamril.
“Sudah tiga orang anak kamu bersamanya, itu pun kamu
tak sedar juga?”
“Bukan tiga tapi satu. Hanya satu. Hanya Nik Jamali
satu-satunya anak saya. Yang lain-lain itu anak Mahadi.” Tuduhan itu hanya
dusta. Selepas berkahwin dengannya, aku tidak pernah berhubung dengan Abang
Mahadi. Aku telah bertaubat. Aku telah berjanji dengan kalimah Lillahita’ala
bahawa aku akan menjadi isterinya yang taat.
Air mataku semakin deras membanjiri pipiku. Aku tidak
sanggup untuk terus mendengar perbualan mereka. Dendam Wan Syamril ke atasku
tidak pernah padam. Walaupun aku telah berjanji untuk menjadi isterinya yang
solehah namun aku tidak sempat untuk mengotakan segala janji-janji itu. Wan
Syamril lepaskan aku sebelum sempat kubuktikan semuanya.
Perlahan-lahan, daun pintu itu kurapatkan kembali. Aku
menghampiri katil, menatap wajah Wan Jamnah yang tenang di dalam lenanya.
Anakku, kau anak yang malang. Ayahmu tidak mahu mengakui bahawa engkau adalah
darah dagingnya. Maafkan mak, nak.
Wajah polos itu kucium perlahan. Maafkan mak, sayang. Wan
Jamnah bergerak sedikit. Aku segera merapat ke sisinya, memeluknya dan
menepuk-nepuk perlahan belakang bahunya. Wan Jamnah kembali terlena.
Apalah nasib kita ni, nak. Dalam mindaku sudah mula
berkira-kira, sudah sampai masanya untuk aku kembali ke rumah tinggalan ibu. Tidak
perlu dihalau, aku perlu keluar sendiri. Melihat sikap dingin Hajah Wan Maimun
pun sudah cukup untuk memenjarakan hatiku dalam derita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan