BAB 12
Selesai bersolat Asar,
pelanggan sudah beransur kurang. Aku meminta kebenaran ibu untuk pulang lebih
awal. Ibu membenarkan. Mungkin ibu tahu aku penat, seharian aku membantunya di
gerai.
Sebelum
aku melangkah meninggalkannya, ibu sempat menitipkan pesanan, “ Roha, nanti
tolong jemurkan kayu-kayu api yang di bawah bangsal itu. Ibu tak sempat nak
jemurkan pagi tadi. Dapat kering sedikit pun jadilah. Malam nanti tidaklah
susah ibu nak menghidupkan api dapur.” Aku hanya mengangguk-anggukkan kepala.
Meskipun
di rumah kami sudah ada dapur gas dan periuk eletrik untuk memasak namun ibu
masih juga menggunakan dapur kayunya sekali-sekala untuk mengukus nasi lemak.
Ibu ini seorang yang suka benar berjimat-cermat. Kalau hari cuti, ibu akan mencari kayu api di
kebun getah berhampiran kawasan perumahan kami iaitu bersebelahan tempat
longgokan sampah-sarap.
Kayu-kayu
api itu akan dipotong pendek-pendek dengan menggunakan sebilah parang dan
dilonggokkan di dalam bangsal kecil di belakang rumah. Kalau hari hujan,
kayu-kayu itu akan jadi sedikit lembab dan memberi kesukaran kepada ibu untuk
menyalakan api. Waktu ini, akan
pedih-pedihlah mata ibu berperang dengan asap.
Aku
melangkah cepat-cepat. Memang aku penat. Penat semalam masih belum hilang lagi.
Tapak kaki masih terasa perit. Mana pernah aku keluar sehingga larut malam.
Pengalaman semalam masih terlalu asing bagiku. Aku belum mampu membiasakan diriku dengan pengalaman itu.
Sewaktu
aku menuruni bukit selepas melewati surau di simpang jalan untuk pulang ke
rumahku, tanganku ditarik seseorang sehingga mendorong aku tersandar pada
sebatang pokok pisang yang tumbuh di cerun bukit itu. Tenaga perempuanku tidak
terdaya untuk melawan kudrat lelaki yang menarikku.
“Abang
Mahadi,” jeritku.
“Syy…,”
Abang Mahadi meletakkan jari telunjuknya di bibirku.
“Abang buat apa di sini?”
“Abang tunggu Roha.”
“Kenapa?”
“Tadi Roha pergi ke mana?”
Lidahku kelu. Agak lama kemudian, Abang Mahadi
tertawa.
“Abang tahu, Roha takut terperangkap dengan ibu lagi,
kan?” serkap Abang Mahadi dan aku mengangguk-anggukkan kepalaku.
“Abang nak ajak Roha keluar malam ni.”
“Nak ajak tengok wayang lagi?” soalku kebodoh-bodohan.
“Bukan. Nak ajak Roha jalan-jalan.”
Aku jadi terdiam mendengar saranan Abang Mahadi.
“Boleh ya, Roha,” rayunya lagi. Aku jatuh kasihan
mendengar rayuannya. Sebenarnya, aku telah tenggelam dalam rayuannya itu.
“Roha tak berani janji tetapi ibu selalu tidur selepas
solat Isyak,” kataku teragak-agak.
“Kalau
begitu, abang datang jemput Roha selepas ibu tidur,” putus Abang Mahadi,
memahat janji. Aku mengangguk-anggukkan kepala. Sepantas kilat, Abang Mahadi
mengucup bibirku. Aku terkejut tetapi aku tidak menghalangnya.
Apabila
Abang Mahadi melepaskanku, aku masih terpinga-pinga.
“Buah
tangan buat kenangan Roha,” ujarnya sambil tersenyum.
Aku
masih termangu-mangu saat kakiku telah menapak di atas lorong kecil menuju
ke rumahku yang di kiri kanannya
berceracak rumah-rumah jiran tetanggaku.Tidak tahu apa yang baru berlaku
sebentar tadi tetapi aku rasa berlainan sekali. Aku ingin Abang Mahadi
mengulanginya lagi. Aku menjilat bibirku yang basah.
“Roha!”
Aku terkejut, lantas terloncat ke pinggir lorong kecil. Encik Rosman
mendekatiku. Enjin motosikalnya bergegar-gegar. Aku tidak berkenan.
“Roha
dengan siapa tadi?” Pertanyaan Encik Rosman membuatkan dadaku berdebar. Mukaku
merah padam menahan marah.
“Apa
peduli Encik Rosman dengan urusan saya?” Aku rasa aku sudah tidak dapat menahan
sabar lagi dengan kerenah Encik Rosman. Cukuplah selama ini dia menggangguku.
Ini mahu mencampuri urusan hidupku pula. Sebenarnya aku juga takut kalau-kalau
dia nampak perbuatan Abang Mahadi terhadapku sebentar tadi. Aku takut dia
melaporkannya kepada ibu.
Encik
Rosman tertawa kuat-kuat sampai terbatuk-batuk. Padan muka. Suka sangat
mencampuri urusan orang. Aku melangkah cepat-cepat meninggalkan Encik Rosman.
Aku tidak mahu lagi mendengar kata-katanya yang berbaur curiga itu.
“Aku
kenal budak tu, Roha,” laung Encik Rosman mengatasi bingit enjin motosikalnya.
Aku pura-pura tidak dengar.
“Roha,
kau jangan sombong. Kalau pun tidak sukakan aku tapi janganlah kau sakitkan
hati aku. Hina sangatkah aku ni?” Encik Rosman mengekoriku dari belakang.
Langkahku tidak keruan. Aku tidak tahu apakah perbuatan yang telah aku lakukan
sehingga mampu menyakiti hati Encik Rosman.
Aku
memang tidak menyukai Encik Rosman tetapi aku tidak mungkin akan menghina atau
menyakiti hatinya. Aku tidak akan membiarkan Encik Rosman berdendam denganku.
Walaupun sakit hati dengan tingkahnya tetapi belum pernah sekali pun aku
menuturkan kata-kata kesat terhadapnya. Pesanan ibu agar tidak menyakiti hati
orang aku pegang kukuh.
“Encik
Rosman kenapa? Tiba-tiba sahaja tak puas hati dengan saya. Saya minta maaf
kalau saya ada buat salah tapi tolonglah jangan ganggu saya,” ujarku sambil
langkah kuperlahankan. Aku ingin mendengar jawapan Encik Rosman. Sudah lama aku
memendam persoalan ini dan sekarang aku berpeluang untuk bertanya sendiri
kepada yang empunya diri.
Aku
terdengar Encik Rosman berdehem. Deheman yang sengaja dibuat-buat, kukira.
Mungkin juga sebagai mukadimah sebelum dia memulakan bicara. Aku sabar menanti
sambil memasang telingaku. Enjin motornya terdengar perlahan kerana dia tidak
memulas minyaknya kuat-kuat macam tadi.
“Kalau
tak sudi terima pemberian saya pun, tak perlulah dipulangkan balik benda tu.
Baling sajalah kat belakang rumah. Tak payahlah hantar sampai depan rumah.” Aku
terkaku. Benda apa yang Encik Rosman berikan padaku? Dan benda apa pula yang
aku pulangkan balik padanya? Aku tambah keliru. Mungkin ada salah faham di
sini.
Mataku meligas ke sekeliling. Aku bimbang jika
ada jiran tetanggaku yang memandang. Aku tidak mahu mereka mengesyaki yang
bukan-bukan kerana di antara aku dengan Encik Rosman tiada apa-apa.
Perasaanku
jadi tidak tenteram. Aku tidak suka Encik Rosman terus mengekoriku dan aku
tidak tahu ‘benda’ apa yang dimaksudkan oleh Encik Rosman. Jalan itu agak
sempit. Aku menyisih ke tepi dengan harapan, Encik Rosman akan berlalu pergi
meninggalkan aku menapak sendirian tapi nampaknya Encik Rosman masih berdegil.
Mataku
sudah mulai terasa panas. Aku tidak suka dengan perlakuan Encik Rosman. Aku
rasa maruah diriku terbang melayang ke serata tempat. Sambil itu aku
tercari-cari, apakah ‘benda’ yang dimaksudkan oleh Encik Rosman.
“Saya
tak tahu apa maksud Encik Rosman tetapi saya minta sangat. Tolonglah. Encik
Rosman jangan kacau saya. Kalau saya ada buat salah, saya minta maaf,”
kuluahkan jua apa yang terbuku di hatiku meskipun agak takut-takut. Aku tidak
mahu memanjang-manjangkan cerita. Mungkin Encik Rosman sengaja mengada-adakan
cerita tentang ‘pemberian’ itu untuk menarik perhatianku.
Makin
dilayan, makin mengarut pula jadinya. Makin menjadi-jadi pula gila angau dan
cerita bukan-bukannya. Ibu juga selalu berpesan agar tidak melayan lelaki
walaupun ibu tidak pernah menyebut nama Encik Rosman tetapi mungkin inilah
‘lelaki’ yang dimaksudkan oleh ibu itu.
Entah
apakah kuasa yang datang, Encik Rosman berlalu pergi apabila aku menyuarakan
permintaan itu. Aku menarik nafas lega. Aku tidak berani memanggungkan kepala
untuk melihat Encik Rosman. Dia sudah mahu berlalu pergi, itu sudah cukup
menenangkan hatiku.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan