BAB 13
Aku ingin meneruskan
langkahku saat kuterdengar bunyi berdehem di hadapanku. Ya ALLAH! Nyaris sahaja
aku terlanggar Mak Enun yang berdiri tegak di laluan perjalananku.
“Mak
Enun, assalammualaikum,” aku tergagap-gagap menyapanya.
Mak
Enun memandangku, atas bawah atas bawah. Aku jadi tak selesa.
“Awal
balik hari ni?” tegur Mak Enun.
“Ya.
Awal sedikit daripada biasa,” ujarku, masih lagi tergagap-gagap.
“Saya
minta diri dulu Mak Enun.” Aku berusaha untuk melepaskan diri daripadanya. Aku
tidak suka Mak Enun terus-terusan merenungku.
“Haaa…dah.
Pergi balik. Anak dara tak elok jalan sorang-sorang. Dah petang ni,” nasihat
Mak Enun dan aku mengambil peluang ini untuk berlalu pergi.
Patutlah
Abang Mahadi berdesup pergi tadi. Rupa-rupanya ada Mak Enun yang sedang
memandang kami. Bagus juga Mak Enun a.k.a Makcik Radio ini. Kalau tiada dia
tadi, entah apa lagi yang mahu dilakukan oleh Encik Rosman.
Aku
melangkah lambat-lambat meninggalkan Mak Enun yang sudah memusingkan badannya
memandang ke arahku. Dah macam pegawai
polis pencen la pula Mak Cik Radio ni. Hatiku menggerutu. Sabar Roha,
sabar. Aku tidak suka Mak Enun yang suka ambil tahu semua hal orang sekeliling.
Bermodalkan katalog pinggan mangkuknya, Mak Enun masuk ke semua rumah orang dan
tahu banyak perkara tentang apa yang berlaku di kejiranan kami ini.
“Kak
Roha,” panggilan daripada suara halus itu menikam cuping telingaku dan memaksa
aku mematikan langkah kaki.
“Mazlin,”
kusapa anak kecil sebelas tahun yang sedang tersenyum lebar itu.
“Lin
nak ke mana ni. Cantiknya. Nak pergi kahwin, ya?” tanyaku mengusik Mazlin
kerana dia memakai baju kurung bunga-bunga kecil warna merah dengan tanah latar
putih dan kepala berlitup kerudung merah hati.
“Alah,
kakak ni. Lin nak pergi ngaji la, kak,” sahut Mazlin tersipu-sipu sambil
menyandang beg Qurannya. Aku tertawa kecil. Geli hati pula melihat Mazlin yang
tersipu-sipu.
“Kak,
pak cik hero Tamil tu kirim salam kat akak,” ujar Mazlin.
“Lin,
tak baik mengata orang, tau,” aku menasihati Mazlin.
“Apa
pula mengata, kak. Kan betul kata Lin, Pak Cik Rosman tu macam hero Tamil. Kak
tak suka ke?”
“Waalaikummussalam,”
sahutku perlahan kerana tidak mahu menimbulkan curiga di hati Mazlin. Walaupun
aku tidak menyukai Encik Rosman tetapi aku tidak mahu menunjukkan kebencian
yang melampau-lampau. Biarlah rasa kebencian itu terpaku diam di lubuk hatiku.
“Akak
tak nak kirim salam balik kat pak cik hero Tamil tu ke?” tanya Mazlin.
“Tak
apalah, Lin. Nanti kalau jumpa dia, akak bagi salam sendirilah,” ujarku
kemudiannya sambil memandang wajah Mazlin yang kehairanan.
Macam
perangai budak-budak sahaja Encik Rosman ni. Dengan budak sebesar Mazlin pun
mahu digunakannya buat menyampai maksudnya.
Aku
jalan beriring-iringan dengan Mazlin. Mazlin sebenarnya sudah khatam
al-Qurannya. Sekarang, dia mengulang mengaji di rumah Mak Haji Sibah untuk
membaiki mutu bacaannya. Aku dulu pun khatam Quran dengan Mak Haji Sibah juga.
Sekali khatam, aku ulangi yang kedua kalinya dan kadang-kadang kami bertaranum
beramai-ramai. Sungguh indah kenangan itu.
“Awal
Lin pergi ngaji?” tanyaku.
“Lepas
sekolah agama sebelah petang, Lin terus pergi. Nanti malam, Lin ada kelas
tambahan di sekolah. Lepas tu nak siapkan homework pula. Sebab itulah
Lin datang awal, kak,” Mazlin menerangkan panjang lebar dan aku
mengangguk-angguk macam belatuk patuk batang kayu buruk.
Sampai
di simpang masuk ke rumah Mak Haji Sibah, kami berhenti seketika sebelum
berpamitan. Mazlin membelokkan langkahnya ke kiri.
“Lin
pergi dulu, kak,” ujar Mazlin.
“Sampaikan
salam akak, assalammualaikum kat Mak Haji, ya,” pesanku berkirim salam.
“Insya-Allah,
kak.” Mazlin tersenyum dan kami lambai-melambai sebelum berpisah. Setelah itu,
aku menapak sendirian menuju ke rumah yang hanya kira-kira seratus meter lagi
itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan