
BAB
32
Aku
tidak tahu kenapa aku jadi selemah ini. Mungkin kerana aku begitu terkilan
dengan apa yang terpapar di hadapanku sebentar tadi. Aku tidak percaya Abang
Mahadi sanggup mencurangiku. Aku tidak sanggup lagi untuk berdepan dengannya.
Sia-sia sahaja aku menjejakinya sejauh ini sedangkan hanya kekecewaan yang
kutemui di sini.
Aku semakin tidak berdaya. Kukeluarkan telefon bimbit
dari dalam tas tanganku. Puas aku meraba-raba tapi tidak ketemu. Cari lagi dan
lagi tetapi masih hampa. Seluk poket sana, seluk poket sini, masih tiada. Air
mataku sudah mulai berjuraian kembali. Telefon bimbitku tertinggal di rumah
agaknya. Aku yang sering cuai sejak akhir-akhir ini.
Mataku meligas ke sekitarku, mencari pondok telefon. Sukar kutemui pondok telefon
awam di kawasan perumahan elit ini. Mungkin kerana di setiap rumah
masing-masing sudah ada talian telefon juga telefon bimbit.
Dalam kepalaku saat ini hanya ada nama Wan Syamril.
Entah mengapa, di saat-saat gawat ini, aku jadi teringatkan Wan Syamril. Wan Syamril yang pernah meminta aku
menghubunginya sekiranya aku dilanda kesulitan. Memang sekarang aku benar-benar
sulit. Sulit dan terhimpit. Aku tidak tahu kepada siapakah harus kuceritakan
segala keperitan ini.
Aku semakin tidak berdaya. Matahari yang memanah tepat
di atas ubun-ubunku membuatkan aku semakin rimas dan cemas. Peluh membanjiri
sekujur tubuhku. Aku tidak peduli akan mata-mata yang mengerling ke arahku saat
aku sesekali berpampasan dengan orang ramai yang lalu-lalang.
Kesedihan dalam hatiku lebih menjerut rasa berbanding
dengan pandangan pelik manusia-manusia itu. Air mataku terus berjuraian
menerjuni pipi. Aku tidak dapat menerima kenyataan yang baru kusaksikan
sebentar tadi.
Aku tidak sangka Abang Mahadi akan mencurangiku, membuang aku ke lembah
yang terlalu hina dan menenggelamkanku di dasar danau yang paling dalam.
Dalam kepayahan itu, aku menggagau telefon bimbit di
dalam beg tanganku. Masih mengharapkan sesuatu dan akhirnya, entiti keras itu
berjaya kutemui di celah buku catatan kecilku yang mengandungi nombor telefon
kenalanku.
Terketar-ketar aku menekan butang untuk
mengaktifkannya. Ya ALLAH, apakah malangnya nasibku ini? Telefon bimbitku gelap
tandanya telah kehabisan bateri. Aku yang terlalu cuai.
Mataku mulai berpinar-pinar saat aku menangkap sebuah
pondok telefon di pinggir taman. Tanpa disuruh, laju sahaja kakiku melangkah ke
arahnya. Dalam terketar-ketar itu, kukeluarkan secebis kertas dari dalam tas
tanganku. Nombor telefon bimbit Wan Syamril tertera di situ.
Aku segera mendail ke nombor tersebut. Sedetik dua
detik kutunggu namun tiada yang
menyambut panggilanku. Sedang aku berkira-kira untuk meletakkan gagang, aku
terdengar suara garau di seberang sana. Aku kenal itu suara garau Wan Syamril.
“Hello, Syam. Ini
Roha,” kataku, memperkenalkan diri.
“Roha. Ya, ada apa?” Kedengaran
girang suara Wan Syamril menyahut panggilanku. Semangatku sedikit bangkit.
“Roha
nak minta tolong Syam. Boleh tak Syam
tolong datang ambil Roha?” Akhirnya, kusuarakan juga hasratku itu. Wan Syamril
setuju datang ke tempat aku berada selepas kuberikan alamatnya iaitu kawasan
perumahan yang didiami Abang Mahadi tapi
katanya lewat sedikit kerana jarak perjalanannya agak jauh dari tempat aku
berada.
Sementara
menantikan ketibaan Wan Syamril, aku duduk di sebuah bangku taman. Tekakku
terasa haus. Mana tidak hausnya,
sepanjang hari ini aku asyik berjalan sahaja tanpa henti. Hajat untuk bertemu
Abang Mahadi membuatkan aku mengabaikan kehendak perutku yang semakin memulas.
Oh
Tuhan. Cepatlah Wan Syamril sampai. Aku cuba untuk bertahan. Jauh sangatkah
tempat Wan Syamril berada dari sini? Wan Syamril di mana sebenarnya? Hatiku sudah
mulai merungut-rungut. Cepatlah.
Cepatlah. Aku terus berbicara sendirian. Nasib baiklah tiada orang di taman
ini. Maklumlah, tengah hari merembang ini mana mungkin ada kanak-kanak yang
hendak dilepaskan ibu bapanya untuk bermain di taman.
Aku hampir terlelap saat kudengar deruman enjin motosikal yang berhenti di belakangku. Saat
kutoleh ke belakang, Wan Syamril tersenyum sambil bergerak menghampiriku.
“Maaf,
Syam terlewat,” kata Wan Syamril. Aku sudah tak kisah berapa lama Wan Syamril
terlewat tapi aku rasa bersyukur amat kerana masih ada orang yang kukenali saat
aku benar-benar perlukan bantuan.
Aku
bangun juga menyambut ketibaan Wan Syamril. Dalam kepayahan itu, aku cuba
memaniskan muka. Aku tidak mahu Wan
Syamril menangkap kegusaran di wajahku. Aku tidak mahu Wan Syamril tahu apakah
yang sedang terkumpul dan bergolak di dalam benakku saat ini. Aku tidak ingin
menyusahkannya dengan kepiluan hatiku.
Sungguh,
aku tidak punya ramai kawan. Selepas tamat persekolahan, aku bagaikan terputus
hubungan dengan kawan-kawan. Hanya Wan Syamril
dan Masyitah yang masih berurusan denganku. Dan selepas mereka, aku
hanya mengenali Abang Mahadi. Ya, Abang Mahadi yang telah menguasai seluruh
ruang hidupku.
“Roha nak ke mana sebenarnya?” Aku
dikejutkan oleh suara pertanyaan Wan Syamril.
“Roha
nak cari Syam,” aku berbohong.
“Kalau
nak cari Syam, kenapa datang ke tempat ini? Kenapa tak telefon Syam di bandar
sahaja? Nasib baik Syam bercuti dan baru sampai di kampung.” Aku terdiam. Dalam
hati timbul juga rasa cemas. Wan Syamril cuti? Kalau Wan Syamril cuti, tentu
Masyitah pun cuti juga. Ah, sudah. Buatnya Masyitah bertemu ibu, nahas aku.
Tapi
hari ini gerai ibu tutup. Masyitah tentu tiada alasan untuk ke gerai ibu dan
tak mungkin Masyitah akan datang ke rumahku kerana sudah lama dia tidak
berkunjung ke rumah kami.
“Roha
nak ke mana sebenarnya?” tanya Wan Syamril lagi. Tidak tahu mahu menjawab yang
bagaimana. Apakah Wan Syamril meraguiku?
Akhirnya,
aku hanya tersenyum memandangnya. Aku tidak mahu tersalah langkah. Silap memberikan
fakta, aku pasti akan terperangkap. Aku tidak mahu Wan Syamril tahu tentang
tujuan asalku mencari Abang Mahadi. Aku tidak mahu mengguris hatinya.
“Tak
bolehkah Roha datang ke sini?” tanyaku kemudiannya, cuba melunakkan suara.
Wan
Syamril tersenyum. Aku rasa sedikit lega. Mungkin dia dapat menerimanya.
“Kalau
iya pun, kenapa duduk di tengah panas ni?” Sekali lagi aku terpanar. Hmm..
patutlah ramai yang memandangku tadi, rupa-rupanya aku menunggu Wan Syamril di
tengah panas terik matahari. Kegalauan di hati membuatkan aku seakan terlupa
akan keadaan di persekitaranku.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan