
BAB 45
Pak Wan Daud
sedang berdiri di tepi pintu keretanya. Dia berpakaian kemas. Sewaktu aku
menjenguk ke dalam kereta, Mak Tam, isteri Pak Wan Daud dan dua orang cucunya
ada di dalam kereta itu. Aku
membuka pintu kereta dan masuk duduk di bahagian belakang bersama-sama dua
orang cucunya itu, Elina dan Eliza.
“Nasib
baik Roha cepat. Kalau tidak tentu Pak Wan tak sempat nak hantar Roha ke
hospital,” ujar Pak Wan Daud.
Aku
termanggu-manggu.
“Pak
Wan nak ke mana?” tanyaku.
“Kami
nak ke Tanjung Malim. Anak sulung Mak Tam nak bersalin,” ujar Mak Tam, memberi
penjelasan.
“Maafkan
saya kerana menyusahkan Pak Wan.”
“Tak
apa, sambil lalu nanti kita singgah di hospital,” kata Pak Wan Daud.
“Berapa
hari Mak Tam di sana?” tanyaku ingin tahu.
“Ikut
keadaanlah. Kalau Umairah
dah bersalin, Mak Tam tunggulah beberapa hari lepas tu baru balik. Tapi kalau
Umairah belum bersalin lagi, nampaknya lagi lama Mak Tam di sana. Nasib baik
musim cuti sekolah sekarang ni,” jelas Mak Tam sambil memandang dua orang cucunya di sebelahku.
“Mak ayah diorang ni ada kursus, jadi cuti sekolah ni,
budak berdua ni duduk dengan Mak Tam,” sambung Mak Tam seakan-akan tahu apa
yang bermain di fikiranku.
Selepas itu, kami lebih banyak berdiam diri
sehinggalah tiba di perkarangan hospital. Aku bergegas keluar tapi Mak Tam dan
Pak Wan Daud tidak dapat menemaniku kerana mereka juga perlu segera ke Tanjung
Malim atas hal kecemasan juga. Aku sempat menyalami Mak Tam dan mengucapkan
terima kasih.
“Apa-apa hal, telefon Mak Tam, ya,” pesan Mak Tam dan
aku hanya mengiyakan saja.
Aku keluar dan menutup pintu kereta. Tunggu sebentar
sehingga Pak Wan Daud bergerak pergi sambil melambai tangan ke arah mereka,
tanda hormat kerana mereka telah bersusah payah menghantarku ke mari.
Untuk ke Tanjung Malim, mereka tidak perlu melalui
jalan ini. Mereka boleh terus sahaja ke Teluk Intan dan memasuki lebuhraya arah
selatan tetapi demi aku, mereka sanggup bersusah payah ke mari dahulu walaupun
mereka juga punya tujuan kecemasan.
Pak Wan Daud dan Mak Tam yang selalu bertanya khabar
tentang diriku meskipun aku jarang punya masa untuk mendampingi mereka. Mana mahu
Hajah Wan Maimun membenarkan aku berkunjung ke rumah jiran tetangga meskipun
adik kandungnya sendiri. Aku faham akan keadaan Hajah Wan Maimun dan aku tidak
pernah membantahnya.
Setelah mereka berlalu, barulah aku berpaling mengorak
langkah ke wad kecemasan. Di kaki lima hospital, ramai pelawat yang datang. Muka
masing-masing tiada yang jernih. Tempat melawat orang sakit, mana mungkin akan
gembira di sini melainkan pesakit yang sudah sihat dan dibenarkan pulang.
Aku terus menuju ke wad kecemasan. Degup jantung yang
berdetak kencang gagal untuk kukawal lagi. Perasaanku tidak ketahuan. Ibu, ibu,
hanya ibu yang hadir dalam ingatanku. Beg kecil berisi barang keperluan
kusandangkan di bahu.
Langkah kaki kupercepatkan. Kalau boleh, aku ingin
terbang mendapatkan ibu. Masuk ke wad kecemasan
itu seolah-olah masuk ke satu kawasan perkuburan moden. Sunyi sepi dan hanya bunyi
mesin bacaan jantung yang berbunyi sekali sekala. Bau ubat menyerbu masuk ke
rongga hidungku.
Seorang
petugas berdiri di tepi meja bersebelahan kaunter. Aku menyapa dan dengan
mesra, dia melayani pertanyaanku. Selepas memberitahu tujuanku, dia menyelak
buku pendaftaran besar di hadapannya. Selepas itu, aku dibawa oleh seorang
jururawat ke katil ibu.
“Ibu
saya sakit apa, nurse?” tanyaku.
“Err..puan
belum tahu?” tanya nurse itu kembali.
Aku
hanya menggeleng-gelengkan kepala walaupun aku tahu jururawat itu tidak dapat
melihat gelenganku. Dia sedang mendahuluiku untuk ke katil ibu.
“Ibu
puan ditimpa bumbung gerainya sewaktu hujan ribut pagi tadi,” terang jururawat
itu sambil membuka pintu bilik ibu dirawat.
Ya Allah! Ibukah ini? Aku hampir sahaja tidak
mengenali ibu lagi. Dengan bantuan alat pernafasan dan wayar-wayar berseliratan
di seluruh tubuh ibu. Ikutkan hati, aku ingin menerkam ke arah ibu. Meraung
memanggil namanya dan memeluknya erat-erat. Tapi
aku tidak sampai hati. Keadaan ibu amat tenat.
“Ibu,
Roha datang. Jangan tinggalkan Roha, bu. Roha perlukan ibu. Maafi Roha, bu. Ampuni Roha, bu.” Aku tidak tahu apakah ibu bisa
mendengar ratapan dan tangisanku.
Aku memegang tangan ibu yang sejuk dan kaku. Tangan
yang selalu membelaiku dan mengelus rambutku. Kukucup tangan ibu dan kubawakan
ke pipi.
“Puan, maafkan saya. Puan
ini anak pesakit inikah ?” tanya seorang doktor lelaki yang datang
menghampiriku. Aku hanya mengangguk-anggukkan kepala tanpa memandangi wajahnya.
Serasakan aku pernah mendengar suara garau itu tapi entah di mana.
“Bagaimana
dengan keadaan ibu saya, doktor ?” Aku mencari kekuatan untuk bertanya tentang keadaan ibu sekarang.
“Maafkan saya. Saya terpaksa berkata yang sebenarnya.
Keadaan ibu puan terlalu parah. Kami tidak tahu selama mana dia dapat bertahan.
Kalau dapat, puan kena sentiasa berada di sampingnya. Bacakan surah Yassin dan
doakan yang terbaik buatnya.”
Aku menoleh ke arah yang empunya suara.
ABANG MAHADI!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan