Ahad, 12 Oktober 2014

MENGUAK TIRAI DERITA - Fragmen 1 Bab 11

BAB 11
Abang Mahadi memanggungkan kepalanya memandangku dan mengenyitkan matanya padaku dari jauh. Kenyitan yang pasti mencairkan hati gadisku. Aku tersenyum. Hilang lenyap segala kepenatanku dan bayangan Encik Rosman. Melihat senyumannya yang menggoda, aku jadi tertawan.
Rasa bahagia dengan pertemuan semalam masih menyelubungi hatiku bagaikan dunia ini hanya milik kami berdua walaupun Abang Mahadi sekadar membawa aku makan-makan dan menonton wayang gambar. Aku bagaikan terapung-apung di awangan. Entah perasaan apakah itu?
“Bila kita boleh keluar lagi, Roha?” tanya Abang Mahadi sewaktu aku meletakkan nasi lemak dan kopi panas di hadapannya. Aku tersipu-sipu. Hatiku berbunga riang, memercuk kuntumannya tersebar ke seluruh alam. Wah, jadinya, Abang Mahadi masih ingin keluar denganku? Tidak serik-serik? Asap kopi yang naik berkelun-kelun bagaikan meraikan keriangan hatiku.
“Emm..entahlah,” sahutku sekadar menjual mahal sedangkan hati mengembang sedulang. Perlukah kupersiakan peluang yang baik ini? Aku melontarkan pandanganku ke arah jalan raya yang semakin sesak di hadapan gerai ibu, cuba untuk mengawal keterujaanku.
“Motosikal abang dah ok ke?” tanyaku, cuba mengalihkan tumpuan. Hampir lupa aku akan keadaan motosikal Abang Mahadi malahan sewaktu melewati surau di tepi simpang tadi, aku terlupa untuk menoleh ke bawah surau itu.
“Abang nak keluar dengan Roha lagi. Boleh, kan?” Lain yang ditanya, lain pula yang dijawabnya. Agak teruja saat aku mendengar pelawaannya namun aku cuba berlagak setenang yang mungkin. Tenang-tenang air di muara, jangan disangka tiada buaya. Heh! Aku masih sahaja tersenyum. Abang Mustafa hanya seperti orang pekak yang terus menghirup kopi panasnya. Tidak mendengar apa-apa langsung daripada perbualan kami. Kalau dengar pun, mungkin dia buat-buat tak faham.
Aku tidak teguh untuk berlama-lama di hadapan Abang Mahadi. Aku takut, aku tidak dapat menahan rasa keterujaanku kerana senyumanku semakin melebar.
“Roha ke dapur dulu, bang,” pohonku.
“Nanti dulu, abang belum habis cakap,” Abang Mahadi menegah.
“Lain kalilah, bang. Roha takut ibu marah,” pintaku sambil mengerling ke arah ibu di meja kaunter. Ibu sudah masuk ke ruang dapur. Abang Mahadi mengerti.
Aku melangkah ke dapur untuk membantu ibu membancuh minuman yang dipesan pelanggan sambil sesekali menjeling ke arah Abang Mahadi. Sehingga saat ini, aku masih sahaja dilanda perasaan. Entah perasaan apakah itu. Perasaan yang berbunga-bunga dan senang sekali.
Apa yang pasti, aku bangga kerana lelaki yang menjadi pujaan ramai ini, kini menjadi tawananku. Aku yang tidak cantik ini menjadi pilihan Abang Mahadi. Aku ingin terus mengekalkan Abang Mahadi di dalam tahananku. Aku  ingin memiliki dirinya sepenuhnya. Amir Khan, Amir Khan… Aku sudah mulai mengelamun saat ibu menyeru namaku. Nyaris aku tidak terbabas.
Saat Abang Mahadi datang untuk makan tengah hari, pelanggan di gerai sudah agak berkurangan. Abang Mahadi datang sendirian. Ibu ke bilik belakang untuk menunaikan solat Zohor. Kak Julie pulang sekejap untuk menghantar makanan kepada anaknya yang dijaga oleh ibunya semasa dia bekerja. Mungkin Abang Mahadi mengambil kesempatan ini untuk bertemu denganku kerana hanya aku yang berada di ruang hadapan.
Selepas pelanggan terakhirku beredar, aku mendekati meja Abang Mahadi. Abang Mahadi sedang enak menikmati nasi campurnya. Dia makan lambat-lambat. Mungkin saja helahnya untuk membuatkan aku menemaninya makan. Aku duduk di hadapannya sambil memandang dia makan. Abang Mahadi berhenti menyuap. Dia memandang ke arahku. Kalau aku sudah berani duduk di hadapannya, maknanya sudah tentu ibu berada jauh dari kami.
“Roha dah makan?” tanyanya, lembut. Aku rasakan suatu kelainan menyelinap di dalam lubuk hatiku. Rasa keriangan yang tidak tergambarkan. Rasa dikasihi dan disayangi sepenuh jiwa. Bunga-bunga kasih yang menguntum kian mekar. Aku menggeleng-gelengkan kepala.
Tanpa diduga, Abang Mahadi menghulurkan tangannya dan cuba menyuap nasi ke mulutku. Aku panik dengan tindakannya.
“Jangan. Nanti orang nampak. Tak elok,” ujarku menegah.
“Cepatlah, sebelum orang nampak,” Abang Mahadi mendesak. Aku tidak punya alasan lagi. Aku mengangakan mulutku dan Abang Mahadi menyuapku. Cepat-cepat aku mengunyah nasi itu.
“Dah, jangan buat lagi,” tegahku. Abang Mahadi hanya tersenyum.
“Bila kita boleh keluar lagi?” Abang Mahadi mengulangi pertanyaannya pagi tadi. Tetapi sebelum sempat aku menjawab, kudengar suara ibu berdehem di kaunter. Aku cepat-cepat bangun dan berpura-pura mengelap meja Abang Mahadi dan berlalu ke dapur.
Sehingga Abang Mahadi pergi, aku tidak berani menoleh ke arahnya lagi juga ke arah ibu. Ibu pula hanya berdiam diri seolah-olah tiada apa yang berlaku. Diam ibu yang penuh misteri. Sehingga ke petang, ibu tidak menegurku apatah lagi untuk berbual-bual denganku. Aku jadi panasaran.
 Abang Mahadi datang semula untuk minum petang. Kali ini, aku tidak berani melayannya lagi. Aku takut ibu mengesyaki yang bukan-bukan. Sengaja aku melarikan diri ke belakang agar Abang Mahadi tidak nampak aku.
Dia memesan juga minuman melalui Kak Julie. Mungkin Kak Julie telah memberitahu Abang Mahadi bahawa aku ada urusan di belakang atau mungkin juga dia tidak mahu ibu mengesyaki perancangan kami berdua kalau terus-terusan menunggu aku mengambil pesanannya.

Selepas minum, Abang Mahadi berlalu pergi. Menyesal juga aku kerana tidak keluar melayaninya. Tetapi ini perlu demi menjaga hati ibu dan aku tidak mahu ibu memendam rasa atas perbuatan kurang manisku itu.

Tiada ulasan: