
BAB
37
Seminggu
selepas pernikahan kami, Hajah Wan Maimun menyuruh Wan Syamril membawaku
berbulan madu. Hatiku riang bukan kepalang kerana sangkaku waktu itu Hajah Wan
Maimun memang mengasihiku sebagai menantunya.
“Kita nak ke mana?” tanya Wan Syamril sambil
mengelus-elus rambutku.
“Ke mana sahaja abang pergi, Roha ikut,” ujarku yang
sudah pandai bermanja-manja.
Wan Syamril membawaku ke Cameron Highlands. Itu
cadangan Hajah Wan Maimun. Kami menginap di Hotel New Garden Inn, Tanah Rata.
Bahagianya aku saat itu sangat sukar untuk diungkapkan. Aku yang tidak pernah
dibawa keluar makan angin bagaikan rusa yang baru terlepas dari kandang.
Nasib baik Wan Syamril sentiasa ada di sampingku. Aku
sangat bahagia dan berasa selamat di sampingnya. Hilang lenyap seketika segala
kerinduanku terhadap Abang Mahadi. Aku berdoa agar lelaki itu tidak lagi muncul
di dalam hidupku untuk merosakkan kebahagiaan kami.
Tiga hari di Cameron Highlands, kami terpaksa pulang.
Wan Syamril terpaksa kembali ke kampusnya untuk meneruskan pengajian. Terasa
berat hatiku untuk melepaskan dia pergi. Rasanya belum puas aku
dimanja-manjakan suamiku.
“Jangan sampai orang ingat aku tidak melayan menantu
aku dengan sebaiknya,” ujar Hajah Wan Maimun semasa kami berbicara tentang
percutÃan bulan madu di Cameron Highlands. Rupa-rupanya, Hajah Wan Maimun
sekadar ingin mengaburkan pandangan orang ramai agar tidak menyimpan syak
wasangka buruk ke atas dirinya dalam melayaniku.
Selepas Wan Syamril kembali ke kampus, aku terpaksa
mendepani kerenah Hajah Wan Maimun sendirian. Hatiku terasa sangat hiba. Aku
teringatkan ibu yang melayaniku dengan penuh kasih dan sayang. Di sini, aku
tidak lagi dapat menikmati kasih sayang itu.
Hatiku meronta-ronta untuk kembali ke rumah ibu tapi
apakan daya, aku terikat di sini. Walaupun rantainya tidak kelihatan namun
ikatannya yang kukuh tidak mampu kurungkaikan.
“Kalau kau lari balik ke rumah mak kau, kau akan putus
dengan Wan Syamril. Aku akan suruh Wan Syamril kahwin dengan Masyitah,” ugut
Hajah Wan Maimun. Waktu itu aku baru sahaja meminta kebenarannya untuk melawat
ibu dengan ditemani Mak Tam, isteri Pak Wan Daud yang merupakan tetangga
terdekat ibu mentuaku juga adik iparnya.
Kebencian Hajah Wan Maimun berganda-ganda. Semua
urusan pembantu rumah yang dilakukan oleh Kak Tipah, aku yang ambil-alih. Aku
tidak kisah melakukan kerja yang berat ini kerana aku sudah biasa membantu ibu
di gerai. Kerja-kerja di gerai lebih berat kalau hendak dibandingkan dengan
kerja-kerja di rumah ini. Tapi aku tidak sanggup mendengar leteran Hajah Wan
Maimun dan buah bicara maki-hamunnya. Aku tidak tahu apakah dosaku sehingga aku
dilayani sebegini rupa.
Hajah Wan Maimun juga gemar membuat majlis makan-makan
di rumahnya malahan pada setiap malam Jumaat, akan penuhlah rumahnya dengan
jiran tetangga kami kerana majlis bacaan Yassin bersilih ganti dengan kuliah
agama dan usrah yang disampaikan oleh seorang ustazah akan diadakan di rumah
ini. Itulah rutin mingguannya dan aku sudah pasti dikerahkan
untuk menyediakan hidangan.
“Masak
sedap-sedap,” katanya. “Jangan sampai tetamu merungut,” sambungnya lagi sambil
matanya mencerlang ke arahku. Hajah Wan Maimun ini kurasakan bukanlah seorang
yang suka memaksa-maksa atau memerintah tanpa sebab. Kadang-kadang, tingkahnya
seperti sengaja dibuat-buat. Mungkin dia cuma ingin menunjukkan kuasanya di
hadapanku.
Biar apa
pun yang Hajah Wan Maimun lakukan, aku tidak pernah membantah. Kewajipan
menghormati ibu mentua sama seperti kewajipan menghormati ibu kandung. Itu
pesanan ibu yang aku pegang sampai bila-bila.
Setiap kali
menyediakan makanan, aku pasti akan berzikir dan berdoa. Aku berdoa agar
dilembutkan hati-hati orang yang menikmati masakanku agar mengasihiku
terutamanya ibu dan bapa mentuaku.
Wan Syamril
anak tunggal, ketiadaannya pasti amat dirasai oleh Haji Nik Dasuki dan Hajah
Wan Maimun. Dan aku pasti sangat, majlis-majlis yang diadakan di rumah ini juga
bertujuan untuk menghiburkan hati keduanya. Namun begitu, aku masih belum
merasai kehadiranku di rumah ini dihargai.
Hajah Wan
Maimun dan Haji Nik Dasuki masih menganggapku seperti orang asing dan aku sedar
diri. Aku tidak meminta lebih. Dibenarkan tinggal di dalam rumah ini pun sudah
cukup memadai buatku. Jangan sampai aku diperlakukan yang bukan-bukan sudahlah.
Setakat masak memasak ini tidak menjadi masalah besar buatku.
Kugunakan
segala tunjuk ajar ibu dan kepakaranku dalam menyediakan makanan. Semoga dengan
cara ini ibu mentuaku akan lebih menyayangiku. Aku rasa ibu mentuaku suka akan
masakanku, sebab itulah dia berani meminta aku menyediakan makanan untuk para
tetamunya. Sedikit-sebanyak, kembang juga hatiku saat terdengar suara-suara
tetamu ibu mentuaku memuji masakanku.
Aku
juga tidak pernah menjawab segala kata nista dan maki hamun yang diucapkan
Hajah Wan Maimun. Hajah Wan Maimun bukanlah seorang yang tidak
berperikemanusiaan. Dia cuma tidak menyukaiku sahaja. Mungkin juga dia sudah
jemu kerana asyik memarahiku sedangkan aku sedikit pun tidak pernah membalas
atau membantah cakapnya sehingga akhirnya dia sudah agak jarang-jarang
memarahiku.
Pun
begitu, sesekali aku teringatkan ibu. Aku tidak berani meminta kebenaran Hajah
Wan Maimun untuk pulang menjenguk ibu. Hanya apabila Wan Syamril pulang
bercuti, barulah aku dapat memujuk suamiku itu menziarahi ibu walaupun kami
tidak pernah bermalam di sana.
Sekurang-kurangnya, terubatlah rindu di hati ibu dan aku jua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan