BAB
17
Aku
menuruni tebing berumput yang bercerun landai. Beberapa ekor belalang kunyit
berterbangan dilibas kain baju kurungku. Nafasku juga termengah-mengah. Letih
kerana berjalan laju-laju dan juga rasa marah yang meluap-luap dalam dada.
Beberapa batang ranting kayu kering daripada pokok kapal terbang
kupatah-patahkan dan kubaling ke udara.
Aku terus berjalan dan berjalan sampai satu saat aku
tidak tahu mahu berjalan ke mana lagi. Perlahan-lahan kutelusuri lorong kecil
menuju ke sebuah tasik lama. Tasik yang terbentuk daripada bekas tapak lombong
yang jarang dikunjungi orang ramai.
Mungkin di situ aku boleh temui ketenangan. Lagipun
kawasan tasik ini sunyi dan agak jauh daripada pandangan orang ramai. Aku ingin
mencari ketenangan diri buat seketika. Seorang lelaki kurus sedang menebarkan
jala di tengah tasik lombong sambil berdiri di atas sampannya. Matahari petang
yang memancarkan seri cahayanya terbias di tengah air yang tenang itu.
Aku merenung air tasik berwarna kelabu dengan
kehijauan dasarnya yang tenang dan damai itu. Damai permukaannya namun tidak
sedamai hatiku. Aku kecewa dengan cara ibu melayaniku. Ibu yang terus sahaja
menembakku tanpa sempat aku menepis. Aku tidak diberikan peluang untuk
menerangkan rasa hatiku.
Kerikil-kerikil kecil itu kusepak perlahan-lahan,
sedikit terlontar ke udara dan sedikit lagi pecah berderai di kaki. Aku
membongkok, mencapai sebutir kerikil yang sudah terdampar di hujung jari kakiku
lalu kulontarkan ke dada tasik hijau.
Kocak air tasik itu bergegaran menghasilkan gelombang
kecil yang semakin menguak. Kutunduk lagi untuk mengutip kerikil langsung
membalingnya ke dada tasik. Puaskan hatiku untuk melepaskan perasaan marah dan
kesal. Bagaimana ibu boleh berpura-pura tidak tahu apa-apa sedangkan ibu tahu
segala-galanya tentang aktivitiku melalui Mak Cik Radio dan Encik Rosman
Perisik. Ibu terlalu berahsia denganku. Aku jadi malu sendiri.
Tapi, mungkin juga ibu tidak mempercayai kata-kata
mereka berdua itu kerana ibu tidak
pernah memarahi aku sebelum ini. Ibu hanya cuak apabila terjumpa baju
kurung sutera Terengganu di dalam kotak pakaian lama sahaja. Sikapku yang
mengunci mulut dengan wajah bersalah sahaja yang menjadi penyebab ibu
mencurigaiku. Aku yang sengaja membongkar rahsiaku sendiri.
Ibu. Aku jadi mahu menangis. Aku menyayangi ibu tetapi
aku juga menyayangi Abang Mahadi walaupun aku baru mengenali Abang Mahadi
hampir-hampir tiga bulan. Bagaimana ibu tidak boleh menerima pilihan hatiku.
Apa salahnya Abang Mahadi? Apa kurangnya Abang Mahadi?
Janganlah hanya kerana rumahtangga ibu berantakan, ibu
jadi benci lelaki dan ibu tidak mengizinkan aku bahagia. Aku mengeluh dan
menangis lagi. Kuseka air mata di pipi yang sekejap kering dan sekejap basah.
Kukesat hidungku yang basah dengan pergelangan baju kurungku. Ibu tidak adil.
Kalau ibu tidak bahagia, apa perlunya ibu mengheretku untuk turut sama tidak
bahagia sepertinya.
Petang kian menginjak ke penghujungnya. Remang-remang
senja kian muncul di kaki langit. Aku tidak ingin pulang. Aku masih terasa hati
dengan ibu. Ibu tidak memberi aku pilihan. Adakah gadis yang seusiaku ini masih
mahu dikongkong-kongkongnya?
Aku ini sudah cukup dewasa. Sudah tahu membezakan mana
yang buruk dan mana yang baik. Sambil melangkah, mulutku masih sahaja
terkumat-kamit mencela sikap ibu terhadapku. Aku benar-benar tidak puas hati.
Sudahlah aku tidak dibenarkan melanjutkan pelajaran, kini tidak dibenarkan pula
untuk memiliki kasih sayang seorang lelaki.
Ibu nak suruh aku buat apa sebenarnya? Ibu nak suruh
aku jadi apa sebenarnya? Ibu nak simpan aku sampai bila?
Senja mulai berlabuh tiba, agas dan nyamuk semakin banyak
menghurungiku. Aku menepis kiri dan kanan. Cukup tidak selesa dengan situasi
ini. Perutku pula sudah berbunyi-bunyi minta diisi. Aku hendak merajuk sampai
bila?
Apa khabar ibu di rumah? Tentu ibu sedang
ternanti-nanti kepulanganku. Tentu juga ibu sedang resah gelisah. Ah, biarlah
ibu nak resah gelisah pun! Bukan aku peduli. Biar ibu risau dan bimbang. Biar
ibu tak punya aku lagi. Ibu yang sudah tidak menyayangiku. Lagipun ibu itu
lebih sayangkan gelegar rumahnya berbanding dengan diriku.
Pelbagai kejadian buruk berlaku sejak akhir-akhir ini.
Anak-anak gadis ditangkap, diperkosa, dibakar dan dibunuh sesuka hati.
Tiba-tiba sahaja aku jadi ngeri.
Mataku meligas ke sekeliling. Bimbang pula jika ada
mata-mata jahat yang sedang merenungiku. Langkah kaki kuayun laju. Terkadang,
aku berlari-lari anak seolah-olah sedang dihambat sesuatu. Rasa gerun dan takut
menguasai hatiku.
Aku tidak ingin pulang tapi aku harus pergi ke mana?
Rumah siapa yang boleh aku jadikan tempat menumpang bermalam? Dalam letih dan
lelah itu, aku terus menghayunkan langkah. Aku teringatkan Kak Julie.
Dalam kelam malam itu, aku mengukirkan senyuman. Aku
sudah ada arah tuju. Aku hendak ke rumah Kak Julie. Tentu Kak Julie tidak
keberatan untuk membenarkan aku bermalam di rumahnya barang semalam dua.
Aku masuk ke satu lorong kecil bertar dan langsung
bergegas menuju ke rumah Kak Julie. Peluh merintik-rintik di dahi dan badanku.
Baju kurungku sudah masam dengan bau peluh. Aku rasa tidak selesa. Aku
melangkah cepat-cepat agar segera sampai
di rumah Kak Julie.
Dari jauh, aku nampak kelip-kelip lampu rumah Kak
Julie. Semakin aku menghampiri rumah kecil itu, semakin aku berdebar-debar. Di
hadapan rumah Kak Julie tertonggok sebuah motosikal. Kak Julie tidak memiliki
motosikal, jadi motosikal kepunyaan siapakah itu?
Aku teragak-agak namun langkah kaki tetap kuteruskan.
Rumah Kak Julie semakin kudekati. Ada suara-suara berbual saling bertingkah di
dalam sana. Aku tidak berani untuk melaung namanya.
Aku menjenguk sedikit melalui lubang tingkap cermin
yang agak jarang. Aku nampak Kak Julie tapi aku tidak nampak lelaki yang duduk
membelakangiku. Aku tidak tahu siapakah lelaki itu, mungkin saudara Kak Julie.
Sepertinya aku pernah melihat lelaki itu tetapi aku tidak dapat menekanya
sekarang. Kepalaku sedang berserabut.
Aku tidak jadi mengetuk pintu rumah Kak Julie. Aku
segan untuk mengganggunya lebih-lebih lagi dia sedang melayani tetamunya. Aku berpatah balik. Aku perlu pulang kerana
aku tidak punya arah tujuan lagi. Biar apapun yang berlaku, aku akan berdepan
dengan ibu. Aku akan mempertahankan hubunganku dengan Abang Mahadi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan