BAB
18
Arah
haluanku bertukar lagi, tidak jadi ke rumah Kak Julie tetapi berpatah
balik menuju kembali ke rumah ibuku.
Harap-harap ibu sudah tidur. Aku boleh curi-curi masuk melalui pintu belakang.
Aku merangka-rangka sendiri perancanganku. Memang aku tak punya tempat lain
untuk berlindung kecuali di rumah ibu.
Malam masih muda tapi aku rasa takut yang amat. Peluh
memercik keluar dari seluruh liang di tubuhku. Tapak kaki terasa melecet dan
sakit. Urat keting dan urat betisku terasa mencengkam. Namun aku teruskan juga
langkah kaki.
Kalau diikutkan rasa letih dan sakit-sakit kakiku,
ingin saja aku berhenti di tepi jalan ini. Duduk melunjur di atas tembok batu
dan mengurut kakiku yang terasa bisa-bisa. Tapi, aku perlu gagahkan juga kakiku
melangkah.
Hatiku sedikit berbunga riang saat kakiku telah
melangkah di atas aspal menuju ke rumah kecil kami. Cepat-cepat kugesa kakiku
agar bergerak laju. Nafasku pendek-pendek dan termengah-mengah. Hampir sepetang
ini aku belum duduk dan berehat. Aku berjanji tidak akan merajuk lagi dengan
ibu.
Kali ini aku mahu berterus-terang sahaja dengan ibu
dan aku akan memujuk ibu perlahan-lahan agar sudi menerima Abang Mahadi sebagai menantunya. Menantu?
Aduh, betulkah Abang Mahadi bersungguh-sungguh mahu memperisterikanku?
Mudah-mudahanlah, ya ALLAH. Hatiku yang panas kembali terasa dingin.
Langkah kakiku terhenti tiba-tiba. Di hadapan rumah
ibu ada sekelompok manusia. Masing-masing memegang kayu dan lampu picit. Aku
tidak nampak ibu dalam gerombolan itu. Ibu! Apa yang telah terjadi ke atas ibu?
Aku jadi cuak. Adakah ibu sakit? Ibu, ibu, maafkan Roha. Aku berlari-lari
menuju ke laman rumah. Air mataku berhamburan lagi.
Semua yang ada di situ turut terpegun. Mereka
berpusing serentak memandangiku yang sedang berlari dengan esak tangis menuju
ke tangga rumah.
“Ibu, ibu,” laungku dalam tangisan yang menggila.
Apabila kelompok itu terbuka sedikit untuk memberi laluan kepadaku, barulah aku
nampak ibu yang sedang terduduk di atas anak tangga rumah yang paling bawah
sambil kepalanya disandarkan di bahu Mak Enun.
Ibu juga terpegun memandangku. Dia bangun sambil
mengesat-ngesat air matanya.
“Ibu, ampunkan Roha, bu. Maafkan Roha.” Kami saling
berpelukan dan bertangis-tangisan tanpa mempedulikan mata-mata yang memandang.
Setelah tangisan kami agak mereda, ibu berkata padaku,
“Roha naik dulu, bersihkan badan dan tukar pakaian.” Aku mengangguk-anggukkan
kepala dan menapak naik ke atas rumahku.
“Terima kasih semua dan maafkan saya kerana
menyusahkan encik-encik.” Aku dengar ibu menuturkan begitu kepada sekelompok
manusia di bawah sana.
“Tak apalah Puan Sarah. Memang tanggungjawab kita
hidup bermasyarakat. Susah senang kita kongsikan bersama.” Aku juga terdengar
seorang lelaki berkata sedemikian.
“Kami balik dulu, Puan Sarah. Syukurlah Roha dah balik
dengan selamat. Jangan dimarah sangat budak itu nanti takut dia lari lebih jauh
lagi. Banyak sangat kes-kes jenayah sosial yang berlaku sejak akhir-akhir ini,”
seseorang pula menyampuk seperti wartawan berita tempatan pula.
Aku tidak ambil kisah lagi apa bicara mereka yang di
bawah itu. Berbincanglah apa sahaja, aku tidak peduli lagi. Aku mahu bersihkan
diriku yang sudah berbau hanyir. Aku ingin mandi, solat dan mengkhadakan solat-solat
yang aku tinggalkan sepanjang hari ini.
Selesai mengurusi diriku, aku ingin sahaja melelapkan
mataku yang sudah terasa amat berat ini namun perutku berkeroncong minta diisi.
Sebaik sahaja selesai melipat kain telekung, ibu menjenguk ke dalam bilik,
“Mari makan dengan ibu, Roha.” Bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal, aku
tergesa-gesa menyangkut kain telekungku dan mengekori ibu ke dapur.
Perkara pertama yang aku lakukan ialah mencapai gelas
dan memenuhkannya dengan air suam. Tekak yang kehausan perlu kubasahi. Agak
rakus juga aku meneguk air itu. Rasanya seperti sudah berbulan-bulan aku
kedahagaan. Gelas yang sudah kosong itu kupenuhkan lagi. Dua gelas air masih
belum mencukupi.
“Roha, makan nasi dulu baru minum air,” tegur ibu
sambil mencedukkan nasi ke dalam pingganku. Perasaan aku sedikit terharu kerana
dilayan semesra ini oleh ibu. Aku akur nasihat ibu. Gelas air yang ketiga
kutinggalkan separuh. Aku menyambut huluran mangkuk air basuh tangan daripada
ibu.
Kami makan dalam diam dan ibu menyiramkan beberapa
sudu kuah gulai lemak ikan keli ke dalam pinggan nasiku. Aku diam sahaja.
Timbul sedikit kekesalan di hatiku kerana menyangka ibu sudah tidak
mengasihiku, juga kerana bencinya aku terhadap ibu petang tadi. Baru sekali
dimarah ibu, aku sudah bertindak sedemikian rupa. Rasa kesal yang menggunung
menjalar ke seluruh urat sarafku. Air
mata yang mahu mengalir lagi, kukesat perlahan.
Aku juga terperasan yang ibu asyik mengelap matanya
dengan lengan bajunya. Mungkin ibu juga sedang bersedih sepertiku. Aku ingin
mengucapkan terima kasih dan kata maaf kepada ibu tapi aku tidak mampu untuk
meluahkannya. Aku tahu, setiap butir bicaraku pasti akan berhamburan keluar
bersama seiring dengan air mata kesalku.
Akhirnya, aku mengambil keputusan untuk diam sahaja
dan menyuap nasiku dengan penuh hati-hati. Perut yang lapar ini bagaikan
bersyukur kerana telah diisi dengan makanan yang enak-enak ini. Kasihan ibu,
terpaksa mengerahkan jiran tetangga untuk mencariku. Nasib baik aku cepat
balik, kalau aku bermalam di rumah Kak Julie, tentu ibu tambah susah hati.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan