
BAB 23
Setelah
mandi dan bertukar pakaian, Abang Mahadi ingin membawa aku bertandang ke
rumahnya seperti yang direncanakan tetapi sebelum itu, dia keluar terlebih
dahulu untuk membaiki motosikalnya.
“Roha
tunggu abang di sini. Nanti abang datang ambil Roha. Kita pergi ke rumah abang
sama-sama.” Dia menyuruh aku
menunggu di situ. Aku mematuhi arahan Abang Mahadi walaupun perutku sudah
terasa ingin diisi.
“Abang pergi sekejap sahaja. Roha jangan ke
mana-mana,” pesan Abang Mahadi lagi.
Abang Mahadi mengucup dahiku sebelum berlalu pergi.
Aku mengusap-usap dahiku yang basah dek ciuman Abang Mahadi, terasa hangat dan
mendebarkan. Debaran sepasang kekasih yang tewas dek hasutan iblis dan syaitan.
Saat ini, iblis dan syaitan itu sedang bergembira dan berpesta kerana meraikan
kejayaan mereka menumpaskan keimanan dua orang anak Adam.
Pastilah mereka sedang bersorak-sorai kerana berjaya
menunaikan janji mereka di hadapan Allah SWT untuk menyesatkan umat manusia
sehingga ke akhir zaman. Umat manusia yang masih lagi dibuai oleh nafsu dunia.
Nafsu yang tiada hujung dan pangkal dan tiada tepi dan tengahnya. Roha dan
Mahadi yang hanyut dan musnah.
Lama
kutunggu kemunculan semula Abang Mahadi
untuk menjemputku ke rumah orang tuanya.
Saat bertukar minit, minit bertukar jam. Abang Mahadi masih tidak
muncul-muncul. Aku semakin kegelisahan. Apa yang telah berlaku? Dia ke mana
sebenarnya? Apakah Abang Mahadi ditimpa kecelakaan? Aku jadi tidak tentu arah
dibuatnya. Sesekali, aku menyelak langsir bilik
untuk melihat kepulangannya tetapi hampa.
Aku
berjalan mundar-mandir di dalam bilik hotel yang sempit itu. Sekali sekala, aku
menggenggam dan mengepal-ngepal tanganku untuk meredakan ketegangan. Perutku kian berkeroncong.
Bodohnya
aku ini, aku langsung tidak pernah bertanya nombor telefon bimbit Abang Mahadi
selama kami berkawan err..maksud aku, bercinta. Setiap hari, kami hanya bertemu
dan berbicara di warung ibu sahaja.
Lagipun,
aku juga memang tidak mahu Abang Mahadi menghubungiku bila-bila masa sahaja
yang dia suka. Aku takut ibu akan mengesan perhubungan kami. Aku takut dia
menghubungiku saat ibu ada bersama. Akhirnya, aku jadi lupa untuk mengambil
nombor telefon bimbitnya.
Abang
Mahadi pun sama juga. Katanya, dia tidak mahu asyik bergayut di telefon.
Lagipun, dia boleh bertemuku bila-bila masa sahaja. Jadi, apa perlunya
berhubungan melalui telefon lagi?
Jadinya
di saat-saat genting ini, barulah aku benar-benar merasai perlunya aku
mendapatkan nombor telefon Abang Mahadi. Aku hanya mampu merenung telefon
bimbitku yang lesu. Tidak tahu kepada siapa mahu aku mengadu. Kelaparan yang
melampau juga amat mengganggu keselesaanku. Lapar dan rimas.
Saat
kudengar ketukan di pintu, aku menyangka bahawa Abang Mahadi telah kembali. Aku
berlari memulas tombol pintu itu. Tetapi apa yang kulihat bukanlah Abang
Mahadi. Hanya Tauke Cina yang
kutemui di kaunter hotel semalam.
“Nyonya, suda pukui dua belas libih. Kita mau cuci.
Ada olang mau guna ini bilik,” katanya.
Aku bergegas mengambil begku dan terus meluru keluar
dari bilik itu. Saat aku menapak menuruni anak tangga, aku masih mengharapkan
kepulangan Abang Mahadi. Aku tidak pernah keluar sejauh ini bersendirian. Aku
tidak tahu ke mana harus kutujui. Aku semakin keliru.
Sedang aku tercangak-cangak mencari perhentian bas,
namaku dilaung seseorang. Aku sangkakan Abang Mahadiku telah kembali tetapi
rupa-rupanya Wan Syamril yang melaungkan namaku. Apa yang dibuatnya di sini?
Aku meninjau ke sekitarnya, tiada Masyitah bersama Wan Syamril. Oh, Tuhan. Di saat yang genting ini Kau utuskan
seseorang untuk membantuku.
Entah mengapa, baru sekarang aku teringatkan Tuhan
walhal sejak semalam aku telah melupai Tuhan. Aku telah mengingkari ajaran dan suruhan agama Islam. Aku rasa
ingin meraung saat ini tapi aku perlu mengawal diriku agar Wan Syamril tidak
nampak kegusaran yang mencengkam di sanubariku.
Wan
Syamril datang kepadaku menyerahkan lehernya untuk disembelih. Aku tidak
berniat untuk mempergunakannya tetapi aku perlukan bantuannya saat ini. Sangat-sangat
perlu. Aku rasa ingin memeluknya kerana
dia hadir betul-betul di saat aku benar-benar memerlukan. Hampir mengalir air mataku melihat dia yang wujud di
hadapan mataku.
“Roha nak ke mana ni?” tanyanya.
“Saja jalan-jalan,” ujarku berbohong. Mungkin Wan
Syamril akan termakan dengan pembohonganku kerana di tanganku hanya ada beg
tangan dan sebuah beg kecil berisi telekung dan sehelai baju persalinanku yang
telah kupakai semalam.
Telekung? Aku hampir terlupa bahawa aku ada membawa
telekung bersamaku sedangkan aku tidak menggunakannya sejak semalam lagi. Aku
lupa Tuhan, aku lupa diri, aku lupa untuk melaksanakan amal ibadatku. Aku tidak
peduli dua malaikat yang berada di bahu kiri dan kananku yang mencatatkan
amalan baik dan burukku saat aku sedang bergelumang dengan dosa bersama Abang
Mahadi.
Oh,
Tuhan. Alangkah hinanya aku ini. Tubuhku
bersalut dosa dan noda.
“Roha nak jalan ke mana? Mari Syam temankan.” Aku
tidak dapat menelah sejauh mana kejujuran hati Wan Syamril. Adakah
dia sama seperti Abang Mahadi seperti yang pernah dikatakan ibu? Menyedut
manisnya tebu dan membuang hampasnya di tepi jalan tanpa belas kasihan. Akulah
tebu itu. Tebu yang telah disedut kemanisannya. Kini hampasku akan terbuang
begitu sahaja. Aku akan diludah jua.
Tiba-tiba
sahaja aku jadi jijik mengenangkan kekotoran
tubuhku sendiri. Aku kini kotor. Aku kini orang yang hina. Hanya dalam
sedetik masa, aku kehilangan segalanya, maruah dan harga diri. Maafkan Roha,
bu. Ampunilah dosa-dosa Roha.
“Roha
kenapa?” Sekali lagi Wan Syamril menyentap lamunanku.
“Roha
dah nak balik. Roha nak ke perhentian bas,” kataku kemudiannya. Wan Syamril
tersenyum. Aku tidak tahu apakah makna senyumannya itu. Adakah dia mengejekku?
Apakah dia dapat menghidu kisah semalamku? Ah, peduli apa aku dengan ejekannya.
Sekarang aku perlukan pertolongannya. Aku perlu balik!
“Kalau
begitu, kita balik sama-sama. Syam pun nak balik kampong juga,” sahut Wan
Syamril melenyapkan prasangkaku.
“Syam
tak naik motor?” tanyaku kerana selalunya Wan Syamril bermotosikal sahaja apabila
pulang ke kampong.
“Emm…
kadang-kadang, penat juga menunggang jauh-jauh ni. Sesekali, nak juga berehat
dan biarkan orang lain memandu. Itulah sebabnya Syam nak naik bas saja,” terang
Wan Syamril panjang lebar.
“Masyi
mana?” tanyaku, masih sempat memikirkan tentang perampas buah hatiku ini dulu.
“Emm..entahlah.
Mungkin dia akan balik kemudian,” katanya. Mungkin juga kerana mereka bukan berada di universiti
yang sama. Wan Syamril di UM manakala Masyi di UKM. Ini mungkin menjadi peluang
baikku untuk mendekati Wan Syamril jika sekiranya aku masih belum punya Abang
Mahadi.
Tidak mungkin aku akan mencurangi Abang Mahadi selepas apa yang berlaku antara
kami malam tadi. Biar apapun yang terjadi, aku akan tetap mencari Abang Mahadi. Abang Mahadi yang telah menguasai
seluruh ruang hatiku dan sekujur tubuhku. Tapi saat ini aku memerlukan bantuan
Wan Syamril kerana aku tidak tahu bagaimana mahu pulang ke kampong kami.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan