
BAB 26
Aku tercengang-cengang
melihat perlakuannya. Apakah Abang Mahadi cemburu melihat aku bersama-sama Wan
Syamril? Ah, mana mungkin. Abang Mahadi tidak pernah mempamerkan sikap
cemburunya tetapi mengenangkan pandangan mata Abang Mahadi sebentar tadi,
menimbulkan rasa gerun di hatiku. Aku tahu, Abang Mahadi marah padaku.
Apakah
yang perlu aku lakukan untuk melenyapkan amarahnya? Abang Mahadi yang kutunggu
sejak pagi tadi tetapi tiba-tiba sahaja pergi meninggalkanku begitu sahaja.
Marahkan aku banyak mana? Marah
sangat-sangatkah?
Aku
perlu menunggu Abang Mahadi lagi. Akan kuterangkan segalanya. Antara aku dan
Wan Syamril hanyalah teman biasa. Kisah cinta kami berdua sudah menjadi
sejarah. Sejarah pahit dan juga manis kalau dikenang.
Pada
masa ini, hanya kasih Abang Mahadi yang mengisi setiap lapisan hatiku. Wah,
hati pun ada berlapis-lapis juga, ya? Abang Mahadi, setelah kuserahkan jiwa dan
ragaku kepadamu, aku akan tetap kekal menjadi milikmu, selama-lamanya. Itulah
keazaman yang kuterapkan di jiwaku untuk mengurangi rasa gusarku.
Sepanjang
hari ini, aku rasa betul-betul tidak selesa. Hatiku berdebar-debar dan tidak
keruan. Semua kerja serba tidak kena sehinggakan ibu juga turut terkesan dengan
kelakuanku. Setelah Wan Syamril pergi, aku lebih banyak berdiam diri, berfikir
dan berangan-angan.
“Roha
kenapa?” tanya ibu saat aku sedang termenung sedangkan cawan di tangan belum
kubilas dengan air paip yang menderu keluar.
“Errr…tak
ada apa-apa ibu,” sahutku agak resah.
“Anak
dara tak baik asyik termenung. Dah siapkan kerja tu cepat. Pelanggan di depan
tu sudah semakin ramai. Kasihan Kak Julie melayannya sendirian,” kata ibu
sambil berlalu ke depan.
Aku
segera melunasi kerjaku. Cawan-cawan itu kutiarapkan di atas rak supaya airnya
cepat kering. Kalau perlu digunakan segera, aku akan mengelapnya dengan
menggunakan tuala ‘good morning’.
Selepas itu, aku bergerak ke ruang depan. Kak Julie sedang mengambil pesanan
pelanggan.
Aku
menghampiri meja yang baru sahaja dikosongkan pelanggan. Pinggan-mangkuk itu
kususun baik-baik sebelum kuangkat ke sinki. Sewaktu aku datang semula untuk
mengelap meja itu, sudah ada pelanggan yang baru tiba. Aku melemparkan senyuman
dan mulai mengelap dengan cermat di hadapan pelangganku.
Setelah
itu, aku mengeluarkan buku catatan dari kocek apronku bersama sebatang pen
untuk mengambil pesanan pelanggan. Segala yang dipesan, kucatatkan dengan
hati-hati. walaupun hatiku sedang gundah-gulana tetapi aku tidak mahu
menampakkannya secara langsung di hadapan orang lain.
Hari
ini aku tidak pulang awal kerana ibu memintaku menemaninya untuk pulang
bersama. Terbit juga rasa hairan di hatiku kerana selalunya ibu meminta aku
pulang awal supaya aku dapat berehat dan
mengemas rumah sementara menunggu ibu pulang. Aku tidak bertanya banyak dan
hanya menuruti sahaja kemahuan ibu.
Sewaktu
melangkah pulang bersama-sama ibu, hatiku resah gelisah juga. Aku bimbang
sekiranya Abang Mahadi ada menantiku di bawah rumpun pisang sana. Doaku semoga
Abang Mahadi tidak membuat sebarang kejutan di hadapan ibu.
Semasa
menuruni tebing berumput itu, aku nampak kelibat Abang Mahadi dan motosikalnya
di balik rumpun pisang tetapi aku pura-pura tidak melihatnya. Sesekali aku
mengerling ibu di sebelah tetapi ibu tidak menunjukkan apa-apa reaksi.
Setiba
di tangga rumah, terdengar satu suara memanggil ibu. Kami serentak menoleh ke
belakang. Mak Enun! Mak Enun lagi! Sudah seperti kembar pula dia dengan ibuku
kini. Aku meninggalkan ibu di tangga manakala aku melangkah terus naik ke
rumah.
Mak
Enun mengesat peluh di dahinya sambil bersalaman dengan ibu.
“Dah
lamakah Cik Enun tunggu?” tanya ibu. Nampaknya seperti mereka ini sudah ada
perjanjian antara keduanya.
“Tak
juga. Saya singgah di rumah Esah tadi. Minta dia tolong gubahkan hantaran bagi
pihak Rosman.”
Nafasku
terhenti. Tiba-tiba sahaja jiwaku dirundung luka. Hantaran? Ibu sudah terimakah
pinangan Encik Rosman? Kenapa ibu merahsiakannya daripadaku? Apakah sudah tidak
bermakna lagi aku berada di sisinya?Apakah pendapatku sudah tidak diperlukan
lagi?
Tiba-tiba
sahaja aku rasa bagaikan jatuh dihempap pelepah kelapa. Bukan sahaja pelepah
kelapa malahan dengan buah dan tandan-tandannya sekali. Air mataku sudah tidak
dapat dibendung lagi. Cepat-cepat aku menolak daun pintu dan berlari menuju ke
bilikku. Ibu dan Mak Enun terpinga-pinga di hujung tangga.
Air
mataku berhamburan membasahi bantal. Aku tidak tahu berapa lama aku menangis
sehingga aku tertidur. Aku hanya terjaga apabila terasa ada tangan yang
mengelus bahuku.
“Roha,”
sayup-sayup aku terdengar suara ibu.
“Roha
bangun. Dah Maghrib, nak,” ujar ibu lagi.
Aku
mencelikkan kelopak mataku perlahan-lahan. Masih terasa perit dan sembab.
Terasa tangan ibu mengelus-ngelus rambut dan bahuku.
“Roha,
ibu minta maaf. Salah ibu kerana merahsiakannya daripada pengetahuan Roha.
Kalau Roha tak suka, ibu akan menolak lamaran itu.” Aku jadi sedikit lega
menerima perkhabaran itu. Jadinya, ibu tidaklah memaksa aku untuk menerima
lamaran itu tanpa persetujuanku.
Bukaan
mata kulebarkan.
“Sudah.
Jangan menangis lagi. Ibu ada bersama-sama Roha. Kita berdua sahaja dan ibu
tidak akan memaksa Roha menerima orang lain yang Roha tidak suka di dalam hidup
kita.” Suara ibu yang melirih membuatkan aku rasa sangat terharu.
“Terima
kasih ibu kerana memahami perasaan Roha.” Aku memeluk ibu erat-erat dan
mengucapkan syukur atas penyelesaiannya. Maknanya, aku masih punya harapan
untuk bersama-sama Abang Mahadi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan