Ahad, 12 Oktober 2014

MENGUAK TIRAI DERITA - Fragmen 1 Bab 7

BAB 7
Masyitah merenung Abang Mahadi seperti sedang membuat satu penilaian rapi dengan penuh saksama. Dan dalam waktu yang sama, Wan Syamril juga sedang merenungiku. Mungkin dia ingin melihat wajah bekas kekasihnya yang pernah diusapnya dulu. Aku tidak ingin dia terus merenungku, lantas aku menoleh ke arahnya. Pandangan kami bertaut dan dia mengukirkan senyuman.
Aku meluat melihat senyuman itu walaupun aku juga merinduinya. Aku berpusing ke arah Abang Mahadi dan Masyitah. Mereka masih berpegangan tangan. Aku menarik  tangan Abang Mahadi, cuba mempamerkan rasa kurang setujuku dengan perlakuan mereka.
“Tadi abang cakap nak pergi makan dulu,” luahku bermanja-manja sekadar untuk mengingatkan dia tentang kehadiranku di sisinya. Kepalaku tetap sahaja berdenyut-denyut. Harap-harap tiada siapa yang perasan, di kain tudungku ada titisan darah.
Warna tudung hijau muda dan hijau tua berselang-seli ini, mungkin dapat melindungi kesan darah. Tampaknya mungkin seperti corak di atas kepala dan malam yang suram mungkin juga akan menjadi penyelamat buatku daripada menjawab soalan-soalan mereka ini.
“Oh, ya. Mari kita pergi makan sama-sama.” Abang Mahadi mempelawa sambil memandang Masyitah dan Wan Syamril bergilir-gilir. Hampir serentak mereka mengangguk-anggukkan kepala.
Kami beriringan menuju ke gerai yang berdekatan. Masyi berpaut di lengan Wan Syamril. Aku juga tidak mahu mengalah. Sengaja aku merapatkan diri dengan badan Abang Mahadi. Abang Mahadi yang menarik tanganku untuk berpaut di lengannya. Aku tidak membantah. Dia menggosok kepalaku, perlahan. “Och!” Walaupun perlahan tetapi sakit. Aku menarik tangannya turun ke sisi.
Sekumpulan anak muda lelaki dan perempuan turut berkumpul di situ. Mungkin mereka juga seperti kami, menunggu tayangan pukul sepuluh nanti. Cuma bezanya, mereka berpakaian ranggi-ranggi, sedangkan aku berbaju kurung moden kain sutera dari Terengganu lagi. Betul kata Abang Mahadi, macam nak pergi makan kenduri.
“Roha nak makan apa?” tanya Abang Mahadi dan kembali menumpukan perhatian padaku. Suaranya yang lunak mampu menggegarkan iman sesiapa sahaja terutamanya aku. Aku yang telah lama menyimpan hasrat untuk keluar bersamanya. Mana mungkin aku akan mempersia-siakan peluang yang datang tanpa diduga ini. Bibirnya basah mengukirkan senyuman.
“Apa yang abang makan, itu yang Roha akan makan,” sahutku seromantis yang mungkin. Sebenarnya, aku sendiri jelek dengan ayatku itu, mengada-ngada. Tetapi, aku punya sebab untuk berbuat begitu kerana sejak dari tadi Wan Syamril asyik mengerling ke arahku dengan ekor matanya. Aku tahu itu.
“Syam, kita nak makan apa pula?” tanya Masyitah pula, mungkin cuba untuk berkongsi citarasa yang sama dengan Wan Syamril.
“Apa yang Roha dan Mahadi makan,” sahut Wan Syamril, jelas. Aku rasa, bulu romaku tegak sembilan puluh darjah mendengar Wan Syamril menyeru namaku. Seruan yang sudah lama tidak singgah di cuping telingaku. Dadaku kembali bergetaran. Mungkinkah masih ada semarak cintaku terhadapnya?
Mungkin satu kesilapan besar Masyitah membawa Wan Syamril bertemu denganku malam ini kerana aku masih sahaja dapat melihat sinar matanya yang memancar ke arahku meskipun Masyi tidak pernah renggang dari sampingnya.
Aduh, kenapa mesti aku mengenangi lelaki yang berada di hadapanku ini sedangkan aku berada di samping Abang Mahadi yang sedang merenungku dengan penuh kasih sayang dan kemesraan? Kukira, kedua-dua lelaki ini sedang berlumba-lumba dan saling berebutan untuk mendapat tempat di hatiku. Namun bagiku, Abang Mahadi ada di tempatnya yang tersendiri manakala Wan  Syamril pula berada di sebelah tempat yang satu lagi. Hatiku kini bagaikan terbahagi dua.
Minuman yang dipesan tiba dahulu, dihantar oleh pelayan perempuan yang agak mahal senyumannya. Wan Syamril mengacau-ngacau buah laici di dalam gelasnya. Aku rasa aku sudah nampak isyarat dan kiasan yang cuba disalurkannya. Sambil mengacau, sambil dia menjelingku. Adakah cintanya masih berkelana buatku? Ah, kenangan itu datang lagi.
Kira-kira dua tahun yang lalu…
“Syam, Roha nak buah laici tu,” seruku sewaktu melihat Wan Syamril mengangakan mulutnya untuk mencicip buah laici di dalam sudunya. Sudu plastik berwarna hijau muda yang sudah tiba di bibirnya seakan terkaku di situ. Dia menyuakan isi sudu itu kepadaku, lalu menyuapkannya ke  mulutku. Aku memamahnya sambil tertawa. Masyitah yang melihatnya hanya tersenyum. Dia sudah biasa melihat kemesraan kami itu malahan aku boleh berkongsi apa sahaja dengan Wan Syamril.
Oh, alangkah manisnya kenangan itu. Namun tiba-tiba sahaja kini, Masyitah mengambil alih perananku. Masyitah yang berpaling tadah dan Wan Syamril yang buta perut. Aku tahu kekurangan diriku kerana aku bukan pelajar universiti seperti mereka. Aku memang tidak layak untuk bergandingan dengan Wan Syamril. Aku kini gadis kampong yang menghabiskan sisa-sisa remajaku bersama-sama ibu.
Aku tidak punya masa depan secerah Wan Syamril dan Masyitah. Masa depan mereka telah ditentukan. Sedangkan aku? Aku masih terumbang-ambing tanpa arah tujuan. Aku juga ingin jadi seperti mereka. Aku juga ingin punya ramai kawan dan berkawan dengan orang-orang yang bijaksana.

Oh, malangnya nasibku. Ibu mesti tidak akan membenarkan aku ke mana-mana tanpa pengawasannya. Ibu pasti akan mengekoriku ke mana sahaja walaupun aku sudah besar panjang untuk mengurusi diriku sendiri.

Tiada ulasan: