Jumaat, 31 Oktober 2014

MTD Bab 55




BAB 55
Wan Jamilah, perkara yang kutakuti itu terjadi jua. Anak yang periang ini tiba-tiba sahaja berubah laku. Aku tidak tahu bagaimana nasibnya Wan Jamilah. Terkadang, aku menyalahkan diriku. Kalau aku melayani Wan Syamril sudah pasti Wan Jamilah tidak akan menjadi mangsa kerakusan nafsunya. Kenapa Wan Jamilah yang harus menjadi galang gantinya?
Masyitah juga bersalah. Asyik berdandan sepanjang masa tetapi masa untuk melayani suaminya terlalu singkat. Kiri kanan depan belakang, semua orang kuanggap bersalah termasuk diriku sendiri. Hajah Wan Maimun dan Haji Nik Dasuki yang tidak pandai menjaga anak sendiri. Aku hampir gila jadinya. Mahu sahaja aku menikam Wan Syamril dan melumatinya halus-halus.
Anakku, Wan Jamilah . Anak yang belum mengenal erti kepayahan hidup ini. Anakku yang kini terbeban dengan dugaan hidup yang tidak terduga.  Wan Syamril lari sembunyi entah di mana saat kejahatannya terbongkar. Aku tidak akan berdiam diri, yang bersalah wajib menerima hukuman.
Aku tidak tahu apa yang perlu aku lakukan sekarang. Segalanya kelam dan pudar. Duniaku gelap gelita. Wan Jamilah kesayanganku menjadi mangsa kerakusan bekas suamiku sendiri. Serasakan aku ingin berhibernasi dan tidur nyenyak buat selama-lamanya.
Mungkin selepas aku bangun nanti, segala-galanya sudah berubah, musim bunga telah tiba. Aku akan dapat kembali tenaga dan ketenanganku yang telah hilang. Aku akan dapat kembali Wan Jamilahku yang polos. Aku hanya ingin menikmati musim keindahan sahaja. Aku tidak lagi mampu bertahan untuk hidup dalam keadaan yang sesukar ini.
Aku yang bersalah kerana masih tinggal di rumah ini sedangkan antara kami sudah tiada apa-apa ikatan yang menghalalkan pergaulan. Tangisan sedalam dan setinggi Tasik Titicaca pun tidak akan mampu untuk merubah ketetapan ini.
Ya ALLAH, kami berlindung di bawah naunganMu.
Wan Jamilah, di manakah ibu mahu sorokkan kamu? Sembunyikan kamu dari dunia yang kejam ini. Kalaulah  kamu seekor kura-kura, tentu sahaja ibu akan tempatkan kamu di dalam kotak yang dipenuhi jerami dan diletakkan di atas loteng yang selesa untuk berhibernasi sehingga menjelang musim bunga kita yang panas.
Wan Jamilah, di luar sana banyak betul serigala liar yang sepanjang masa mengintai-intai kamu dari dalam terowong persembunyiannya. Ibu ini tidak mampu untuk melindungi kamu. Ibu ini terlalu kejam terhadap kamu, nak. Ibu adalah seorang ibu yang gagal. Ibu gagal menyelamatkan kamu. Maafkan ibu, Wan Jamilah.
Aku tidak tahu sampai bila aku harus merana begini. Aku tidak sanggup memandangi Wan Jamilah. Aku tidak terdaya untuk menyaksikan pandangan matanya yang redup dan terkadang seolah-olah memancarkan api dendam untukku. Aku yang sendiri terasa.
Aku mengambil keputusan nekad, ketiga-tiga anakku kubawa bersama kembali ke rumah lamaku, rumah peninggalan arwah ibu. Hajah Wan Maimun dan Haji Nik Dasuki diam tidak berketik saat kami berempat melangkah kaki keluar dari rumah besar itu. Mungkin mereka sendiri tidak menyangka akan berlaku musibah besar di dalam rumah mewah ini.
Aku, Wan Jamilah, Nik Jamali dan Wan Jamnah. Kami berempat tidak akan berpisah lagi. Rumah peninggalan ibu menjadi tempat kami bernaung. Kami tinggalkan segala kemewahan yang bukan lagi menjadi milik kami. Semoga suatu masa nanti akan timbul suria terang yang bakal menyinari hidup kami berempat.
Aku juga sudah mulai bekerja di rumah Ustazah Sarifah. Ustazah Sarifah dan keluarganya yang berhati mulia. Bukan semua manusia itu bersifat kejam. Masih ramai insan yang berbudi luhur.
Aku hampir terlupa, sejak ketiadaan ibu dan sejak kami kembali ke sini, Mak Long Aziah iaitu kakak emak ada juga berkunjung ke rumah kami sekali –sekala. Walaupun tidak begitu rapat dengannya tetapi dia tetap darah daging kami. Sesekali, dia bercerita juga tentang zaman kanak-kanaknya bersama ibu.
Aku jadi ingin bertanya, riwayat panjang hidup ibu yang tidak pernah kuketahui. Tapi seolahnya Mak Long Aziah tidak berhasrat untuk bercerita perihal kisah silam tersebut. Aku tidak tahu sampai bilakah aku akan terus berada di dalam dunia teka-teki yang gelap ini.
Akhirnya, Mak Long Aziah memberitahu juga bahawa sebenarnya dia sendiri pun tidak tahu sangat perihal sejarah hidup ibu kerana dia hanyalah kakak angkat arwah ibu. Mereka dibesarkan bersama-sama di rumah anak yatim.
Penjelasan yang diutarakan oleh Mak Long Aziah sudah cukup untuk menyedarkan aku bahawa aku tidak perlu bersusah payah untuk membongkar kisah silam kehidupan ibu yang tinggal misteri buat selama-lamanya.
Cuma apabila kutanyakan tentang seseorang yang bernama Fahmi, Mak Long Aziah terdiam dan memandangiku penuh hairan.
“Kenapa mak long?” tanyaku agak cuak.
“Ibu tak pernah bagitahu Roha?” tanya Mak Long Aziah kembali. Aku menggeleng-gelengkan kepala.
“Fahmi itu abang kamu. Abang kandung kamu yang terpisah sejak kecil. Sewaktu ibu kamu datang ke rumah mak long, dia cuma bawa kamu. Abang kamu, Fahmi ditinggalkan bersama-sama datuk dan nenek kamu,” Mak Long Aziah bercerita panjang lebar.
“Saya ada abang, mak long?” Aku bagaikan baru tersedar daripada sebuah mimpi yang panjang.
“Ya. Fahmi itu abang kamu.”
“Tapi kenapa ibu tidak pernah bercerita tentang Abang Fahmi?” Aku tidak tahu kenapa ibu mahu merahsiakan perihal abang kandungku daripada pengetahuanku sendiri. Patutlah dalam gambar-gambar lama ibu, ada gambar seorang budak lelaki. Mungkin itulah Abang Fahmi, abang kandungku. Aku bertekad untuk mencari Abang Fahmi.
“Mungkin ibu tak mahu Roha mencari Fahmi.” Penjelasan Mak Long Aziah membuatkan aku berfikir lama. Apa muslihat ibu menyembunyikan perihal abang daripada pengetahuanku? Ingin bertanya tapi ibu sudah tiada. Cuma di saat-saat akhirnya ibu menyebut nama Abang Fahmi. Mungkin ibu ingin memberitahuku tetapi hajat ibu tidak kesampaian.
Mujur ada Mak Long Aziah yang sudi merungkaikan persoalan. Kalau betullah seperti apa yang diperkatakan oleh Mak Long Aziah, bermakna aku bukanlah sebatang kara di dunia ini. Aku masih punya abang kandung dan aku juga masih punya datuk dan nenek. Tetapi kenapa ibu tidak pernah memperkenalkan aku dengan mereka?
Kenapa ibu tidak mencari mereka? Bukan setakat mencari, menyebut nama mereka pun tidak pernah. Mungkin klu yang boleh aku gunakan ialah nama abang kandungku Fahmi dan nama ayah kami Zulkifli. Mungkin aku boleh dapatkan bantuan internet untuk menjejaki abang kandungku itu.
Biar apapun yang terjadi, aku perlu merungkai persoalan ini. Aku perlu mencari abangku, waris kepada anak-anakku. Jangan sampai aku telah tiada nanti, anak-anakku pula tinggal sebatang kara. Semangatku berkobar-kobar untuk menjejaki Abang Fahmi.

Tiada ulasan: