
BAB 25
Pagi
ini aku bangun lebih awal daripada biasa. Awal sekali kerana mungkin aku sudah
terlalu lama tidur semalam. Tidur malam yang meletihkan. Ibu juga bangun awal
untuk menyediakan nasi lemaknya.
“Haa…dah puas tidur?” sindir ibu
sambil menguis-nguis puntung-puntung kayu api di atas dapur untuk mematikan baranya. Mata ibu pejam celik
berlawan dengan asap. Aku menggeliat dan terkuap-kuap beberapa kali. Masih
belum puas tidur lagi atau mungkin juga kerana terlebih tidur .
Aduh, aku bimbang jika ibu bertanya lebih lanjut
tentang aktivitiku sepanjang ketiadaannya. Tanpa mahu memanjangkan cerita, aku
mencapai tuala dan bergegas masuk ke bilik air. Aku mengambil masa yang agak
lama untuk membersihkan tubuh badanku. Sengaja aku berbuat demikian dengan
harapan, setelah aku keluar nanti, ibu sudah pun pergi ke gerai makannya.
Memang betul, sewaktu aku melangkah keluar dari bilik
air, ibu sudah tiada di ruang dapur itu. Selesai menunaikan solat Subuh, aku
mulai membungkus nasi lemak. Perasaanku tidak keruan. Aku melakukan kerjaku
sepantas kilat. Aku ingin segera menemui Abang Mahadi. Aku ingin tahu masalah
yang menimpanya kelmarin sehingga dia sanggup meninggalkan aku sendirian di
bilik hotel.
Aku terburu-buru menyarungkan sandalku dan bergegas
keluar rumah. Hampir terlupa untuk mengunci pintu utama membuatkan aku terpaksa berpatah balik.
Nasib baik juga Encik Rosman tiada di beranda rumahnya. Ini bermakna, aku tidak
perlu untuk singgah di tangga rumahnya seperti selalu.
Mungkin dia sudah ke pejabatnya kerana hari sudah agak
meninggi. Aku yang sedikit terlewat hari ini. Namun, aku tetap memasang
telingaku kalau-kalau dia belum pergi kerja dan melaung-laung memanggil namaku
seperti selalu.
Sehingga melewati pohon mempelam telur yang sedang
lebat berbunga putih kekuningan dan berbau harum itu, aku masih tidak mendengar
panggilannya. Aku menarik nafas lega dan meneruskan perjalananku.
Tiba di gerai ibu, pelanggan masih belum ramai atau mungkin
juga sudah ramai yang telah masuk ke tempat kerja kerana aku tiba sedikit lewat
daripada kebiasaanku pagi ini. Aku
tertinjau-tinjau mencari Abang Mahadi, hero Amir Khanku tetapi hampa.
Sehingga semua pekerja telah masuk ke kilang sarung
tangan, Abang Mahadi masih belum muncul. Aku hanya terduduk
kehampaan. Orang yang dinanti tidak kunjung tiba. Lewat makan tengah hari,
Abang Mahadi masih tidak menampakkan bayangnya.
Aku
tidak mahu lekas berputus asa. Aku akan tetap menantikan kunjungannya. Mungkin
dia masih belum dapat membaiki motosikalnya. Aku cuba bersangka baik. Ibu juga telah beberapa kali menjelingku. Mungkin dia
turut merasai apa yang sedang aku rasa.
Menanti seseorang yang tak kunjung tiba.
“Roha.” Aku menoleh ke arah empunya suara yang
memanggil namaku. Wan Syamril tersenyum sambil melangkah
menghampiriku.
“Wan
Syamril nak makan apa?” tanyaku.
“Syam
nak makan apa yang Roha masak. Sudah
lama Syam tidak merasa air tangan Roha,” jawapan mantapnya melemaskanku. Dulu-dulu, dia rajin datang
menjamu selera di gerai kami. Malahan, ibu dan ayahnya juga selalu datang
menikmati juadah di gerai kami ini tetapi sekarang tidak lagi. Semuanya sudah
jauh berubah.
Aku berlalu ke dapur, menyediakan nasi campur sambal udang, masak lemak ikan tilapia dan
segelas air laici. Kak Julie tersengih memandangku tetapi dia tak cakap
apa-apa. Mungkin dia tak sempat hendak mengusikku kerana kuah bihun supnya
sedang menggelegak dan membuak.
Sejak kejadian aku lari dari rumah dan bercadang untuk
bermalam di rumahnya, aku belum berkesempatan untuk duduk berbual dengan Kak
Julie. Terdetik juga di hatiku untuk bertanyakan tentang lelaki yang kutemui
berada di rumahnya petang itu.
Saat ini, baru aku teringat. Lelaki itu, kalau tidak
salah pada penglihatan mataku ialah Abang Mustafa iaitu kawan serumah Abang
Mahadi. Teringin juga aku hendak tahu perhubungan Kak Julie dengan Abang
Mustafa.
Belum punya kesempatan untuk bertanya sendiri kepada
Kak Julie. Mungkin Kak Julie juga ada menyimpan rahsia daripadaku. Aku hanya
dapat memandang belakang Kak Julie yang sedang sibuk menimba kuah sup dan
memperlahankan nyalaan api dagur gas.
Aku berlalu ke depan membawa hidangan Wan Syamril. Saat
aku meletakkan hidangan itu di hadapannya, dia tersenyum.
“Roha masih tidak lupa makanan kesukaan Syam, ya?” Aku
hanya tersenyum untuk mengambil hatinya. Hati pelanggan perlu dijaga, itu pesanan ibu yang
tidak pernah aku lupa.
“Roha duduklah di sini, mari makan sama-sama Syam,”
kata Wan Syamril, lunak. Saat ini, baru aku terperasan. Kami sudah dewasa.
Sudah melewati zaman persekolahan kami. Wan Syamril sudah menjadi seorang
lelaki dewasa. Kami pernah bercinta. Cinta zaman remaja. Namun kini, cinta itu
telah tiada lagi. Yang tinggal hanyalah kenangan.
“Roha dah makan,” sahutku cuba untuk menolak
permintaannya.
“Kalau begitu, temankan Syam makan. Lagipun pelanggan
tidak begitu ramai. Tentu ibu Roha tidak marah.” Aku masih agak keberatan untuk
menerima pelawaan Wan Syamril. Walaupun pelanggan tidak begitu ramai tetapi ibu
tentu tidak suka aku duduk dekat Wan Syamril.
Sejak tamat persekolahan dan Wan Syamril melanjutkan
pelajarannya ke universiti, perhubungan kami bagaikan terputus terus. Ibu dan
ayahnya juga sudah agak jarang berkunjung ke gerai kami. Kalau ada pun, cuma
sesekali ayahnya, Haji Nik Dasuki yang datang untuk membeli lauk makan tengah
hari. Dia pun sudah jarang makan di gerai ini. Hanya beli untuk dibawa pulang.
Agak serba-salah, tetapi akhirnya, aku duduk juga di sebelah
Wan Syamril. Cuba berlagak setenang mungkin. .
Orang berbudi, kita berbahasa. Cuma harap-harapnya, janganlah dia
bertanya atau mengungkit tentang peristiwa semalam. Jangan sampai ibu tahu
tentang aktivitiku sepanjang
ketiadaannya
Semalam, Wan Syamril telah berbudi kepadaku. Apalah
salahnya kalau hari ini aku pula yang berbahasa padanya. Tapi, jangan ingat
kerana budi dia semalam, aku mahu terima dia semula dalam hidup ini. Ah, aku
pula yang melebih-lebih sedangkan Wan Syamril tak apa-apa.
Tiada apa yang kami perbualkan. Aku
memang betul-betul menemaninya makan. Wan
Syamril juga tidak lagi bertanya tentang
itu dan ini. Dia tunduk menyuap nasinya penuh khusyuk. Hanya sesekali dia memandang ke arahku sambil
tersenyum.
Selesai makan, dia mengacau buah laici di dalam
gelasnya dan mengangkat keluar sebiji buah laici lalu disuakan kepadaku. “Roha
nak?” tanyanya. Aku hanya
menggeleng-gelengkan kepala. Dia ini masih sahaja mahu mengujiku.
Sewaktu
aku berpaling keluar gerai, pandangan mataku bertembung dengan Abang Mahadi.
Aku kegembiraan. Insan yang aku nanti-nantikan sepanjang hari ini telah tiba.
Aku tidak sabar-sabar untuk mendapatkan Abang Mahadi tetapi Abang Mahadi
merenungku tajam sebelum dia memulas minyak motosikalnya dan memecut laju
meninggalkan aku bersama kepulan asap gas karbon monoksidanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan