
BAB 40
“Wan Jamilah” itulah
nama si kecil kami. Nama yang diberikan oleh
Tok Mummy dan dipersetujui oleh Tok Daddynya. Aku seolah-olah tidak
diberi hak langsung ke atas anak kecilku ini. Hakku hanyalah mengandung,
melahir dan menyusuinya. Itupun sudah cukup dan memadai buatku.
Saat
dia merengek meminta susu, saat itulah kurasakan aku dapat memesrainya dengan
sepenuh hatiku. Aku gembira kerana aku telah mengembalikan keceriaan di rumah
ini.
Aktiviti
mingguan Hajah Wan Maimun berjalan seperti biasa iaitu kelas fardhu ain dan majlis
bacaan Yassin di rumah besar ini. Ibu mentuaku juga turut berbangga untuk
memperkenalkan cucu sulungnya kepada sahabat handai yang datang bertandang.
“Lahir tak cukup bulan,” kata ibu mentuaku kepada para
sahabatnya meskipun mereka tidak bertanya. Mungkin dia cuba untuk menjernihkan
kekeliruan yang terpamer pada riak air muka setiap yang hadir. Iyalah, aku
baharu sahaja mendirikan rumahtangga dengan Wan Syamril hampir enam bulan lebih,
tiba-tiba sahaja kami kini telah menimang cahaya mata.
“Eh,
itu bukan satu keanehan. Ada orang yang bersalin tujuh bulan. Bayinya sihat
sahaja. Ini rezeki buat Puan Hajah sekeluarga,” aku terdengar komen seorang
tetamu.
Mendengar penjelasan itu, jiwaku jadi tenang. Mungkin
selama ini, tikus yang sering menguit-nguit di dalam perutku sebelum aku
diijabkabulkan dengan Wan Syamril hanyalah ilusiku semata-mata kerana aku
terlalu sedih waktu itu.
Kerana selalu mendengar ibu mentuaku menjelaskan
kepada para tetamunya tentang kelahiran pramatang bayi kami, aku jadi
terikut-ikut dengan penjelasannya. Aku juga selalu memberikan jawapan yang sama
apabila ada yang bertanya tentang usia si kecilku.
Aku berpantang di bawah seliaan Kak Tipah dan sesekali
ibu akan datang menjenguk saat dia keluar untuk membeli barang-barang keperluan
di pekan.
“Ibu senang hati bila tengok Roha sudah semakin
sihat,” kata ibu.
“Alhamdulillah, bu. Mak Hajah juga sudah melayani Roha
dengan baik.” Ibu terdiam agak lama. Apakah aku tersilap menuturkan kata-kata?
Mungkin juga ibu terkejut mendengar pengakuanku kerana selama ini aku tidak
pernah mengadu perihal sikap ibu mentuaku itu.
“Kalau begitu, baguslah. Ibu sentiasa berdoa agar Roha
pandai membawa diri di sini dan juga membawa sinar kebahagiaan untuk keluarga
ini,” ujar ibu dengan genangan air matanya yang cuba dilindungi sebaik mungkin.
Dalam tempoh berpantang ini, aku dilayan oleh Kak
Tipah. Wan Syamril juga berkesempatan untuk pulang melihat anak kami. Wan
Jamilah diusung mereka ke sana ke mari. Bangga sungguh mereka kerana mendapat
cucu baharu. Sebak dadaku kerana tidak pernah menyangka akan perubahan sikap
mentuaku sebaik sahaja lahirnya anak sulung kami, juga merupakan cucu sulung
mereka.
Pun begitu, ibu
mentuaku masih sahaja tidak menonjolkan sikap ambil berat terhadapku tetapi aku
tahu, aku sudah semakin diterima di dalam rumah besar ini. Malahan, sebaik
sahaja aku selesai berpantang, ibu mentuaku membenarkan aku untuk turut serta
hadir di majlis pengajian yang diadakan di rumahnya.
Dia menyuruh aku membaca buku-buku agama yang tersusun
rapi di atas rak dalam bilik bacaan mereka. Memang aku kepingin sangat untuk
membaca buku-buku itu dan kadang-kadang aku mencuri membacanya saat aku perlu
ke bilik itu untuk mengemas dan menyapu habuk. Setiap kesempatan yang ada, aku
curi-curi membaca.
Sudah lama aku tinggalkan buku. Paling akhir semasa
aku di tingkatan lima. Aku juga jarang punya masa untuk membaca kerana menolong
ibu berniaga di gerai makannya. Sejak tinggal di sini, minat membacaku subur
kembali.
Mendapat kebenaran daripada ibu mentuaku bagaikan satu
rahmat besar dalam hidupku. Aku membaca tentang tatacara hidup berumahtangga,
aku juga membaca buku-buku berkaitan akidah dan permasalahan dalam Islam. Paling
akhir aku belajar tentang semua itu ialah semasa mengikuti kursus kahwin untuk
mendapatkan sijil sebelum berkahwin dengan Wan Syamril dulu.
Jika sebelum ini aku diberikan tugasan menyediakan
hidangan di dapur, hanya sesekali aku sempat mencuri dengar tazkirah yang disampaikan Ustazah Sarifah di dalam sesi
usrah mereka tetapi sekarang, aku dibenarkan untuk duduk bersama di dalam
majlis mereka.
Kalau dulu, mendengar dari jauh tetapi kini sudah boleh
mendengar dengan jelas. Mendengar tazkirah yang sekali-sekala itu bagaikan air
yang lalu di celah batu-batuan menuruni cerun bukit, tiada satu pun yang
benar-benar melekat di mindaku.
Bukan
aku tidak pernah belajar agama malahan aku mendapat agregat A1 dalam subjek
Pendidikan Agama Islam peringkat SPM
dulu. Kecemerlangan di atas kertas tidak menjanjikan kecemerlangan di dunia dan
akhirat. Aku ingin cemerlang di dalam kedua-dua bidang itu. Ibu sendiri tidak
pernah mengabaikan tanggungjawab dalam bidang agama malahan aku khatam al-Quran
di bawah bimbingan ibu dan Mak Haji Sibah sewaktu berada di darjah empat lagi.
Belajar di sekolah tidak sama dengan belajar di rumah.
Di sekolah, pembelajaran mengikut silibus manakala di rumah ini, kami bebas
bertanya tentang apa jua kemusykilan yang timbul. Bersama Ustazah Sarifah, aku
rasakan diriku begitu hina sekali. Aku benar-benar jahil dalam bidang agama
Islam walaupun aku pelajar cemerlang di sekolah menengah.
Rupa-rupanya, terlalu banyak hukum-hakam agama yang
aku ketinggalan. Alhamdulillah, di sebalik segala kesengsaraan yang kutempuhi
selama ini, rupa-rupanya terlalu banyak nikmat yang ALLAH kurniakan buatku.
Dalam diam-diam, aku memanjatkan kesyukuran kerana dipilih untuk menjadi
menantu keluarga ini meskipun aku tidak diterima pada awalnya.
Apa
yang menjadi kemusykilanku saat ini ialah status Wan Jamilah. Aku tahu, Wan
Jamilah bukan anak Wan Syamril. Wan Jamilah sudah lama berada di dalam rahimku
sebelum hadirnya Wan Syamril sebagai suamiku yang sah. Aku tahu tentang hal itu
tetapi aku tidak mahu terlalu memikirkannya. Tetapi, mengenali Ustazah Sarifah
membuatkan aku kembali merenungi kekhilafanku.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan