BAB 33
Wan Syamril mengajakku
ke sebuah bangku taman di bawah rimbunan pokok semarak api. Aku mengekori
langkahnya walaupun sebenarnya aku tidak ingin
ke situ. Aku ingin mengajak dia ke sebuah restoran atau gerai makan, mungkin. Perutku sudah semakin
bergelora. Mungkin kerana aku muntah terlalu banyak tadi.
Namun,
untuk menolak permintaan Wan Syamril adalah tidak mungkin. Aku akan lebih rasa
bersalah. Biarlah kubalas dahulu kebaikannya kerana sudi memenuhi permintaanku.
Orang berbudi, kita berbahasa. Itu pesanan ibu yang sangat aku ingat.
“Roha
dah makan?” tanyanya. Satu pertanyaan
yang kunanti-nantikan sejak
sekian lama. Sikap keprihatinannya yang tetap kekal utuh seperti dulu-dulu juga.
Aku
menggeleng-gelengkan kepala. Rasanya saat ini adalah lebih baik untukku
berterus-terang. Berdiam diri bermakna aku akan lebih menyiksakan perutku
kerana cacing di dalam perutku sudah mulai menguit-nguit.
“Duduklah
dulu. Nanti kita pergi makan.” Ah, pelawaannya yang itu membuatkan harapanku
berderai. Aku duduk juga di
sebelahnya. Wan Syamril merapat di sebelahku.
Tangan kanannya didepangkan di atas
penyandar bangku di belakang leherku. Aku membiarkan sahaja.
Saat ini, aku hanya nampak, air jernih dengan
buah-buah laici yang tergolek-golek di dalam gelas tinggi dengan kabus di
luarnya menandakan dingin ais di dalamnya. Hmmm….
“Assalammualaikum. Dah kawinkah belum?” Saat aku baru berkira-kira dengan air jernih sejuk
yang bakal menghilangkan haus tekakku, kami disergah oleh satu suara garau. Tangan
Wan Syamril yang sedang enak
mengelus-elus hujung tudungku juga seakan terkaku.
“Tengah-tengah
hari begini pun, masih sempat nak buat maksiat,” sambung suara itu lagi. Lima
orang lelaki lagi berdiri di belakang lelaki yang bersuara itu.
Jantungku
luruh ke bumi, hilang lenyap ditelan tanah yang merekah. Sakit kepalaku yang
menyengat juga kepedihan di perutku sejak tadi bagaikan hilang melayang
disambar angin lalu dibawa terbang entah ke mana.
“Minta
kad pengenalan.” Dalam terpinga-pinga itu, kuturuti juga arahan pegawai
berkenaan. Aku sudah tidak nampak wajah
Wan Syamril lagi. Aku terbayangkan wajah ibu. Kasihan ibu kalau dia tahu
nasibku malang begini. Lain yang kudambakan, lain pula yang kuperoleh.
“Ikut
kami ke balai sementara menanti ibu bapa kamu datang,” tegas pegawai itu lagi.
Aku bagaikan dilambung-lambung ke angkasa. Saat berpaling ke arah Wan Syamril,
wajahnya juga keruh. Kasihan Wan Syamril. Dia terperangkap hanya kerana ingin
menolongku.
Aku tidak tahu bagaimana mahu kujelaskan keadaan
ini kepada ibu. Sudah cukup ibu
dihina dan dicaci selama ini. Janganlah sampai ibu bakal dihina lagi. Oh,
Tuhan. Apakah yang telah kulakukan ini?
Detik-detik penantian menunggu kehadiran ibu
mengundang perasaan bersalah yang amat sangat. Dan apabila ibu tiba, dia tidak
menunjukkan sebarang emosi sehinggakan aku tidak tahu apakah yang sedang
bermain di mindanya saat ini.
Aku lihat wajah
ibu keras dan membeku. Mungkin ibu terlalu kecewa dengan perbuatanku
mengaibkannya. Wajah kedua ibu bapa Wan Syamril juga keras dan kejung. Mereka
langsung tidak mahu tersenyum padaku apatah lagi mahu menyapa ibu. Hina sangatkah kami ini?
Selesai laporan tangkapan dibuat, kami dibawa pula ke
pejabat agama daerah untuk diambil keterangan. Aku hanya berdiam diri. Tidak tahu
mahu berbuat apa. Hanya mengikut sahaja arahan pegawai yang mengambil kes kami.
Terdengar-dengar juga mereka menyebut tentang Mahkamah Syariah dan denda
RM2000.
Sepanjang-panjang perjalanan pulang pula, ibu masih
tidak berkata apa-apa. Kasihan ibu. Kalau tidak kerana memikirkan bahawa kami
berada di tengah-tengah khalayak ramai ini, sudah tentu aku akan meraung sambil
memeluk kaki ibu. Aku ingin memohon keampunannya. Aku ingin meluahkan
segala-galanya pada ibu.
Aku akan beritahu ibu apakah yang telah dilakukan oleh
Abang Mahadi dan aku juga ingin memberitahu ibu bahawa Abang Mahadi telah pun
meninggalkanku. Wan Syamril adalah penyelamat yang datang untuk membantuku saat
aku benar-benar kesulitan tetapi dia terjerat tanpa diduga.
Namun, melihat keruh wajah ibu menjadikan aku tidak
sampai hati untuk menyuarakan semua itu. Ibu tidak menunjukkan sebarang reaksi.
Hatinya sekeras pualam. Aku jadi ngeri. Bimbang ibu hilang kewarasan. Oh Tuhan,
tolonglah hamba Mu ini. Aku semakin tidak henti-henti merintih dan merayu di
dalam hati.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan