
BAB 20
Hatiku
ingin bertanya tetapi mulutku terasa berat sekali. Tidak mahu merosakkan mood
ibu. Selesai membantu ibu di dapur, aku berlalu ke bilik. Ibu mahu aku
bersiap-siap dengan pakaian yang cantik, kata ibu. Aku tidak membantah arahan
ibu lebih-lebih lagi selepas kejadian semalam.
Aku tidak ingin menimbulkan rasa gelisah di hati ibu.
Biarlah aku pendamkan sahaja segala apa yang sedang bermain di benakku
sekarang. Biarlah kukuncikan sahaja mulutku saat ini.
“Roha,” aku terdengar ibu melaungkan namaku. Sewaktu
melangkahkan kaki keluar bilik, telingaku menangkap suara-suara orang berbual
di laman. Ibu juga berpakaian cantik. Lebih cantik daripada kebiasaannya. Tapi
ibu memang cantik, sangat cantik pada pandangan mataku. Ibulah bidadariku.
“Roha ke dapur, siapkan minuman. Tetamu kita sudah
sampai,” kata ibu yang sudah berdiri di hadapanku.
“Baik, ibu.” Aku berlalu ke dapur manakala ibu
bergerak ke anjung rumah. Tiba di muka pintu dapur, aku berhenti seketika. Rasa
ingin tahu kian meluap-luap. Akhirnya aku bersembunyi di balik langsir dan
menyelaknya sedikit untuk melihat siapakah tetamu kami yang berada di luar
sana.
“Mak Enun.” Aku nampak Mak Enun yang tersengih-sengih
menyalami ibu. Hanya Mak Enun sahaja orang yang aku kenal di dalam kelompok
manusia asing itu. Dua orang lelaki dan tiga orang perempuan termasuk Mak Enun,
aku mengira-ngira.
Akhirnya, aku berundur ke dapur, menyiapkan enam cawan
minuman. Lima biji cawan itu kutelangkupkan di atas dulang kecil manakala
sebiji lagi kuletakkan di atas susunan enam piring alas cawan. Air kopi masih
panas, kutuangkan ke dalam teko dan kuletakkan di atas dulang.
Selepas itu aku mengambil lepat labu di dalam periuk
pengukus. Masih panas-panas. Kupotong dua-dua dan kususun elok-elok di dalam
dua piring comel. Sambil itu telingaku kubukakan lebar-lebar. Ingin juga aku
tahu perbualan langsung orang-orang di depan sana.
“Pihak kami berharap sangatlah agar pihak orang di
sini sudi menerimanya.” Aku terdengar kata-kata yang keluar daripada mulut
salah seorang daripada lelaki itu. Langkahku terhenti di muka pintu dapur. Aku
teragak-agak sama ada mahu meneruskan langkah atau kembali membawa dulangku ke
dapur.
“Kita berharap sangatlah agar yang empunya badan sudi
menerima. Jangan tak jadi pula.” Itu suara Mak Enun a.k.a Mak cik Radio yang
sangat-sangat aku tidak berkenan. Mereka ini datang mahu merisik akukah? Hatiku
jadi gundah-gulana. Secepat inikah ibu membuat keputusan mahu menjodohkan aku?
Oh, Tuhan. Tanganku lemah tidak berdaya. Aku meletakkan kembali dulang yang
kupegang di atas lantai.
Aku ingin mendengar jawapan ibu, “Saya harap, saya
diberi peluang untuk memikirkan perihal ini dengan semasak-masaknya. Saya juga
perlu berbincang dan mendapatkan persetujuan anak saya.” Hatiku berasa sedikit
lega mendengar jawapan ibu. Harap-haraplah ibu menolaknya.
Suasana hening seketika. Aku mengumpulkan seluruh
kekuatan yang masih bersisa dan mengangkat kembali dulangku lalu kubawa ke
ruang tamu. Semua mata yang ada di situ terarah memandangku. Aku jadi
tersipu-sipu dan serba-salah. Kalaulah yang datang merisik ini bagi pihak Abang
Mahadi, sudah tentulah aku tidak akan teragak-agak untuk menerimanya.
“Inilah anak saya, Rohalisa ,” kata ibu memperkenalkan
aku kepada tetamu-tetamunya. Dalam serba-salah itu, aku lemparkan juga
senyuman. Jangan sampai nanti aku dikatakan anak yang tidak mendapat didikan
yang sempurna walaupun aku tidak punya ayah sejak lahir.
Seorang demi seorang tetamu wanita itu aku salami dan
kucium tangan mereka sebagai tanda hormat dan anak dara yang berbudi bahasa.
Cis, berbudi básala sangat. Namun, aku terpaksa. Terpaksa memaniskan muka di
hadapan tetamu-tetamu ibu yang baru pertama kali ini kutemui.
Kalau diikutkan kata hati marahku, aku tidak mahu
bersalaman dengan Mak Enun. Kalau dikenang-kenangkan peristiwa semalam, mahu
sahaja aku tolak Mak Enun ini jatuh ke bawah rumah. Tetapi aku tidak boleh
senekad itu. Nanti apa pula pandangan tetamu-tetamu ibu ini. Apa-apa pun, aku
mesti menjaga air muka ibu, menjaga maruah ibu yang telah kucalarkan sedikit
sebelum ini.
“Sakit lagi pinggang Mak Enun ini dikerjakan dek kamu
semalam.” Sempat pula Mak Cik Radio ini menyindirku. Hampir terputus senyum di
bibirku. Sabar Roha, sabar. Mak Enun seakan menuntut balas atas perbuatanku
menolaknya hingga jatuh terperosok di celah pasu bunga ibu.
“Padan muka,” kataku dalam hati dan kuzahirkan dengan
senyum sinis di bibir.
“Dah besar anak dara Puan Sarah, ya. Pandai pula Puan
Sarah mendidiknya. Susah nak cari anak dara zaman sekarang yang masih mahu
menghormati orang tua.” Aku tidak mahu terus-terusan mendengar orang-orang ini
memujiku. Aku bukanlah baik sangat pun, cuma aku tidak mahu menghampakan
harapan ibu.
“Saya ke dapur dulu, ya,” pintaku mohon undur diri.
“Roha siapkan apa yang patut, nanti kita boleh makan
bersama,” kata ibu kepadaku dan serentak itu juga berpaling seolah-olah memberi
maklum kepada tetamunya.
“Eh, Puan Sarah. Tak perlulah susah-susah. Kita datang
sekejap sahaja, sekadar membawa hajat orang,” lelaki yang bersongkok hitam itu
berbasa-basi.
“Tak ada apa yang susahnya. Lagipun encik-encik semua
datang dari jauh. Apa salahnya kalau makan tengah hari di sini dulu,” sahut
ibu.
“Rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari,” ujar Mak
Enun. Wah, pandai pula Mak Cik Radio ini berfalsafah. Kalau ya baik sangat,
marilah tolong aku siapkan makanan di dapur ni. Geram pula rasa hatiku
mendengar celoteh Mak Enun ni. Setiap patah perkataannya menimbulkan sebal di
hatiku. Nantilah, ada lori, ada bas. Ada hari, aku balas.
Aku berlalu ke dapur, menyediakan makanan tengah hari.
Aku tidak kekok melakukan kerja-kerja ini kerana inilah kerjaku selama ini
sewaktu membantu ibu di warung. Dalam berkemas-kemas itu , aku jadi rasa tidak
sedap hati kerana nama Encik Rosman yang disebutkan berulang-ulang kali.
Bagaimana pula nama Encik Rosman boleh timbul dalam
perbualan tetamu-tetamu ibu ini? Oh Tuhan, jauhilah aku daripada lelaki durjana
itu. Dalam diam-diam juga, aku bermohon kepada Allah. Janganlah Encik Rosman itu yang menghantar rombongan
ini untuk melamarku. Hatiku jadi semakin tidak keruan. Abang Mahadi, tolonglah
Roha. Hatiku merintih. Aku ingin pergi jauh dari sini. Bawalah Roha pergi,
Abang Mahadi.
Menggigil-gigil tanganku semasa menyediakan hidangan
tengah hari itu. Janganlah sampai ibu memaksa aku berkahwin dengan Encik Rosman
Perisik itu. Kalau ia pun nak suruh aku kahwin paksa, suruhlah dengan orang
yang baik-baik, kacak dan berharta. Ini pulak Encik Rosman, apa barang. Dah
sebaya usia ibu pun dia.
Ibu ini, macam tak ada perasaan pula. Tak kanlah dia
mahu bermenantukan lelaki yang sebayanya? Mahu mengahwinkan anak gadisnya
dengan lelaki yang tidak diketahui asal keturunan dan pekerjaannya. Itu bukan
mahu memberi bahagia namanya. Itu menambahkan masalah dan derita sahaja.
Aku tak kira. Aku sudah nekad. Kalau ibu memaksa aku
mengahwini Encik Rosman. Aku akan lari. Aku akan ajak Abang Mahadi kahwin lari.
Biarlah ibu. Biarlah ibu tinggal dan kalau susah-susah sangat, ibu sájalah yang
berkahwin dengan Encik Rosman. Barulah sama sepadan. Barulah seperti aur dengan
tebing. Eh, aur dengan tebing pula.
Terlatah-latah pula aku sambil terus menyusun
hidangan. Lama juga orang di ruang ruang tamu itu berbual tapi aku sudah tidak
ambil peduli. Dalam fikiran, aku sudah berkira-kira. Aku nak ajak Abang Mahadi
kahwin lari. Apa nak jadi, jadilah. Geli-geleman aku kalau mahu terus
dijodohkan dengan Encik Rosman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan