Khamis, 30 Oktober 2014

MTD Bab 52




BAB 52
Aku tidak pernah bertanyakan ibu mentuaku tentang identiti isteri Wan Syamril. Mungkin ibu mentuaku beranggapan bahawa aku tidak sanggup untuk mengetahui identiti ‘madu’ku. Aku tahu, aku tidak bermadu dan Masyitah juga bukan isteri kedua Wan Syamril.
            Hanya itu yang disampaikan oleh ibu mentuaku. Dia tidak memberitahuku tentang kata cerai yang dilafazkan oleh Wan Syamril. Maknanya, Wan Syamril belum memberitahu kedua ibu bapanya tentang perhubungan kami.
Buat sementara waktu ini, aku selamat di sini. Selamat daripada dihalau keluar dari rumah ini. Kalau Wan Syamril pulang dan membongkarkan rahsia besarku, pasti aku tidak akan dibenarkan untuk tinggal di dalam rumah ini. Dalam diam-diam, aku berdoa agar Wan Syamril tidak kembali dalam masa yang terdekat ini.
Hari demi hari berlalu, memang Wan Syamril tidak pulang lagi tetapi ibu mentuaku tetap akan memaklumkan kepadaku kalau mereka ingin ke rumah Wan Syamril. Itu pun sekali sekala apabila Wan Syamril pulang bercuti di Semenanjung. Aku? Aku tetap sahaja menyimpan rinduku kepada ‘suami’ku tetapi aku masih sahaja tahu diri.
Seandainya Wan Syamril belum menjatuhkan talaknya ke atasku, pasti aku akan mencarinya tetapi dalam keadaan begini, aku tidak mampu untuk melakukan semua itu. Kami kini orang asing tanpa sebarang ikatan.
Apa yang kujangkakan akan terjadi, terjadi jua akhirnya. Wan Syamril pulang bersama Masyitah dan seorang anak kecil mereka ke rumah ibu bapa mentuaku. Aku tidak tahu akan kepulangan mereka sekiranya tidak diberitahu oleh Kak Etun, pembantu baru ibu mentuaku selepas Kak Tipah berhenti kerana mendirikan rumahtangga.
Waktu itu aku di warung makan arwah ibu. Sejak ibu tiada, aku menyewakan warung itu kepada Kak Julie yang masih berminat untuk terus berniaga makanan dan minuman di situ dan sedang mengumpul wang untuk membeli terus warung itu daripadaku. Kak Julie yang menguruskan warung dengan bantuan suaminya, Abang Mustafa. Abang Mustafa yang masih bekerja di kilang sarung tangan. Abang Mustafa yang pernah menjadi sahabat Abang Mahadi.
            Sesekali, aku akan mengunjungi Kak Julie di warung itu untuk mengutip sewa dan pulang ke rumah arwah ibu untuk membersihkan sampah-sarap dan sawang-sawang. Mungkin suatu masa nanti aku akan kembali juga ke rumah ini apabila ibu dan bapa mentuaku sudah tidak memerlukan aku di rumah besar mereka itu.
Kawasan di sekitar rumahku juga sudah banyak berubah. Sudah semakin banyak rumah yang didirikan di sebelah menyebelah rumahku. Rumah baru yang tumbuh berceracak dengan bertambahnya pekerja kilang sarung tangan yang berkahwin dan membuat petempatan baru di sini. Orang-orang tempatan yang menjual tanah mereka dan berhijrah ke bandar untuk mencari peluang kehidupan yang lebih baik, mungkin.
Kawasan perumahan tidak teratur yang semakin padat penghuninya. Kawasan tanah ibu hanyalah muat untuk sebuah rumah kami ini sahaja dan sepohon pokok manggis di bahagian belakang rumah. Bangsal tempat ibu meletakkan puntung-puntung kayu api juga sudah dirobohkan dan atas tapak itu digantikan dengan garaj kereta rumah jiran sebelah.
Kemeriahan kawasan kejiranan yang masih agak baru bagiku. Lorong kecil tempat aku berulang-alik ke warung makan ibu juga masih ada dan rumpun pisang tempat Abang Mahadi menungguku dahulu juga masih ada di situ walaupun sudah tidak sepadat rumpun pisang yang dulu.
Encik Rosman juga sudah berkahwin dan masih tinggal di rumah lamanya. Ada khabar menyatakan bahawa dia sudah membeli rumah itu daripada pemilik asalnya. Sesekali, saat berpampasan di jalanan, dia tersenyum dan menegurku dengan ramah. Isterinya, Puan Rosnah juga begitu.
Masa sudah banyak berubah. Kami sudah cukup dewasa dengan usia dan kematangan. Aku sendiri hampir tertawa terkenangkan kisah dia mengusik-usikku dahulu. Juga tragedi buah pisang pemberiannya yang kukembalikan di kaki tangga rumahnya tanpa rasa bersalah.
Benci dan meluat betul aku dengannya saat itu. Kemudiannya, aku jadi salah sangka pabila dia menghantar utusannya ke rumahku. Sangkaku dia hendak melamarku untuk dijadikan isterinya tetapi rupa-rupanya yang ingin dilamarnya itu ialah ibuku.
 Teringat juga akan pohon mempelam telur berbuah lebat yang menjadi idamanku dahulu. Pohon itu masih ada tetapi tidak sesubur dulu. Banyak dahannya yang sudah dipangkas-pangkas dan ada beberapa pasu pokok orkid comel bergantungan di dahan yang masih tinggal. Juga sesekali terselit kuntuman bunga mempelam yang harum.
Ya, sudah hampir empat belas tahun kutinggalkan tanah ini iaitu hampir seusia umur Wan Jamilah. Hanya sesekali sahaja selama berkahwin dengan Wan Syamril, aku kembali ke rumah ini untuk menziarahi arwah ibu. Kini, aku akan lebih kerap kembali ke sini ataupun mungkin aku juga akan menetap terus di sini juga nanti.
Wan Syamril  pulang sebentar dan selepas enam tahun iaitu seusia umur Wan Jamnah, barulah rahsia perceraian kami terbongkar. Memang Puan Hajah Wan Maimun dan Haji Nik Dasuki terkejut besar. Mereka tidak pernah menghalang perkahwinan antara Wan Syamril dengan Masyitah tetapi mereka tidak menyangka bahawa Wan Syamril telah menceraikanku enam tahun yang lalu.
Aku hanya terpaku saat ibu mentuaku bertanyakan perihal itu. Lebih memeritkan lagi apabila dia meminta aku membawa keluar Wan Jamilah dari rumah mereka. Wan Jamilah, cucu sulung kesayangan yang ditatang bagai minyak yang penuh kerana sangkanya anak itu adalah hasil daripada zuriat Wan Syamril. Mereka hanya mahukan Nik Jamali bersama mereka kerana mereka turut meragui keberadaan Wan Jamnah.
Oh, Tuhan. Dugaan apakah ini? Selama berada di bawah satu bumbung dengan ibu dan bapa mentuaku, aku tidak pernah keluar ke mana-mana tanpa mereka bersama. Mana mungkin mereka boleh mempertikaikan status Wan Jamnah.
Dalam kepayahan dan keperitan itu kugagahi juga mendepani semua dugaan yang mendatang. Aku tidak boleh mempamerkan kelemahanku di hadapan anak-anak. Alhamdulillah, Tuhan Maha Kaya. Ustazah Sarifah yang sering dipanggil untuk mengadakan usrah di rumah mentuaku, mempelawaku untuk tinggal bersama-samanya.
Dia menawarkan pekerjaan sebagai pengasuh anaknya di rumah itu. Aku, yang masih belum punya arah tujuan tentu sahaja akan berbesar hati menerima pelawaan itu. Menurut  Ustazah Sarifah, dia memang memerlukan seorang pengasuh di rumahnya kerana pengasuh yang ada sekarang akan menamatkan perkhidmatannya tidak lama lagi dan akan kembali ke tanah seberang.
Seandainya aku sudi menerima pelawaannya, sudah tentu dia tidak perlu bersusah-payah lagi ke agensi untuk mendapatkan pembantu rumah yang baharu. Buat sementara waktu ini, Puan Hajah Wan Maimun masih membenarkan aku dan anak-anakku tinggal bersama mereka. Rasanya, aku bagaikan kembali menjadi aku empat belas tahun yang lalu. Aku yang menyisih dan disisihkan di dalam keluarga mewah ini.
Dan tanpa kuduga, Wan Syamril pulang lagi membawa Masyitah untuk terus tinggal di rumah ini. Mungkin inilah juga sebabnya mengapa Hajah Wan Maimun meminta aku meninggalkan  rumah ini. Mana mungkin kami akan tinggal serumah kerana antara kami berdua sudah tiada apa-apa ikatan lagi.
Masyitah, teman baikku suatu ketika dahulu kini adalah ‘mem besar’ di dalam rumah ini. Jangan kata hendak menyapaku, memandang mukaku pun dia tidak sudi, begitu juga dengan Wan Syamril. Sesekali, aku mencuri juga untuk memandangi suamiku. Rasa kerinduan terhadap kemesraannya sesekali menghantui naluriku. Namun mana mungkin aku mendapat kembali Wan Syamril yang pernah menyayangiku suatu masa dahulu.

Tiada ulasan: