
BAB 39
Lebih enam bulan
perkahwinan kami kemudiannya, di suatu pagi selesai aku menunaikan solat subuh,
perutku terasa memulas-mulas. Aku ke bilik air tetapi sakitku kembali mereda.
Apabila aku melangkah ke bilik tidur, sakit di perutku datang semula. Aku
kembali ke bilik air namun masih tiada
apa-apa yang dapat kubuangkan.
Begitulah
berulang-ulang kali sehingga aku kepenatan.
“Aduh,
sakitnya.” Sesekali sakitnya datang, aku sudah tidak tertanggung.
“Ibu,
ibu, tolong Roha, bu!” Air mataku mulai berlinangan. Tiada siapa di sini untuk
kuadukan segala kesakitan ini. Apabila sakitku mereda, aku duduk di birai
katil, bersalawat dan minta pertolongan daripada ALLAH.
“ALLAH,
ampunilah dosa-dosaku. Aku ini manusia berdosa. Panjangkanlah umurku agar aku
dapat bertaubat kepadaMu. Ampuni aku ya ALLAH, ampuni aku ya ALLAH.” Sekali
lagi sakitnya datang. Pinggangku terasa dimamah sesuatu. Sakitnya bukan
kepalang.
“Abang,
tolong Roha. Roha sakit ni.” Aku teringatkan Wan Syamril. Apa yang boleh aku
buat sekarang? Peluh sudah memercuk di seluruh tubuhku. Terasa seperti sesuatu
meletup di dalam perutku. Apakah itu?
Aku
bangun untuk meminta bantuan daripada ibu mentuaku yang mungkin berada di bawah
sana. Air keruh meleleh keluar membasahi hamparan permaidani. Aku ketakutan. Mungkinkah
sudah tiba masanya untuk aku melahirkan bayiku. Oh, tuhan. Aku semakin takut.
Badanku menggeletar kuat. Bukan kerana takut tetapi kerana sakit.
Mungkin
kerana menyedari bahawa aku tidak turun ke dapur seperti selalu, Kak Tipah
datang ke bilikku. Kugagahi juga kakiku untuk melangkah ke muka pintu. Saat aku
menguak daun pintu itu, aku sudah tidak terdaya lagi. Akhirnya, aku terjelepuk
di hadapan Kak Tipah. Kak Tipah datang menerkam ke arahku lalu memimpinku ke
katil.
“Kenapa
Roha? Roha sakit perutkah?” tanyanya dan balasanku hanyalah anggukan yang deras
sederas air mataku yang mengalir menyeberangi pipi. Sakitnya, ya ALLAH.
“Roha
baring dulu. Nanti Kak Tipah panggilkan Puan Hajah,” kata Kak Tipah.
Aku
cuba berbaring atas katil dan sekali lagi datang sakit perutku yang
memulas-mulas. Hajah Wan Maimun berlari ke bilik tidurku. Aku nampak wajahnya
kelihatan cemas benar. Tidak berapa lama kemudian, Doktor Ramlah iaitu doktor
peribadi keluarga mentuaku datang merawatku.
“Sudah tiba masanya, Puan Hajah. Bukaannya sudah 4
cm,” kata Doktor Ramlah. Masa? Masa apakah itu? Peluh yang merenik di dahiku
kian bertambah. Aku rasa sejuk, sejuk sekali.
“Mak, Roha sejuk,” aku mengadu kepada ibu mentuaku.
“Boleh saya tutupkan suis aircond, doktor?” ibu
mentuaku meminta keizinan Doktor Ramlah. Cemas sahaja riak wajahnya. Dia langsung
tidak berenggang dari tempat pembaringanku.
“Tak perlu. Selimutkan saja dia. Nanti kalau tiba
masanya, dia akan berasa panas pula,” terang Doktor Ramlah.
Aku
akan bersalinkah? Oh, Tuhan. Sakitnya. Aku rasa sakit yang teramat sangat.
Pinggangku bagaikan mahu terputus. Oh, tolonglah. Ibu! Wan Syamril! Datanglah
tolong Roha.
“Kalau
bukaannya sudah 8 cm, saya akan pecahkan air ketuban,” kata Doktor Ramlah
kepada ibu mentuaku. Sesekali, aku rasa sakitku hilang dan mataku seakan mahu
tertutup. Rasa mengantuk yang amat
sangat.
“Roha, jangan tidur.” Aku dengar suara ibu mentuaku.
Saat ini baru aku terasa yang ibu mentuaku memang benar-benar menyayangiku. Kak
Tipah datang membawa sebesen air suam dan kain bersih juga plastik jernih untuk
mengalas katilku.
“Ibu, tolong
Roha, ibu,” aku meraung saat kesakitanku datang semula dan bagaikan ada sesuatu
yang mahu keluar dari bawah sana. Dalam susah payah, kuturuti juga arahan
Doktor Ramlah sambil bersulam zikir dan istighfar. Doktor Ramlah membantu
menyambut kelahiran bayi sulungku.
“Tahniah,
Puan Hajah. Cucu perempuan,” kata
Doktor Ramlah. Ibu mentuaku mengukirkan senyuman. Waris pertama keluarganya
telah pun lahir meskipun hanya seorang perempuan.
Doktor Ramlah memotong tali pusat, membalut bayiku
dengan kain dan menyerahkan padaku sambil berkata, “Puan, susukan bayi ini
sementara saya selesaikan jahitan.”
Aku menyambut anakku. Oh, inilah rupanya anak tikus
yang selalu menguit-nguit di dalam perutku dulu. Aku tidak tahu bagaimana mahu
menyusukan anakku. Hajah Wan Maimun datang menghampiriku. Aku
agak kekok untuk menyuakan puting susuku ke mulut si kecil itu. Lagipun, aku
malu mempertontonkan susuku di hadapan Hajah Wan Maimun.
“Tak
apalah kalau ibunya belum pandai menyusukan anaknya,” kata Doktor Ramlah. “Puan
Hajah nak mandikan bayikah? Bayi ini perlu dibersihkan sekarang,” ujar Doktor
Ramlah lagi. Ibu mentuaku kelihatan teragak-agak tapi dia juga kelihatan amat
gembira.
“Kalau
tidak, biar saya sahaja yang bersihkan,” tambah Doktor Ramlah lagi. Tampak sedikit
kehampaan pada wajahnya.
“Dah
lama saya tak pegang baby, doktor. Takut pula saya,” ibu mentuaku mengaku.
Doktor Ramlah tersenyum. Selesai melakukan jahitannya, dia mengambil anak kecil
di atas dadaku. Kepada Hajah Wan Maimun ditunjukkan cara-cara untuk menguruskan
bayi berkenaan. Aku sendiri sudah mampu tersenyum melihat keterujaan ibu
mentuaku.
Hilang semua
kesakitan yang kutanggung sebentar tadi bersama dengan lahirnya bayi perempuan
ini.
“Roha
dah bersalin?” Tersembul wajah Haji Nik Dasuki di muka pintu bilik. Dia
terpinga-pinga sambil memandang aku dan anakku silih berganti. Haji Nik Dasuki
yang masih lengkap berpakaian baju melayu, kain pelikat hijau muda dan kopiah
putihnya. Mungkin baru pulang dari surau.
“Bang,
cucu kita.” Hajah Wan Maimun masih dengan terujaannya. Dia bangun membawa bayi
kecil itu ke pangkuan suaminya. “Iqamatkannya, bang,” sambung Hajah Wan Maimun
lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan