BAB 9
Aku menyelinap masuk ke
dalam rumah dengan penuh hati-hati.
Nafas masih termengah-mengah. Terlupa untuk mengambil baju panasku di
bawah rumah. Kalau teringat pun, pasti aku berfikir seratus kali sebelum
membongkok di bawah kolong itu yang telah membuatkan kepalaku perit sepanjang
malam. Juga merosakkan mood janji temu pertamaku.
Harap-harap
ibu sudah nyenyak tidur dan tidak
menyedari kepulanganku. Kalau sampai ibu terjaga, penatlah aku hendak menjawab
pertanyaannya. Pasti celotehnya akan jadi bertambah panjang seandainya dia
tahu, aku menghabiskan hampir tiga perempat malam ini bersama-sama Abang
Mahadi, lelaki yang selalu dimintanya agar kujauhi.
Berkeriut
bunyi daun pintu utama saat kukuakkannya, mungkin betullah kerana engselnya
sudah mulai berkarat. Aku mengetapkan bibirku dan menahan nafas yang bergelora
saat kukatup kembali pintu itu. Mungkin dengan cara itu, pintu tidak berkeriut.
Bimbang bunyi keriutannya bakal membangunkan ibu.
Aku
terjengket-jengket menuju ke kamar tidurku, masih sahaja dengan penuh hati-hati
agar lantai papan tidak berbunyi. Sewaktu melintasi kamar ibu, aku sempat
menjenguknya sebentar. Ibu memang sedang tidur lena tak berketik. Aku mengurut
dada yang berdebar. Jantungku masih berdegup kencang hasil daripada larian
kencangku di jalanan tadi.
Ya, ibu
sudah tidur lena. Kalau ibu masih berjaga dan menyedari ketiadaanku sedangkan
waktu sudah menjejaki pagi ini, pasti ibu sudah menghubungi telefon bimbitku.
Ibu mana pernah betah membiarkan aku keluar lama-lama lebih-lebih lagi pada
waktu malam begini.
Perlahan-lahan,
aku melangkah masuk ke dalam bilik. Lampu tidur kunyalakan. Tidak berani
memasang lampu siang. Takut ibu di bilik sebelah terjaga. Desahan nafas cuba
kuimbangi sebaik mungkin. Tarik ikut hidung dan hembus ikut mulut. Penat
sungguh-sungguh.
Aku
tahu, ibu juga penat. Seharian
dia di gerainya melayani pelanggan dan menyediakan makanan walaupun dia dibantu
oleh Kak Julie. Malahan esok, seawal jam tiga pagi dia perlu bangun menyediakan
kelengkapannya untuk jualan. Lazimnya, selepas solat Subuh
ibu akan bergegas ke gerai makanannya. Manakala
aku pula, ibu akan mengejutkanku sebelum dia pergi.
Aku
bangun dan membersihkan badanku. Selesai menunaikan solat Subuh, aku akan
membungkus nasi lemak yang telah dimasak oleh ibu. Setelah itulah aku akan
menyusul ibu ke gerai jualan sambil menjinjit bakul nasi lemakku. Ibu hanya berehat sebentar untuk menunaikan solat
Zohor dan Asar dan gerai ibu ditutup selepas semua pekerja kilang syif siang
pulang iaitu selepas mereka minum petang di gerai ibu.
Selepas
waktu Maghriblah baru ibu benar-benar dapat berehat. Dia akan menanti sehingga
masuk waktu Isyak dan terus masuk tidur
selepas bersolat. Aku telah tahu jadual
dan rutin harian ibu. Ibu gigih bekerja untuk menyara hidup kami dua beranak
selepas ayah menghilangkan diri.
Aku sendiri
tidak pernah mengenali siapa ayahku. Seingatku, sebaik sahaja aku
terlahir ke dunia ini, aku sudah tidak punya ayah. Waktu aku masih di bangku
sekolah rendah, aku selalu bertanyakan ibu tentang ayah. Aku lihat
kawan-kawanku punya ayah sedangkan aku hanya punya ibu.
Setiap
kali kuajukan soalan tentang ayah, setiap kali itulah ibu akan mengalirkan air
mata. Ibu akan menangis setiap kali persoalan tentang ayah kubangkitkan.
Lama-kelamaan aku jadi jemu untuk bertanyakan tentang ayah. Aku sudah dapat
menerima hakikat bahawa aku memang tidak punya ayah. Tanpa ayah pun hidupku
tetap ceria di samping ibu.
Ibu
mengasihiku dengan sepenuh kasih dan sayang. Menatangku bagai minyak yang
penuh. Cuma satu sahaja sikap ibu yang menjengkelkanku. Ibu tidak benarkan aku
melanjutkan pelajaranku. Ibu tidak mahu berjauhan dariku. Aku betul-betul
kecewa dengan sikap ibu sedangkan ibu tahu, cita-citaku menggunung tinggi.
Aku tidak ingin hanya duduk terperap di desa ini tanpa
sebarang ilmu yang bercambah di dada. Aku tidak mahu terus jauh ketinggalan
daripada bekas teman-teman sekolahku yang lain. Bagiku, sia-sia sahaja ibu bersusah-payah menyekolahkanku selama ini
sedangkan dia tidak berminat untuk membenarkan aku meneruskan pengajianku
sehingga ke peringkat tertinggi.
Dalam diam-diam, aku menanam keazaman untuk
melanjutkan pelajaranku. Aku ingin jadi seperti Masyitah dan Wan Syamril. Aku
tidak mahu dipandang rendah oleh kawan-kawanku terutamanya oleh mereka yang
berdua ini.
Kalau dahulu, sewaktu di bangku sekolah, akulah juara
antara mereka tetapi kini aku jauh ketinggalan sedangkan aku tahu, ibu mampu
menanggung beban perbelanjaanku untuk menyambung pengajian.
Aku tahu, kalau terus berada di bawah ketiak ibu,
sudah pasti aku tidak akan dapat menggapai impianku. Aku perlu pergi dari sini.
Aku perlu mencari helah untuk keluar dari desa ini. Mataku seakan tertutup
walaupun tidak buta kalau aku terus terperuk di desa kecintaan kami ini. Aku
ingin keluar untuk mencari kehidupan.
Aku ingin bebas daripada kongkongan ibu. Aku ingin
keluar daripada kepompom kehidupan ini. Aku ingin menjadi Sang Rama-rama yang
cantik dan berterbangan menyerikan bunga-bungaan di Taman Inderaloka.
Tapi,
sanggupkah aku untuk meninggalkan ibu? Sanggupkah aku berjauhan daripada ibu? Sakit pening ibu siapakah yang akan merawat? Makan minumku,
siapakah yang akan menguruskannya? Semuanya menjadi pertimbangan bagiku,
bersimpang-siur di benakku sehingga aku kembali ke bilikku sendiri.
Aku tahu, ibu memang inginkan yang terbaik buatku
tetapi memeramkan aku di sini bukanlah sesuatu yang baik. Ini bukannya
kemahuanku. Berada beberapa jam di luar malam ini seakan membuka mataku
akan keindahan dunia ini. Aku tidak mahu
menghabiskan usia mudaku di rumah usang ini. Aku bahagia berada di luar sana.
Aku temui keseronokan yang tidak mampu ibu sediakan untukku.
Aku tahu, aku pasti akan bahagia berada di dunia luar
sana. Dunia anak muda yang penuh warna-warni dan bukan sekadar warna-warni
pelangi yang hadirnya seketika cuma. Aku ingin keluar dari kelongsong ini. Aku
tidak mahu ibu terus mengurungku di
dalam kepompong kehidupan yang membosankan ini. Aku ingin segera menjadi rama-rama
yang cantik, terbang ke sana ke mari menjadi penyeri taman dan bunga-bungaan
sambil menatap rembang senja yang menawan.
Aku tidak mampu lagi untuk menahan gelora hampa yang
sering hadir dan mengisi di jiwaku meskipun aku tidak pernah merungut ataupun
mempamerkan sikap protesku di hadapan ibu. Aku masih teramat menyayangi ibu.
Aku tiada siapa-siapa di dunia ini melainkan ibu. Ibu sahaja temanku yang
paling akrab. Dan kini, Abang Mahadi pula hadir untuk mengisi kekosongan
hatiku.
Abang Mahadi. Aku sudah mulai terkenangkan Abang Mahadi
walaupun baru sebentar tadi kami berjumpa. Mungkin dia pun sudah sampai di
rumah sewanya. Mungkin juga sekarang, dia sedang mengenangiku atau mungkin dia
sudah pun lena berdengkur.
Aku
mencapai tuala pada penyangkut tanduk rusa. Mukaku yang basah berpeluh kulapkan
perlahan. Tudung kutanggalkan dan kusangkut di tanduk rusa. Benjol di kepalaku
sudah surut walaupun masih sengal-sengal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan