
BAB
35
Suatu
senja, tanpa kuduga, pintu rumah kecil kami diketuk bertalu-talu. Tanpa rasa
cuak, aku melebarkan bukaan pintu. Senja yang suram itu, kami dikunjungi oleh
seorang tetamu. Wan Syamril! Aku tidak sangka Wan Syamril sudi menziarahiku
lagi selepas tragedi tempoh hari. Lebih-lebih lagi setelah kehadiran kedua ibu
bapanya memberi amaran keras agar aku menjauhi anak lelaki mereka ini.
Saat itu ibu baru sahaja pulang dari gerainya. Tentu
sekali ibu kepenatan tetapi ibu tidak
menunjukkan sebarang riak tidak senang di hadapan Wan Syamril malahan ibu
melayani Wan Syamril dengan begitu baik sekali. Aku jadi hairan melihat
perubahan sikap ibu yang kelihatannya gembira menyambut kunjungan Wan Syamril,
kekasih alam persekolahanku.
Aku ke dapur menyediakan minuman tetapi ibu menyuruh
aku menyiapkan makan malam. Sedang aku membancuh air kopi, ibu datang
mendekatiku.
“Roha ke depan, berbual dengan Wan Syamril. Biar ibu
siapkan hidangan ni,” kata ibu.
“Roha bawa sekali air, ibu,” kataku sambil menyusun
cawan di atas dulang.
Aku ke ruang tamu. Wan Syamril tersenyum melihat aku
datang. Dulang kuletakkan di atas meja kecil di hadapannya.
“Minum, Syam,” aku menjemputnya tanpa memandang
wajahnya.
“Roha sihat?” sapanya. Saat itu, baru aku berani
memanggungkan kepala. Mata kami saling bertaut. Aku jadi teringatkan ibu dan
ayah Wan Syamril. Berbeza benar tingkah Wan Syamril dengan mereka. Wan Syamril
melayani aku dan ibu dengan baik sekali. Sikap Wan Syamril tidak seperti ibu
dan ayahnya.
“Alhamdulillah, Roha sihat,” sahutku dan aku amat
berharap agar ibu tidak menceritakan perihal kesakitanku kepada Wan Syamril.
Aku tidak mahu Wan Syamril mengetahui akan penderitaan batinku. Aku malu kalau
Wan Syamril tahu aku jadi begini kerana terlalu merindui Abang Mahadi.
“Syam ke gerai tadi tapi ibu kata Roha tak datang.”
“Kenapa cari Roha?” pantas aku bertanya. Rasa hairan
pula apabila Wan Syamril mencariku. Apa mahunya? Mahu marahkan aku pasal
kejadian tempoh harikah?
Aku yang memanggilnya. Aku yang meminta dia berjumpa
denganku. Aku yang ingin meminta bantuannya. Aku yang bersalah.
“Syam nak minta maaf pasal sudah menyusahkan Roha.”
Aku yang bersalah, dia pula mahu meminta maaf. Sungguh mulia hati Wan Syamril. Kalaulah
kedua ibu bapanya berhati mulia seperti Wan Syamril, tentu duniaku akan lebih
aman.
Aku tuangkan air kopi ke dalam cawan Syamril.
“Minum, Syam,” pelawaku kepada Wan Syamril.
“Roha maafkan Syam?” tanyanya lagi. Aku
mengangguk-anggukkan kepala. Kenangan bersama Wan Syamril meniti di mindaku.
Wan Syamril yang sentiasa baik dan prihatin. Kami berpisah dulu kerana kami
berlainan haluan. Rasa rendah diriku yang keterlaluan menyebabkan aku tidak
betah untuk meneruskan perhubungan dengan Wan Syamril.
Setelah ketiadaannya, aku tiada kawan. Aku sendirian
dan kesepian. Mujur aku masih ada ibu dan Kak Julie. Akhirnya apabila Abang
Mahadi tiba, aku terima Abang Mahadi kerana aku sangka Abang Mahadi juga orang
biasa-biasa sepertiku. Abang Mahadi yang bekerja di kilang sarung tangan. Mana aku
tahu rumah Abang Mahadi besar begitu. Melihatkan rumahnya sahaja, aku sudah dapat
mengagak taraf kedudukan orang yang mendiaminya. Mungkin keluarga Abang Mahadi
lebih kaya daripada keluarga Wan Syamril.
“Syam minta maaf,” sambung lagi Wan Syamril.
“Roha juga minta maaf. Kalau Roha tak minta Syam
datang, tentu semua ini tak akan terjadi,” aku bersuara juga akhirnya walaupun
teramat payah untuk menuturkan ayat itu.
“Mungkin ada hikmahnya di sebalik semua kejadian ini,”
kata Wan Syamril. Ya, aku memang mengharapkan hikmah di sebalik semua kejadian
ini. Salah satu hikmahnya ialah aku telah melihat sendiri kecurangan Abang
Mahadi. Kalau aku tidak mencarinya, tentu aku tidak tahu seperti apakah Abang
Mahadi itu.
Selepas berbual dengannya, aku mohon ke dapur untuk membantu
ibu menyediakan makan malam. Wan Syamril mahu pulang tetapi ibu beria-ia
mengajaknya makan malam bersama kami. Wan Syamril meminta izin untuk menunaikan
solat Maghrib.
Aku menghamparkan sejadah di ruang tamu sementara Wan
Syamril ke bilik air. Terasa satu perasaan aneh yang timbul. Rumah kami belum pernah
dikunjungi tetamu lelaki bersendirian seperti Wan Syamril. Malahan belum pernah
ada lelaki tumpang bersolat di rumah kami ini. Selama ini cuma ada aku dan ibu.
Kami makan malam bertiga. Sedikit janggal tetapi
menghiburkan. Wan Syamril tambah banyak kali. Ibu juga ceria melayannya makan. Ini
kali pertama Wan Syamril bertandang ke rumahku tetapi ibu sudah dapat menerima
kehadirannya dengan baik sekali.
Selepas makan, aku mengemas di dapur manakala ibu dan
Wan Syamril berbual-bual di hadapan. Aku tidak ambil peduli, topik apa yang
mereka perbualkan. Wan Syamril sudah meminta diri untuk pulang.
“Saya balik dulu, ibu. Saya balik dulu, Roha. Jaga
diri baik-baik ya, Roha,” kata Wan Syamril sebelum pulang. Aku rasa terhibur.
Wan Syamril membahasakan ‘ibu’ kepada ibuku. Cepat benar mereka mesra. Kami menghantar
Wan Syamril sehingga ke halaman rumah sebelum Wan Syamril menunggang
motosikalnya.
“Wan Syamril akan bertanggungjawab.” Itu yang ibu
katakan padaku selepas Wan Syamril melangkahkan pergi untuk meninggalkan rumah
kami. Aku tidak tahu apakah makna di sebalik ungkapan ibu.
Aku harap ibu tidak akan memaksaku untuk berkahwin
dengan Wan Syamril. Aku tidak ingin Wan Syamril menjadi suamiku. Aku inginkan
Abang Mahadi. Abang Mahadi sahaja walaupun Abang Mahadi telah mengkhianatiku.
Ah, kenapa aku masih sahaja menaruh harapan kepada Abang Mahadi sedangkan aku
telah melihat dengan mataku sendiri akan kecurangan Abang Mahadi?
Aku
kembali berpijak di bumi realiti. Mengapa perlu kutagih kasih pada yang tak
sudi? Tapi aku masih saja tidak dapat menangkap maksud kata-kata ibu. Adakah
ianya bermakna bahawa Wan Syamril ingin menyuntingku sebagai suri hidupnya
meskipun tanpa persetujuan daripada Haji Nik Dasuki dan Puan Hajah Wan Maimun?
Wan
Syamril sebenarnya tidak perlu bertanggungjawab atas tragedi yang menimpa kami
berdua tempoh hari. Dia tidak perlu berkorban sejauh itu. Namun, seandainya
pengorbanan ini mampu membersihkan arang yang terconteng di muka ibu, aku
sanggup melaluinya. Aku sanggup
menerima Wan Syamril meskipun cintaku terhadapnya sudah lama tercalar.
“Roha, maafkan ibu. Mungkin salah ibu kerana terlalu
mengongkong hidup Roha sehingga Roha tidak mampu menilai mana yang baik dan
mana yang buruk,” ibu berbicara sayu sekali. Air mata ibu berlinangan. Air
mataku juga turut berlinangan. Aku sedih apabila melihat ibu sedih. Aku kalah
dengan air mata ibu. Air mata ibu yang selalu membuatkan aku berasa jengkel.
“Ibu bersalah terhadapmu, Roha.” Ibu masih sahaja
menyalahkan dirinya dan tangisannya kian beralun.
Aku merapati ibu dan memeluknya erat. Aku tidak
sanggup melihat ibu bersedih. Kami hanya berdua di dunia ini. Kami tiada
siapa-siapa lagi. Abang Mahadi yang kugantungkan harapan setinggi langit itu pun
telah tiada. Abang Mahadi yang mencurangi janjinya.
“Selepas ini, Roha kena pandai jaga diri. Tidak
selamanya ibu akan dapat bersama Roha dan menjaga Roha.”Aku tidak tahu kenapa
ibu berkata yang sedemikian. Ibu hendak ke mana? Kenapa ibu hendak
meninggalkanku? Tangisanku semakin mendayu-dayu. Ibu kecewa denganku dan ibu
hendak meninggalkanku. Aku yang bersalah kerana telah menggurisi hati ibu.
“Ibu jangan tinggalkan Roha,” tangisku dalam sendu
yang memanjang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan