Ahad, 12 Oktober 2014

MTD Bab 27


BAB 27
Dan untuk hari-hari yang selepas itu, aku masih tetap menantikan kehadiran Abang Mahadi walaupun Abang Mahadi tidak lagi muncul di warung ibu. Aku tidak mahu menyerah kalah dengan begitu mudah. Aku akan terus sabar menanti dan menanti sehinggalah  Abang Mahadi kembali. Harapan besar kugantungkan agar Abang Mahadi kembali ke pangkuanku.
Aku tahu, Abang Mahadi juga merinduiku sebagaimana aku merindui dirinya. Cuma mungkin perasaan marahnya terhadapku masih belum hilang lagi. Aku perlu sabar menunggu sehingga paras amarahnya itu turun seminimumnya. 
Penantianku masih sahaja menemui jalan buntu sehingga aku mula merasai kelainan dalam diriku. Setiap kali bangun pagi, aku akan berada lama di bilik air. Memuntahkan seluruh isi perutku sehingga tiada apa lagi yang bersisa di dalamnya. Mungkin kerana hebatnya tekanan perasaan yang kutanggung menyebabkan keadaanku sebegini.
Kepalaku selalu pening dan berpusing-pusing sehinggalah pagi berangkat pergi, aku akan perlahan-lahan pulih seperti biasa. Untuk kuadukan kepada ibu, aku tidak sanggup. Aku tidak mahu ibu bersusah hati melihat keadaanku. Lagipun, setiap pagi ibu pergi selepas mengejutkan aku bangun. Ibu tidak pernah melihat aku muntah di kamar mandi.
Aku percaya, derita yang kutanggung ini akan pulih jua nanti setelah kutemui Abang Mahadi. Aku tahu, aku sakit kerana terlalu merindui  Abang Mahadi. Setiap malam aku bermimpikan kehadirannya. Kerana terlalu tertekan juga, pusingan haidku jadi tidak menentu. Kini telah dua bulan aku tidak didatangi pakaian kewajipan seorang wanita itu.
Aku menetapkan keputusan, biar apapun yang berlaku, aku perlu mencari Abang Mahadi. Abang Mahadi mungkin tersalah anggap sewaktu melihat aku bersama-sama Wan Syamril. Aku perlu bertemunya untuk menjelaskan duduk perkara yang sebenarnya. Aku tidak mahu dia menuduhku sebagai seorang perempuan yang tidak setia.
Aku perlu membersihkan namaku. Aku perlu mencarinya. Tapi, bagaimana aku harus mencarinya? Di manakah harus kumulai pencarian ini? Aku tidak pernah tahu di manakah rumahnya? Siapakah ibu bapanya? Aku cuma tahu, dia berkawan agak rapat dengan Abang Mustafa, teman sekerjanya  dan juga pelanggan setia di warung makan ibu.
Mungkin kepada Abang Mustafa boleh kurisik-risikkan perihal Abang Mahadi. Aku berdoa agar Abang Mustafa sudi membantuku. Aku sudah tidak sanggup lagi untuk menanggung kesakitan ini bersendirian.
“Abang Mahadi, jangan tinggalkan Roha. Roha rindu. Datanglah Abang Mahadi. Roha berjanji, selepas ini Roha tidak akan melayani lelaki lain lagi kecuali Abang Mahadi,” aku merintih sendirian saat kerinduanku terhadap Abang Mahadi sudah tidak terbendung lagi.
Derita kerinduan ini terpaksa kutanggung sendiri. Tekakku kembali terasa mual-mual dan aku terus berlari ke bilik air untuk memuntahkan segala isi perut sehingga tiada lagi yang tersisa. Tidak pernah kutahu sebegini hebat rupanya penangan menanggung rindu terhadap kekasih yang tersayang.
Adakah Abang Mahadi juga sama sepertiku? Terseksa derita zahir dan batin akibat menanggung rindu? Kalau Abang Mahadi terseksa sama sepertiku, kenapa dia tidak datang bertemu denganku? Kenapa dia pergi dan menghilang begitu sahaja? Panjang benarkah rajuknya terhadapku? Kasihan Abang Mahadi. Mungkin juga jiwanya benar-benar terluka kerana melihat aku menemani Wan Syamril makan di gerai ibu tempoh hari. Salahku juga kerana tidak pandai menjaga hati orang yang aku sayangi.
Tidak habis-habis aku menyalahkan diriku yang telah melakukan kesalahan. Kalau sudah pandai bercinta, sepatutnya aku juga kena pandai menjaga hati orang yang aku cintai itu. Aku berjanji, Abang Mahadi. Aku berjanji selepas ini aku akan lebih setia terhadapmu. Maafkan Roha, Abang Mahadi.

Tiada ulasan: