
BAB 47
Tiba-tiba ingatanku berputar ligat ke arah Wan Syamril. Baru aku
tersedar, aku belum memaklumkan tentang keadaan ibu kepada Wan Syamril. Pantas
tanganku mencapai beg tangan dan meraba-raba mencari telefon bimbitku. Aku
ingin menghubungi Wan Syamril.
“Roha kenapa?” tanya Abang Mahadi.
“Roha nak telefon ke rumah tapi …agaknya handphone
Roha tertinggal,” ujarku berterus-terang.
“Gunakan handphone abang,” balas Abang Mahadi
sambil menyeluk kocek kemeja putihnya. Aku teragak-agak untuk terus menerima
budinya.
“Ambillah,” kata Abang Mahadi sambil menyuakan telefon
bimbitnya. Apa lagi yang hendak kufikirkan? Akhirnya kuterima pelawaan Abang
Mahadi. Aku memandangnya seketika sebelum mula mendail nombor suamiku. Bagaikan
mengerti, Abang Mahadi bangun dan membiarkan aku membuat panggilan.
Beberapa kali kucuba, namun aku masih lagi gagal untuk
menghubungi Wan Syamril. Mungkin Wan Syamril mematikan telefon bimbitnya
seperti selalu saat dia keluar rumah. Adakah dia berada di rumah Masyitah dan
tidak mahu diganggu atau mungkinkah dia berada di luar kawasan liputan?Aku juga
cuba mendail ke nombor rumah mentuaku. Tiada siapa yang menyahut panggilanku.
Mungkin saat ini kedua mentuaku masih belum pulang
dari bercuti di Pulau Pinang bersama Wan Jamilah dan Nik Jamali. Sementelah
pula aku tidak pernah tahu nombor telefon bimbit kedua mentuaku. Tapi, ke mana
pula perginya Kak Tipah? Adakah Kak Tipah mengambil kesempatan sepanjang
ketiadaan kami di rumah untuk pulang ke rumahnya? Ah,
aku betul-betul tidak suka untuk membuat andaian yang bukan-bukan.
Akhirnya,
setelah gagal untuk menghubungi Wan Syamril dan tidak siapa yang menjawab
panggilanku di rumah, aku meletakkan telefon bimbit Abang Mahadi di atas katil
bersebelahan ibu. Ibu yang tetap terbaring kaku sejak tadi. Hanya mesin
pengesan denyutan jantung sahaja yang berfungsi sebagai menandakan bahawa hayat
ibu masih lagi ada.
Aku
mencapai surah Yassin dan membisikkan bacaannya ke telinga ibu sehingga aku
sendiri terlelap di birai katil ibu.
“Roha….”
Aku terjaga. Kulihat Abang Mahadi dan beberapa orang jururawat sedang
mengelilingi katil ibu. Kenapa dengan ibu?
“Roha
tunggu di luar sebentar, ya. Kami perlu lakukan pemeriksaan yang rapi,” kata
Abang Mahadi.
“Ibu
kenapa? Kalau boleh Roha nak menemaninya sehingga ke akhir hayat ibu,” kataku
sambil air mataku sudah mulai pecah lagi dari empangannya.
“Tak ada apa-apa, Roha. Sekejap sahaja. Nanti Roha
masuk semula, ya!” pujuk Abang Mahadi lagi.
Bekerjalah kamu untuk duniamu seolah-olah kamu akan
hidup selamanya dan beramallah kamu untuk
hari akhiratmu seakan-akan kamu akan mati esok hari. –Nabi Muhammad
S.A.W.
“Roha.” Aku terdengar suara Abang Mahadi memanggilku.
Segera kukesat air mata yang sedang membasahi pipi. Murah benar harga air
mataku ini atau ianya mungkin langsung tidak punya harga di saat ini.
Tabir yang memisahkan kami terkuak dari dalam.
Seorang jururawat keluar membawa dulang
manakala temannya mengikut dari belakang sambil menolak troli berisi perkakasan
untuk memeriksa ibu. Abang Mahadi masih berdiri di sisi ibu yang langsung tidak
menunjukkan sebarang reaksi. Hanya mesin pengesan denyutan nadi yang masih lagi
bekerja menandakan aku masih punya ibu di dunia ini.
“Roha,” panggil Abang Mahadi lagi. Aku menghampiri
lelaki itu.
“Jangan tinggalkan ibu. Bacalah surah Yassin dan
sentiasa berada di sisinya,” sambung Abang Mahadi.
“Ibu bagaimana, bang?” aku ingin benar tahu akan
kondisi kesihatan ibu sekarang.
“Tekanan darah ibu masih belum stabil.” Aku menjenguk
mesin dengan wayar berseliratan di sisi ibu. Sekadar menjenguk tanpa tahu
apa-apa.
“Cuba Roha lihat sini,” kata Abang Mahadi sambil
menunjukkan angka-angka yang banyak pada skrin mesin. Aku memerhati
sungguh-sungguh.
“Bacaan tekanan darah ibu sekarang tujuh puluh dan
semakin menurun,” jelas Abang Mahadi.
“Bacaan yang stabil berapa, bang?” Aku jadi lebih
prihatin.
“Kita tunggu bacaan tekanan darah ibu naik hingga
sembilan puluh,” kata Abang Mahadi dan
aku mengangguk perlahan. Mungkin bacaan sembilan puluh itu menandakan bahawa
tekanan darah ibu sudah stabil.
Abang Mahadi meninggalkan aku bersama-sama ibu tetapi
dua orang jururawat itu kembali datang mengawasi ibu. Mereka bagaikan tidak mahu
meninggalkan katil ibu. Aku biarkan mereka melaksanakan tugas mereka.
Aku duduk di kerusi bersebelahan ibu. Lembaran surah
Yassin kubuka lagi. Tangan ibu yang sejuk kujamah kembali.
“Ibu, bercakaplah dengan Roha. Roha ingin mendengar
suara ibu,” aku berbisik perlahan sambil mencium pipi ibu. Mata ibu tetap
tertutup rapat tetapi ada air yang mengalir di tubirnya. Ibu dengar suaraku.
Aku mengesat air mata ibu.
“Ibu dengar suara Roha?” Sedikit semamgat menjelma di
dalam hatiku. Semangat untuk melihat ibu kembali pulih.
“Ibu, kalau ibu dengar Roha, ibu bukalah mata ibu. Ibu
pandanglah Roha.” Aku tidak peduli lagi dua orang jururawat yang sedang berdiri
sambil merenungku dari seberang katil sana. Mulut ibu bergerak-gerak bagai ada
sesuatu yang ingin ibu sampaikan.
Salah seorang jururawat itu beredar pergi dan tidak
lama kemudian, dia kembali bersama Abang Mahadi. Aku tidak peduli sesiapa lagi.
Aku hanya nampak ibu. Aku hanya mahukan ibu. Aku ingin mohon ampun sebelum ibu
pergi. Aku sudah merasai saat-saat kehilangan itu. Aku tidak sanggup kehilangan
ibu. Ibu jangan tinggalkan Roha. Aku semakin merintih.
Abang Mahadi menghampiri katil ibu dan menanggalkan
alat bantuan pernafasan di hidung ibu. Dia mendekatkan telinganya ke bibir ibu.
Aku memerhati perbuatan Abang Mahadi dengan penuh saksama. Abang Mahadi memberi
isyarat agar aku mendekatinya.
“Ibu sedang berkata sesuatu tapi abang tidak faham,”
kata Abang Mahadi.
Aku mendekatkan telingaku pada mulut ibu. Aku dengar
ibu menyebut tentang seseorang, nama seseorang. Fahmi. Siapa Fahmi ibu? Aku
tidak tahu siapakah Fahmi dan selepas itu, ibu diam semula. Aku tidak mahu ibu
bercakap banyak. Biarpun siapa Fahmi, ibu perlu lebih rehat. Kalau ibu sudah sembuh, ibu boleh bercerita tentang
orang yang bernama Fahmi itu.
“Ibu, ampunilah Roha, bu. Ibu jangan tinggalkan Roha.
Roha sayang ibu.” Dada ibu
berombak-ombak. Pipi ibu kuusap perlahan dan kucium lagi. Kali ini lebih lama.
Aku tahu masa ibu semakin hampir. Pipi yang kuusap tidak mengeluarkan bunyi.
Hanya sejuk dan dingin sekali.
Melihat ibu diam, aku mengajarnya mengucapkan dua
kalimah syahadah. Bibir ibu
bergerak-gerak. Air jernih kembali mengalir di kelopak matanya.
Ya Allah, semoga amalan ibuku cukup untuk membawanya
ke syurgaMu. Bagaikan baru semalam aku mendengar ucapan nasihat daripada ibu
tapi sekarang, aku kehilangan segala kasih sayangnya.
Dunia ini serasakan terhenti sejenak saat Abang Mahadi
mengkhabarkan berita tentang pemergian ibu. Ya ALLAH, Kau ambil jua ibuku yang
amat kukasihi ini. Ya ALLAH, lindungilah ibuku. Jauhilah dia daripada seksaan
kubur dan azab api neraka. Aku sedih kerana aku tidak sempat berbakti kepada
ibu di hari-hari terakhirnya.
Ibu yang tidak pernah melepaskanku untuk berada jauh
darinya meskipun hanya sesaat. Ibu yang tidak membenarkan aku melanjutkan
pengajianku hanya semata-mata kerana dia ingin aku terus berada dekat
dengannya, di bawah pengawasannya sepanjang masa.
Namun, ibu jua yang berkorban apabila melepaskan aku
untuk dinikahi seorang lelaki dan dibawa tinggal bersama-sama keluarga
mentuaku. Ibu yang tidak merungut lagi meskipun terpaksa berpisah denganku
kerana aku kini telah menjadi milik suamiku.
Walaupun tinggal di daerah yang sama namun ibu tidaklah terlalu kerap
melawatku. Mungkin kerana dia bimbang jika kehadirannya tidak disenangi oleh
besannya yang kaya-raya itu. Tapi aku tahu, jiwa ibu pasti melara saat
kutinggalkan dia sendirian.
Kini ibu telah pergi. Pergi buat selama-lamanya. Pergi
meninggalkan aku yang masih lagi mengharapkan kasih sayangnya. Air mataku
sekejap kering di pipi, sekejap basah mengalir. Ya ALLAH, terimalah ibuku. Kasihanilah
roh ibuku. Aku sayang ibu, sangat-sangat sayang tetapi ALLAH lebih menyayangi
ibu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan