Isnin, 13 Oktober 2014

MTD Bab 30


BAB 30
Seperti biasa, setiap hari Ahad ibu akan menutup gerai makannya. Pada hari inilah kami akan keluar berbelanja dan membeli barangan dapur di pekan kecil yang berhampiran. Pekan kecil itu tidak jauh dari gerai kami, hanya bersebelahan kilang sarung tangan itu sahaja. Aku mengambil peluang ini untuk bertemu Abang Mahadi.
Aku meminta izin ibu untuk keluar bersama Masyitah. Kononnya, Masyitah akan menungguku di stesen bas, di bandar sana. Ibu membenarkan aku pergi. Mungkin kerana dia tidak mahu dituduh terlalu mengongkong kebebasanku. Lagipun, aku sudah cukup dewasa untuk menjaga keselamatan diriku sendiri.
Aku harap Masyitah tidak pulang bercuti di kampong minggu ini. Kalau tidak, akan punahlah segala rancanganku. Jangan sampai rahsiaku untuk menjejaki Abang Mahadi terhidu oleh ibu.
Tiba di stesen bas, aku tidak tahu ke mana harus kutujui walaupun alamat rumah Abang Mahadi sentiasa berada di dalam genggamanku. Sesekali keluar ke bandar besar ini bersendirian, aku terasa begitu kekok sekali. Bandar di tempatku hanyalah  sebuah pekan kecil sahaja. Itu pun dibangunkan setelah sebuah kilang sarung tangan didirikan. Maka, ramailah anak muda yang datang bekerja di kilang itu dengan menaiki bas kilang yang disediakan.
Itulah bandar kecil kebanggaan penduduk di tempatku walaupun kedamaiannya kini sedikit terusik dengan kemasukan bilangan pekerja kilang yang ramai juga dari negara luar dan pelbagai ragam pula tingkah mereka sehingga menimbulkan sedikit perasaan kurang selesa penduduk setempat.
Aku menyeberangi jalan di sebelah stesen bas untuk mendapatkan teksi. Hanya teksi sahaja yang boleh membawa aku ke alamat rumah Abang Mahadi dengan selamat.
Sewaktu aku menoleh kembali ke belakang, aku dapat melihat jelas panggung wayang gambar tempat aku dibawa Abang Mahadi menonton wayang gambar dahulu. Rupa-rupanya, panggung itu hanya terletak bersebelahan sahaja dengan stesen bas yang baru aku jejaki tadi hanya dipisahkan oleh sebuah tandas awam.
Tiba-tiba, kenangan bersama Abang Mahadi kembali menerjah di ruangan ingatanku. Aku merindui suasana kemesraan yang diciptakan oleh Abang Mahadi. Semangatku kembali berkobar-kobar untuk mendapatkan Abang Mahadi. Aku ingin memohon maaf kerana mengguris hatinya dengan melayani Wan Syamril di gerai ibu  tempoh hari. Aku ingin menjelaskan perihal yang sebenarnya.
Sedang aku berkira-kira itu, terdengar bunyi hon yang agak kuat menjerit kepadaku. Aku segera menoleh ke arahnya. Seorang pemandu teksi sedang memberikan senyumannya dari dalam sebuah teksi yang berhenti  di sebelahku.
“Nak ke mana, cik?” sapa si pemandu.
Aku menghulurkan secebis kertas kecil yang tertulis alamat rumah Abang Mahadi. Pemandu teksi itu mengangguk-anggukkan kepalanya dan memulangkan semula cebisan kertas itu kepadaku.
“Saya tahu tempat ini. Kalau cik hendak ke sana, mari saya hantarkan. Tambangnya dua puluh ringgit,” kata pemandu teksi itu. Aku tersenyum lebar. Aku tidak kira berapa sahaja harga tambang yang perlu kubayar. Aku hanya hendak berjumpa Abang Mahadi. Itu yang lebih penting. 
Pintu teksi bahagian belakang aku buka. Aku lalu melabuhkan punggungku di atas kusyen empuk teksi merah putih itu. Pemandu teksi melarikan teksinya dalam kelajuan yang sederhana. Aku tidak tahu ke  arah mana aku akan dibawa. Aku hanya membatukan diri. Teksi terus meluncur laju. Aku melontarkan pandangan keluar tingkap. Pemandangan kota yang begitu  mewah dan mengasyikkan, menggamit naluriku untuk berada lebih lama di sini.
Jika punya kesempatan, aku ingin  tinggal di sini. Aku boleh mengajak ibu berpindah ke kota ini. Tentu hidup kami akan lebih bahagia  di sini. Tapi, mana mungkin ibu akan berpindah ke mari. Tentu dia tidak  akan tergamak untuk meninggalkan gerai makannya yang telah diusahakannya  selama bertahun itu.

Teksi yang membawaku, membelok masuk ke satu kawasan perumahan mewah. Aku terpegun. Mana mungkin Abang Mahadi tinggal di kawasan perumahan elit ini? Mungkinkah pemandu teksi ini telah tersilap jalan? Hatiku berdebar-debar dan debaran itu kian bertambah kencang apabila teksi yang kusewa itu berhenti betul-betul di hadapan pintu pagar sebuah banglo yang tersergam indah.

Tiada ulasan: