Ahad, 12 Oktober 2014

MTD Bab 28


BAB 28
Awal pagi ini aku bangun dengan semangat yang satu. Aku ingin bertanyakan Abang Mustafa perihal Abang Mahadi. Sebenarnya, walaupun sudah hampir tiga bulan Abang Mahadi menghilangkan diri, aku tidak pernah bertanyakan tentangnya melalui Abang Mustafa. Aku malu. Aku tidak mahu dikatakan seperti perigi mencari timba, hidung tak mancung pipi pula yang tersorong-sorong.
Namun hari ini, aku terpaksa mengorbankan keegoanku itu. Aku akan menebalkan mukaku untuk mendapatkan maklumat tentang Abang Mahadi. Selepas memuntahkan isi perutku di dalam kamar mandi, aku bergegas membungkus nasi lemak.
Lagipun, Abang Mustafa baik dengan Kak Julie. Aku selalu lihat, Abang Mustafa berbisik-bisik dengan Kak Julie di tempat membasuh pinggan mangkuk di belakang gerai. Kadang-kadang, aku rasa Kak Julie punya hubungan istimewa dengan Abang Mustafa. Abang Mustafa pun selalu sengih-sengih saja bila nampak aku. Macam pesalah yang hendak dijatuhi hukuman sahaja lagaknya.
Dan kemudiannya aku jadi tahu kalau yang sering berkunjung ke rumah Kak Julie itu ialah Abang Mustafa. Pernah sekali aku terserempaknya di rumah Kak Julie sewaktu aku lari kerana merajuk dengan ibu. Betullah itu dia. Hal itu aku bertanya sendiri kepada Kak Julie kerana bagiku Kak Julie tak mungkin merahsiakan apa-apa daripada pengetahuanku.
Walaupun Abang Mustafa rapat dengan Kak Julie tapi aku agak jarang bertegur sapa dengannya. Aku malu untuk berbual-bual dengannya kecuali kalau terpaksa mengambil pesanan makanan. Abang Mahadi, demimu aku akan korbankan rasa malu dan segan yang bermaharajalela ini.
Bau wap nasi yang menyerbu naik ke mukaku membuatkan aku terasa begitu mual dan sekali lagi aku berlari ke bilik air untuk memuntahkan isi perutku. Wah, betapa dahsyatnya bebanan kerinduan ini. Aku tahu, rasa mual dan pening-pening lalat ini akan hilang apabila aku bertemu dengan Abang Mahadi. Aku yakin itu. Sudah semestinya aku jadi begini kerana terlalu merinduinya.
Ibu telah mulai perasan dengan tubuhku yang semakin kurus melidi. Hanya perutku sahaja yang bulat membonjol. Itu pun masih boleh dilindungi oleh blouseku yang besar gedoboh, sedangkan bahagian-bahagian lain hanya tinggal tulang rangka dan kulit sahaja.
Sewaktu melewati rumah Encik Rosman, aku tertinjau-tinjau ke rumahnya. Sudah lama aku tidak mendengar Encik Rosman melaung memanggil namaku untuk membeli nasi lemak. Sebenarnya, aku teringin akan buah mempelam telur di hadapan rumah Encik Rosman yang bergugusan. Kecur liurku melihat gugusan buah-buah comel yang bergayutan itu.
Kalau Encik Rosman menegurku, aku akan melayaninya sebaik mungkin walaupun kami tidak jadi berkahwin dan selepas itu, aku akan meminta keizinannya untuk memetik buah mempelam yang bergugusan itu.
Oh, alangkah lazatnya mencicah mempelam muda dengan kicap cair yang dicampur cili padi, belacan dan sedikit gula. Air liur yang meleleh tanpa sedar segera kukesat dengan lengan baju kurungku.
Sehingga melewati beranda rumahnya, aku tidak mendengar laungan Encik Rosman. Encik Rosman panggillah aku, Encik Rosman panggillah aku. Namun semuanya sepi. Aku kehampaan. Encik Rosman yang menyepi selepas menghantar rombongan merisik ke rumahku tempoh hari dan  lamarannya kutolak. Mungkin dia merajuk dan membawa diri.
Sebaik sahaja terlihat kelibat Abang Mustafa di gerai ibu, aku menarik nafas kelegaan. Diam-diam aku merapatinya dan bertanyakan khabar tentang Abang Mahadi. Kata Abang Mustafa, Abang Mahadi telah lama berhenti kerja di kilang sarung tangan. Dia kembali ke rumahnya kerana hendak menyambung kembali pengajiannya yang terbengkalai dahulu.
“Eh, dia tak bagitahu Rohakah?” tanya Abang Mustafa kehairanan. Aku hanya menggeleng-gelengkan kepala. Aku tidak mahu menyatakan apa-apa kerana aku tahu, Abang Mahadi merajuk denganku. Rajuk yang berpanjangan. Aku mengetap bibirku kejap-kejap, menahan perasaan terharu.
Namun begitu, Abang Mustafa tidak keberatan untuk menolongku. Dia menuliskan alamat rumah dan nombor telefon Abang Mahadi di atas kertas catatan yang aku gunakan untuk mengira harga makanan.
“Roha pergi dulu ke tempat ini. Abang Mus tak dapat nak ikut Roha sebab Abang Mus kerja,” kata Abang Mustafa yang membahasakan dirinya sebagai Abang Mus. Abang Mustafa tak ikut pun tak apa. Asalkan sudah dapat alamat rumah Abang Mahadi, itu sudah cukup baik bagiku.
“Terima kasih, Abang Mus. Budi dan jasa abang akan tetap Roha kenang sampai bila-bila,” ujarku sebagai membalas kata Abang Mustafa. Sebenarnya, aku juga ingin meminta nombor telefon Abang Mahadi tapi aku rasa segan pula apabila melihat Abang Mustafa yang tersenyum-senyum memandangku.
Aku melipatkan kertas kecil itu dan kuselitkan di dalam saku apronku. Aku tersenyum-senyum pula. Dalam diam-diam, aku berazam untuk mencari Abang Mahadi di rumahnya. Aku ingin melepaskan rindu dendamku terhadapnya. Aku tahu, Abang Mahadi juga tentu sedang merinduiku. Aku mengusap-usap perutku. Tekakku kembali terasa mual tetapi kutahankan sahaja.

Tiada ulasan: