
BAB 29
Senja itu kami sekali
lagi menerima kunjungan tetamu biasa ibu, Mak Enun. Sejak Abang Mahadi tiada di
sini, tentu Mak Enun tidak susah hati lagi mahu mengintip-intip urusanku.
Walaupun aku kurang menyukai Mak Enun tetapi aku tidak dapat menunjukkan rasa
kejengkelan itu di hadapan ibu. Aku tidak mahu hati ibu terguris dan berasa aib
atas perbuatanku.
Kedatangan
Mak Enun kusambut jua seadanya. Apabila ibu meminta aku ke dapur menyediakan
minuman, inilah peluangnya untuk aku menjarakkan diri daripadanya. Telingaku
tetap sahaja kubuka-buka kalau-kalau ada bicara Mak Enun yang mahu
menjodohkanku dengan siapa-siapa pula.
“Nak
buat macam mana Cik Enun. Roha tak mahu. Saya tak boleh nak paksa.” Aku
terdengar suara ibu. Memang betullah mereka sedang berbicara tentangku, tentang
jodohku. Aku tidak tahu sejak bila Mak Enun ini membuka agensi mencari jodoh.
Sibuk benar dia dengan urusan jodohku sedangkan anak dara dia sendiri yang dua
orang itu pun masih belum bertemu jodoh.
Rasa-rasanya
seperti aku hendak membahasakan sahaja Mak Enun ini. Carilah jodoh untuk
anak-anak daranya dulu sebelum sibuk-sibuk nak mencarikan jodoh untuk anak dara
orang. Dua orang anak daranya itu pun sudah lebih tua daripada umurku sendiri.
Seorang bekerja di Pulau Pinang dan seorang lagi di Kulim. Kalau susah-susah
sangat, kahwinkan sahaja Encik Rosman itu dengan salah seorang daripada anak-anak
daranya.
Aku
berkira-kira untuk ke depan dan mengutarakan cadanganku sewaktu aku terdengar
jawapan balas Mak Enun, “Saya ni bukan apa Cik Sarah. Saya kasihan tengok Cik
Sarah ni bersendirian menjaga Roha. Lagipun Roha sudah besar panjang. Tak lama
lagi pasti akan ada orang yang masuk meminang. Bukan selama-lamanya Roha nak
tinggal di sini tunggu Cik Sarah. Kalau Cik Sarah terima pinangan Encik Rosman
tu, adalah juga kawan Cik Sarah nanti bila Roha dah mengikut suaminya.”
Langkah
kakiku terhenti. Dadaku bergetaran. Betulkah pendengaranku ini?
“Tak
mengapalah Cik Enun. Saya sendiri pun memang belum bersedia untuk mencari
pengganti suami saya yang entah masih hidup atau pun tidak. Rasa sayang dan
kesetiaan saya padanya masih tetap utuh dan tak berbelah bahagi sampai
bila-bila seperti dulu juga.”
Suasana
hening seketika. Aku menahan nafas untuk terus mendengar bicara mereka dan
tiba-tiba sahaja aku jadi malu sendiri. Salah rupanya tanggapanku selama ini.
Yang aku menangis berkelun-kelun itu rupa-rupanya bukan aku yang hendak
dikahwinkan. Lamaran Encik Rosman untuk ibu rupa-rupanya.
“Lagipun
Encik Rosman itupun masih muda lagi. Biarlah dia cari gadis-gadis lain yang
ramai di luar sana. Saya ni tiada apa yang istimewa kalau nak dibandingkan
dengan wanita-wanita lain,” ujar ibu merendah diri.
“Kalau
Cik Sarah kahwin, ada juga orang yang nak tengok-tengokkan sakit pening Cik
Sarah dan ada juga orang yang nak kawal Roha. Roha pun bukannya budak kecil
lagi. Dah nampak tanda-tanda kematangannya.”
Sepertinya Mak Enun masih mahu memancing persetujuan ibu.
“Tak
apalah Cik Enun. Biarlah saya undur diri saja. Lagi pun Roha perlukan perhatian
saya. Dah lama kami hidup berdua. Biarlah kami terus berdua sampai bila-bila.”
Hatiku tersentuh mendengar kata-kata ibu. Aku sedih kerana ibu sanggup
berkorban demi kebahagiaanku tetapi aku pula ternanti-nantikan Abang Mahadi
tanpa memikirkan tentang untung nasib ibu kalau aku keluar mengikut Abang
Mahadi dan meninggalkannya bersendirian.
Suasana
hening lagi. Aku mengambil kesempatan ini untuk membawa minuman ke depan sambil
berpura-pura tidak dengar dan tidak tahu apa-apa. Ibu memberi isyarat mata
kepada Mak Enun agar tidak bercakap apa-apa di hadapanku. Aku nampak isyarat
itu tetapi pura-pura tidak mengerti.
Nasib
baik aku belum sempat mambahasakan Mak Enun. Kalau tidak, malu jugalah aku
kerana menyangka Encik Rosman menghantar rombongan untuk melamarku. Aduhai!
Nasib
baik juga ibu menolak lamaran Encik Rosman. Kalau tidak, entah bagaimanalah
keadaannya aku hendak tinggal serumah dengan lelaki yang sering menuturkan
kata-kata yang menyakiti hatiku itu. Aku pun tidak faham kenapa Encik Rosman
hendak melamar ibu sedangkan dia selalu mengusik-usikku dengan
perkataan-perkataan yang kurang wajar.
“Haaa…ini
lagi seorang budak ni,” melantun suara Mak Enun. Terkejut aku dibuatnya. Nasib
baik talam minuman telah kuletakkan di atas meja kecil. Kalau tidak tentu
sahaja akan bertabrakan di atas lantai.
“Apalah
Mak Enun ni, main jerkah-jerkah saya. Apa salah saya?” Bengang betul aku dengan
tengkingan Mak Enun itu sampaikan aku berdiri terpacak di situ sambil merenung
tepat ke matanya. Ingat aku ni masih budak-budak, kah?
“Yang
kamu pergi pulang balik pisang yang Rosman beri tu, kenapa?” tanya Mak Enun.
“Pisang?”
Aku berpaling merenung ibu.
“Ya,
pisang,” sahut ibu perlahan.
“Pisang
apa?” aku menguatkan suara.
“Kau
tak tahu pisang apa?” Giliran Mak Enun pula kebingungan.
“Entah.
Saya tak tahu,” ujarku menurunkan nada suara, juga kebingungan. Kami pandang
memandang.
“Pisang
tu ibu letak di tepi tangga. Ibu lupa nak bawa naik ke rumah. Ibu pun dah lupa
tentang pisang tu sampailah Mak Enun bagitahu yang Encik Rosman terasa hati
dengan kita kerana menolak pemberiannya,” jelas ibu.
“Tak
cukup dengan tolak, dipulangkan balik. Memang tak patut,” sahut Mak Enun yang
menjadi jurucakap tidak bertauliah bagi pihak Encik Rosman ini.
Pisang
pisang pisang…aku cuba ingat-ingat semula.
“Dalam
beg plastik sampah hitam?” terloncat pertanyaan itu dari bibirku.
Ibu dan
Mak Enun serentak mengangguk-anggukkan kepala.
Aduh…itulah
bungkusan plastik hitam yang aku tertinggal di hadapan rumah Encik Rosman lama
dulu. Bukan berisi sampah tapi berisi pisang pemberian Encik Rosman
rupa-rupanya. Patutlah Encik Rosman kata aku menolak ‘pemberian’nya dulu.
Kerana pisang, Encik Rosman mahu mendendamiku, marah-marah aku di jalan.
“Manalah
Roha tahu itu pisang. Roha ingatkan ibu terlupa nak buang sampah kita. Jadi
Roha bimbit nak tolong buang. Encik Rosman pula panggil nak beli nasi lemak
sampai Roha tertinggalkan bungkusan itu di hadapan rumahnya,” aku menjelaskan
panjang lebar.
Berderai
tawa ibu dan Mak Enun dan kemudiannya, aku pula yang menyusul mereka. Senja itu
rumah kami dipenuhi dengan gelak tawa lucu kami bertiga. Encik Rosman ini,
pisang saja. Kerana pisang pun sampai seperti mahu ‘berbunuh-bunuhan’.
Hiperbola pula perbandingan yang cuba kubuat itu.
Salah
Encik Rosman juga. Benda elok diletakkan dalam plastik sampah. Kalau sudah di
dalam plastik sampah, tentulah sampah sahaja. Manalah aku tahu yang ianya
berisikan pisang. Menolak rezeki betullah aku ini. Apa yang terjadi ke atas
nasib buah pisang yang dikembalikan itu tidaklah aku ketahui.
“Pisang
itu Rosman berikan kepada Mak Enun pula, sebab itulah Mak Enun tahu cerita ini.
Memang tak patut sungguh kamu tolak pemberiannya,” ujar Mak Enun. Sekali lagi
tawa kami pecah berderai. Lupa akan sakit hati aku terhadap Mak Enun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan