
BAB 51
Aku selamat
melahirkan Wan Jamnah di sebuah hospital pakar wanita. Dengan terlahirnya
zuriat ketigaku ini, bermakna terputuslah ikatan suami isteriku dengan Wan
Syamril. Jatuhlah talak yang pernah dilafazkannya dahulu. Aku menatap wajah
comel si kecil yang telah kehilangan ayahnya sewaktu dia masih di dalam kandunganku.
Wan Jamilah dan Nik Jamali juga amat
gembira menerima kedatangan orang baharu ini. Walaupun Wan Syamril sudah tidak
pulang lagi tetapi Hajah Wan Maimun tidak pernah bersungut tentangnya. Aku tidak
tahu apa cerita Wan Syamril kepada ibunya tentangku kerana tingkah Hajah Wan
Maimun biasa-biasa sahaja. Tidak menunjukkan sebarang riak tidak menyukaiku.
Ibu
mentuaku ini lebih banyak menumpukan perhatian padaku setelah aku kehilangan
ibu kandungku. Dia menjagaku sepanjang aku berpantang dengan bantuan Kak Tipah.
Aku bahagia kerana ibu mentuaku sudah dapat menerima aku dengan baik namun
kalau Wan Syamril pulang, tentu berita perceraian kami akan terbongkar.
Ke
mana harus kubawa langkah kaki ini setelah aku tidak punya apa-apa hak lagi di
rumah ini? Aku cuma ingin
menganggap semua ini hanyalah mimpi ngeri semata-mata. Tiba di siang hari,
segalanya akan menyirna pergi.
Wan Syamril sekarang tentu sedang berbahagia bersama
Masyitah. Entah berapa orang pula anak mereka. Abang Mahadi memang langsung
tidak pernah kuhubungi malahan aku tidak pernah juga menyahut panggilannya di
telefon bimbitku. Aku tidak mahu menghujaninya dengan masalah-masalahku.
Apa yang lebih penting, aku tidak mahu merosakkan
kebahagiaan hidupnya. Mungkin sekarang dia sedang berbahagia dengan isterinya
yang cantik jelita iaitu perempuan yang kulihat berpaut di lengannya sewaktu
aku mencarinya dahulu. Aku takut akan timbul fitnah yang boleh
memporak-porandakan hidup mereka sekeluarga sepertimana yang berlaku ke atas
rumahtanggaku bersama Wan Syamril.
Suatu hari selepas tempoh berpantangku selesai, Hajah
Wan Maimun datang menghampiriku. Waktu itu aku sedang duduk-duduk di taman
memerhati Wan Jamilah dan Nik Jamali bermain air sambil menyiram pokok bunga.
“Roha,” lembut suara ibu mentuaku menyapa. Dia mengambil
tempat duduk di hadapanku.
Aku berpaling mengadap ke arahnya. “Ya, mak,” sahutku
sedikit terkejut. Angin petang yang berhembus menampar lembut pipi kami.
“Emmm…mak ada berita yang nak disampaikan pada Roha.”
Alunan suara ibu mentuaku menimbulkan getaran di hatiku. Berita apakah yang
ingin disampaikannya? Adakah Wan Syamril telah menceritakan segala-galanya?
Oh, Tuhan. Saat ini aku hanya pasrah sahaja. Apa pun
yang akan ibu mentuaku sampaikan, akan kuterima dengan hati yang terbuka. Duhai
hati, tabahlah. Kutatap lembut wajah ibu mentuaku. Wajah yang kini sangat indah
di pandangan mataku. Wajah seorang ibu yang sangat mengasihiku.
Hajah Wan Maimun juga sedang merenungku. Agak lama
kami berjeda. Aku sudah bersedia untuk menerima apa jua keputusan Hajah Wan
Maimun walaupun masih tetap meletakkan segunung harapan agar aku tidak
dipisahkan daripada anak-anakku. Aku tiada sesiapapun di dunia ini. Aku hanya
punya anak-anakku. Oh Tuhan, dengarlah bisikan hati hamba Mu ini.
Hajah Wan Maimun mengalihkan pandangan ke arah
anak-anakku yang sedang bermain air tanpa menghiraukan ibu dan Tok Mummynya
yang sedang memerhati. Aku juga memalingkan muka ke arah yang sama. Lama Hajah
Wan Maimun termenung. Mungkin sedang cuba menyusun kata-kata untuk meneruskan
perbualannya denganku.
Sejak kami sudah berbaik-baik ini, kami selalu
menghabiskan masa di sini dengan berbual-bual sambil melayani Wan Jamilah, Nik
Jamali dan Wan Jamnah. Kebahagiaan yang sangat kudambakan kini menjadi milikku.
Namun aku akan lebih bahagia seandainya Wan Syamril ada bersama-sama ketika
ini.
“Mak cuma nak bagitahu dan mak harap Roha tabah
menerimanya.” Dadaku semakin berdegup kencang. Tidak dapat mengagak berita apa
yang ingin disampaikan oleh Hajah Wan Maimun.
“Roha boleh terima?” Aku tidak tahu mahu menjawab yang
bagaimana. Apa yang aku boleh terima? Wan Syamril kahwin lagi? Aku sudah lama
terima ketetapan itu. Wan Syamril menjatuhkan talaknya ke atasku? Walaupun amat
payah namun aku terpaksa menerimanya. Jadi, terima yang mana satu yang
dimaksudkan oleh Hajah Wan Maimun?
“Insya ALLAH, mak. Roha terima apa sahaja yang mak nak
sampaikan,” sudahnya itulah jawapanku kepada ibu mentuaku. Dalam hati tetap
sahaja mengharapkan perkara yang baik-baik sahaja.
“Emmm…Roha, mak minta maaf. Walaupun berat mulut mak
ni tetapi mak terpaksa juga. Mak tak mahu Roha tak tahu sampai bila-bila,” ibu
mentuaku berhenti sebentar sebelum menyambung kembali, “Wan Syamril sudah kawin
satu lagi,” jelas dan aku faham. Aku menarik nafas panjang. Mata kupejamkan
rapat-rapat. Berita itu aku telah tahu sejak lama dulu.
“Roha,” Hajah Wan Maimun memanggil aku lagi.
“Roha dengar, mak,” kataku. Aku tidak tahu mahu
berlakon atau berterus-terang sahaja. Berlakon seolah-olah aku tidak tahu
apa-apa atau berterus-terang sahaja yang aku sudah lihat gambar pernikahan Wan
Syamril.
Tiba-tiba sahaja ibu mentuaku menggenggam tanganku. “Wan
Syamril sudah lama tak balik tetapi mak dan ayah selalu pergi menziarahinya. Kadang-kadang
kami bawa Nik Jamali.” Penjelasan Hajah Wan Maimun untuk kenyataan yang satu
ini memang amat-amat menghiris hatiku. Aku bukan cemburu, aku cuma sedih.
“Tak apa, mak. Saya faham,” sahutku sambil
menepuk-nepuk tangan ibu mentuaku, menenangkan hatinya juga mententeramkan
jiwaku. Patutlah ibu mentuaku tidak ambil peduli walaupun anak tunggalnya sudah
lama tidak pulang. Rupa-rupanya mereka
sentiasa berhubungan antara satu sama lain. Aku sahaja yang tak tahu.
Aku tidak perlu bertanya, siapa wanita yang menjadi
isteri Wan Syamril kerana aku sudah tahu. Walau siapa pun dia, dia ialah isteri
Wan Syamril yang sah. Satu-satunya isteri Wan Syamril sedangkan aku sudah tidak
punya apa-apa hak ke atasnya. Kelahiran Wan Jamnah telah menjadi pemutus ikatan
perkahwinan kami walaupun Wan Syamril tidak mengisytiharkannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan