Ahad, 12 Oktober 2014

MTD Bab 24


BAB 24
Di dalam bas, kami duduk bersebelahan. Wan Syamril yang membayar tambang bas kami. Aku berasa sedikit kekok berada di sebelahnya walaupun suatu masa dahulu aku pernah berpaut di lengannya dan menyandarkan kepalaku di bahunya.
Bau aroma kelakiannya menggetarkan jua perasaan kegadisanku. Gadis? Gadisku sudah lenyap semalam. Aku memejamkan mataku rapat-rapat. Aku tidak mahu kenangan lama bersama Wan Syamril berulang kembali di saat ini. Jangan sampai aku ini dituduhnya sebagai perempuan terdesak yang terhegeh-hegeh inginkan kemesraannya.
Bas bergegar-gegar tatkala rodanya menempuh jalan yang beralun. Bunyi deruannya gamat sekali. Kalau ada penumpang yang ingin turun, pemandu bas menekan brek secara mengejut sehingga memaksa aku berpaut pada palang besi di hadapanku. Sangat tidak selesa dan sangat menjengkelkan. Wan Syamril hanya tersengih-sengih melihat perlakuanku.
Mungkin kerana dia sudah biasa menggunakan perkhidmatan awam ini sedangkan aku hanya sesekali sahaja berkesempatan untuk keluar ke bandar. Sudah jarang sangat-sangat untuk keluar selepas zaman persekolahanku berlalu.
Tott…loceng bas itu dibunyikan dan aku bersedia untuk memegang palang besi di hadapan. Pemandu bas akan menekan brek bila-bila masa sahaja. Maaf ya, loceng bas ini berbunyi tottt…! Bukan ting! seperti kebiasaannya yang pernah kudengar sebelum ini. Suasana riuh-rendah suara dalam bas itu terhenti sejenak pada saat loceng itu ditekan kerana ada penumpang yang mahu turun.
Rugi juga kerana telefon bimbitku kehabisan bateri. Kalau tidak, banyak gambar yang boleh aku ambil dari atas bas ini. Dalam keadaan resah-gelisah begini, masih juga sempat aku melontarkan pandangan ke luar sambil menikmati keindahan panorama alam di sepanjang perjalanan.
Kami duduk betul-betul di bangku berhadapan tangga bas. Mungkin kerana senang nak turun apabila tiba di destinasi kami nanti. Mata aku meliar mencari loceng bas yang berbunyi tottt…! itu. Bersedia awal-awal agar aku tidak tercari-cari semasa hendak turun nanti.
“Roha dan makan?” Aku tidak dapat mendengar dengan jelas.
“Apa?” tanyaku agak kuat, cuba mengatasi deruan enjin bas.
“Roha dah makan ke belum?” Wan Syamril merapatkan bibirnya ke cuping telingaku. Bahang panas nafasnya menyerbu ke wajahku. Dadaku kembali bergetaran.
Tanpa mahu menunggu jawapanku, Wan Syamril mengeluarkan sebuah bungkusan berisi dua ketul roti Gardenia berinti coklat dari dalam beg sandangnya dan menghulurkan kepadaku. Aku tidak teragak-agak kerana memang perutku sedang bergelodak kelaparan. Jadilah, seketul roti ini sudah cukup untuk  mengalas perutku yang kelaparan.
Aku menjeling ke arah Wan Syamril. Dia sedang tersenyum sambil memandang aku makan. Aku tidak mempedulikan renungannya. Sesekali, bahu kami bersentuhan kerana gerakan bas yang agak terhuyung-hayang. Kemesraan kami suatu ketika dahulu bagaikan terulang kembali tetapi aku tidak mahu memikirkan semua itu lagi. Dalam mindaku cuma ada Abang Mahadi.
Hujan turun dengan lebatnya. Kami membeku di dalam bas. Pemandu menutup pintu bas secara automatik apabila air yang turun telah mulai merembas ke dalam bas. Bangku sudah banyak yang lencun. Konduktor bas kelam-kabut menutup cermin tingkap sambil dibantu oleh penumpang-penumpang yang duduk di sisi tingkap itu.
Wan Syamril menarik tanganku, mengajak aku berpindah tempat duduk kerana air hujan telah meleleh ke atas bangku kami melalui cermin tingkap bas yang renggang. Kami beralih lagi apabila bangku yang kami duduk kemudiannya masih juga basah. Sudah dua kali kami beralih tempat duduk.
Sudah tidak ada bangku yang masih kering sehingga akhirnya hampir lapan puluh peratus bangku di dalam bas ini basah. Sebahagian daripada pakaianku turut lencun. Aku pun sudah malas hendak beralih tempat duduk lagi kerana setiap kali bangun, aku akan terhuyung-hayang sehingga terpaksa dipapah oleh Wan Syamril.
Aku takut aku akan terpelanting keluar dari bas ini walaupun pintunya tertutup tetapi tidak begitu rapat dan masih sahaja bergegar-gegar. Sudah terlalu lama aku tidak menggunakan kemudahan pengangkutan awam ini.
“Buruk betul bas ini. Entah-entah tinggalan British zaman bila.” Aku terdengar Wan Syamril merungut di cuping telingaku. Salah kami juga kerana tidak menaiki bas ekspress. Inilah akibatnya kalau naik bas henti-henti.
Penumpang sudah banyak yang turun namun tiada yang naik sehingga akhirnya hanya tinggal aku, Wan Syamril, pemandu dan konduktor bas sahaja yang meneruskan perjalanan ke pekan kecil kami.
Aku dan Wan Syamril berpisah setelah turun di simpang untuk menuju ke rumah masing-masing. Aku menarik nafas lega kerana telah selamat tiba di kampong halamanku. Aduh, baru semalaman meninggalkan desa ini, kurasakan seolah-olah telah berkurun tidak kujejakkan kaki di daerah kecintaan ini. Wahai kampungku, kini aku sudah kembali.
Baju kurungku yang basah di atas bas tadi telah kering di badan. Sewaktu aku tiba di kaki tangga rumah, kulihat semua jendela terbuka lebar. Dadaku berdebar-debar. Mungkin ibu sudah pulang dan aku tertangkap dengan kesalahanku, keluar tanpa  kebenarannya.
Aku mendaki anak-anak tangga perlahan-lahan, penuh hati-hati dengan debaran yang semakin kencang. Bau masakan ibu menusuk rongga hidungku. Apa, sudah lewat petang begini, ibu belum makan tengah hari? Selepas meletakkan beg tangan dan beg kecilku di atas katil, aku menjengah ke dapur.
“Ibu,” sapaku. Aku tidak tahu bagaimana untuk menjelaskan semuanya kepada ibu. Aku perlu pohon kemaafannya atas kekhilafan yang telah aku lakukan.
“Haa…Roha. Baru  balik? Pergi ke mana? Kenapa tak masak nasi? Roha makan di mana?” soal ibu menandakan keprihatinannya. Mungkin ibu tidak menyangka bahawa aku telah meninggalkan rumah sejak malam semalam lagi.
“Roha belum makan?” ibu bertanya lagi.
“Mari sini, nak. Kita makan sama-sama. Ini ada lauk kenduri yang ibu bawa balik dari rumah Mak Long. Baru sahaja ibu panaskan. Mari temankan ibu makan,” lunak suara ibu namun cukup untuk menggetarkan naluriku. Aku yang bersalah.
Entah apakah yang bakal berlaku jika sekiranya ibu tahu perkara aib yang telah menimpa anaknya ini walaupun baru semalaman dia meninggalkan aku. Aku yang tidak pandai menjaga maruah diri dan kini aku terkurung di dalam penjara kesalahan yang aku tempah sendiri.
Perutku yang sememangnya sudah sangat-sangat lama berkeroncong minta diisi bagaikan menerima rahmat yang melimpah-ruah dengan pelawaan ibu. Atas alasan sekadar ingin menemani ibu makan, aku duduk menyuap nasiku di sebelahnya. Namun sukar juga untukku sembunyikan lahapku kerana terlalu lapar.
“Makan perlahan-lahan, Roha. Nanti tercekik gulai kari tu,” nasihat ibu yang menyedarkanku tentang kegelojohan di luar kawalanku. Aku kembali menyusun aturkan suapanku agar  menjadi lebih tertib.
Setelah menikmati hidangan tengah hari. Tengah hari? Mungkin makan petang bagi ibu tetapi makan tengah hari bagiku, aku mengambil keputusan untuk merehatkan badanku yang seharian kepenatan. Badanku yang melekit perlu kubersihkan sebersih-bersihnya. Selepas mandi, aku melompat naik ke atas katilku.
“Roha, jangan tidur petang, tak baik.” Aku terdengar suara ibu melaung dari dapur, bagai tahu-tahu sahaja akan perancanganku ini. Sudah mendekati waktu Maghrib, memang tidak elok tidur di waktu begini tetapi buat masa sekarang, aku tidak mahu memikirkan semua itu. Otakku sudah tidak mampu untuk mengambilkira semua keburukan tersebut. Apa yang penting sekarang, aku mahu melelapkan mataku barang seketika. Suara ibu semakin sayup kedengaran dan aku hilang dari dunia yang nyata. Kepenatan yang tidak tertahankan.
Ibu mengejutkan aku bangun untuk solat Maghrib tetapi aku masih sahaja berlingkar di atas katil. Seluruh badanku bagaikan terantai atas tilam empuk ini. Jangan kata hendak bangun menunaikan solat, hendak mencelikkan kelopak mata pun rasanya aku sudah tidak terdaya lagi. Oh, Tuhan.

Akhirnya, aku terus menyambungkan tidurku. Aku tidak peduli lagi apa pun tanggapan ibu. Sehingga ke solat Isyak, aku masih bergelumang di atas katilku. Bantal peluk kudekapkan di telinga. Tidak mahu tidurku diganggu oleh suara ibu yang sudah mulai menyanyikan irama lagu bebelnya.

Tiada ulasan: