Ahad, 26 Oktober 2014

MTD Bab 42 - Sekiranya cinta itu suci, bebaskanlah ia pergi kerana suatu hari nanti dia pasti akan kembali. Dan sekiranya dia tidak kembali lagi, nyatalah bahawa cinta itu tidak pernah wujud sejak mula lagi.





BAB 42
Dunia hanya tempat persinggahan dalam perjalanan jauh dan panjang menuju ke alam keabadian.  – Nabi Isa a.s.
Wan Jamilah semakin membesar. Kelincahan dan kemanjaannya menjadi hiburan kami sekeluarga. Hajah Wan Maimun juga sudah tidak punya masa untuk memusuhiku lagi kerana sinar yang kubawa lebih menarik perhatiannya. Aku juga, sedikit pun tidak terdetik perasaan cemburu melihat kemesraan  Tok Mummy dan Tok Daddynya terhadap Wan Jamilah.
Biarlah sampai bila-bila pun mereka tidak tahu tentang status Wan Jamilah. Sumpah! Demi ALLAH! Aku telah bertaubat untuk tidak melakukan lagi sebarang kemungkaran seperti yang pernah aku lakukan dulu. Aku tidak sangka benih yang ditanam oleh Abang Mahadi telah membentuk dan wujud sebagai Wan Jamilahku.
Wan Jamilah, anak kecil yang semakin keletah. Wan Syamril pula sudah menamatkan pengajiannya. Dan tidak lama lagi, selepas ini, kami akan kembali bersama dan kami tidak akan berpisah lagi. Aku berjanji kepada ALLAH untuk menjadi isteri yang solehah buat suamiku ini. Pengorbanan Wan Syamril terlalu agung. Sudi mengutipku di saat aku benar-benar memerlukan bantuan. Tanpa Wan Syamril, siapalah aku ini.
Sementara menantikan surat panggilan untuk melaporkan diri, kami banyak menghabiskan masa bersama. Kini, baru aku rasai kehidupan sebagai seorang isteri meski pun masih bernaung di bawah bumbung rumah ibu dan ayah mentuaku. Aku sendiri tidak pernah terfikir untuk keluar dari rumah ini kerana layanan yang kuterima daripada Hajah Wan Maimun tidaklah sedingin dulu.
Wan Syamril seorang lelaki yang baik. Anak tunggal yang pandai berdikari. Aku kasihan melihatnya. Kasihan kerana dia berkahwin denganku tanpa mengetahui siapa aku sebelum ini. Kadang-kadang, aku sampai termimpi-mimpi telah menceritakan kebenarannya kepada Wan Syamril sedang di alam realiti aku sangat-sangat takut untuk menghadapi kenyataan ini.
Aku merenungi suamiku, Wan Syamril. Lelaki yang pernah menjadi kekasih zaman sekolahku. Lelaki yang pernah meniupkan semangat cinta buatku sehingga aku rasa ingin sering berada di hadapan matanya. Lelaki ini juga pernah menghancur-lumatkan hati dan seluruh harapanku untuk hidup bersama-samanya.
Dan lelaki ini jugalah rupa-rupanya yang diutuskan oleh ALLAH untuk menjadi suamiku yang sah. Sekiranya cinta itu suci, bebaskanlah ia pergi kerana suatu hari nanti dia pasti akan kembali. Dan sekiranya dia tidak kembali lagi, nyatalah bahawa cinta itu tidak pernah wujud sejak mula lagi. Namun seandainya jodoh itu milikku, sejauh mana pun dia pergi, dia tetap akan kembali.
Aku bebaskan Wan Syamril dan aku juga bebaskan Abang Mahadi. Sehingga saat ini, hanya Wan Syamril yang kembali. Abang Mahadi yang ghaib terus hilang lenyap entah ke mana. Setelah menjadi isteri Wan Syamril, sesekali terlintas jua ingatan lampauku terhadap Abang Mahadi. Ingatan itu mungkin juga kerana Wan Jamilah berada bersamaku. Setiap kali memandang Wan Jamilah, aku pasti akan terkenangkan Abang Mahadi.
Mungkin sekarang dia sedang berbahagia bersama isteri dan anak-anaknya. Biar apa pun yang sedang dia jalani, aku tetap jua mendoakan kesejahteraannya. Tidak pernah terdetik di hatiku untuk mendendaminya sampai mati.
Dalam diam-diam juga, aku panjatkan doa agar Wan Syamril kekal bersamaku biar apa pun yang berlaku. Aku tidak minta lebih kecuali kasih dan sayangnya.
Wan Syamril sedang menyuapkan nasi ke mulutnya. Hatiku senang sekali melihat suamiku menikmati juadah yang aku sediakan. Wan Syamril tidak banyak kerenah walaupun dia anak tunggal Haji Nik Dasuki dan Hajah Wan Maimun. Dia pandai berdikari dan menguruskan keperluan dirinya sendiri tanpa perlu membentak-bentak aku.
Dan sehingga ke hari ini juga aku tidak tahu adakah Wan Syamril dapat mengesan bahawa aku sudah tiada dara sewaktu kami bersama di malam pertama kami. Aku lihat dia biasa-biasa sahaja. Tidak pernah komen atau merungut yang bukan-bukan. Mungkin juga dia naïf seperti aku waktu pertama kali bersama Abang Mahadi. Ya, Allah. Kau lenyapkanlah bayangan lelaki itu dari dalam hidupku ini.
Wan Syamril berpaling ke arahku. Mungkin dia menyedari bahawa aku sedang asyik memandangnya. Aku hanya tersenyum walaupun terperangkap dalam renungannya.
“Roha nak makan?” tanyanya. “Mari makan dengan abang,” pelawanya. Mungkin sekarang baru dia teringat hendak mempelawaku. Aku tersenyum lagi sambil menggeleng-gelengkan kepalaku.
“Tak apalah, Roha belum mahu makan lagi,” sahutku kemudiannya.
“Jangan main rasa-rasa. Jangan sampai perut kosong. Abang jauh. Bukan selalu boleh balik tengok Roha,” ujar suamiku pula. Mungkin sekarang kami berjauhan tapi aku tahu, ini semua adalah untuk sementara waktu sahaja. Tidak berapa lama lagi kami pasti akan dapat berkumpul semula.
“Mari sini, makan bersama abang,” pelawa suamiku lagi.
Aku jadi serba-salah. Daripada hanya menemaninya, aku diminta pula untuk makan bersama-samanya. Memang aku rasa kekok sedikit kerana aku jarang makan di ruangan ini kecuali kalau Wan Syamril pulang. Tempat makanku di dapur bersama-sama pinggan-mangkuk dan periuk belanga. Kadang-kadang, aku rasa  aku ini seperti Cinderella yang didera ibu tirinya cuma aku ini tidak sejelita Cinderella dan aku tak punya kereta kuda untuk ke istana cinta.
Namun Cinderella ini telah bertemu putera idamannya dan ‘ibu tiri’ itu juga telah melayaninya dengan baik. Aku tersenyum-senyum sambil menyeret kakiku mendekati suamiku yang masih sahaja menyuap nasinya dengan penuh berselera. Memang aku tahu, sejak dulu lagi Wan Syamril menyukai masakanku.
Dunia ini terdiri atas tiga bahagian. Yang sepertiga milik ALLAH, yang sepertiga lagi kepunyaan ulat-ulat di dalam tanah. Adapun yang milik ALLAH ialah nyawa. Yang kepunyaan ulat-ulat di dalam tanah adalah jasadnya. Sedangkan yang menjadi hak manusia hanyalah amal perbuatannya. –Ibnu Qayum.
Ya ALLAH. Setelah kukecapi bahagia kerana diterima oleh keluarga mentuaku, nampaknya aku masih belum dapat untuk hidup bahagia di samping suamiku kerana selepas tamat pengajiannya, Wan Syamril dihantarkan bertugas di Malaysia Timur itu di negeri Sabah. Sangkaku, kami akan semakin dekat tetapi rupa-rupanya semakin jauh pula kami dipisahkan. Laut China Selatan menjadi pemisah kami.
Semasa Wan Syamril berangkat ke Sabah, di dalam perutku sudah ada tikus kecil yang mulai menguit-nguit. Kali ini, aku sudah dapat mengagak, tikus seperti apakah itu. Ditinggalkan Wan Syamril memang sudah biasa bagiku tetapi pemergian yang jauh ini membuatkan mulai merinduinya. Ingin sahaja aku memohon keizinan ibu dan bapa mentuaku untuk menuruti jejak Wan Syamril di Bumi Sabah.
Namun begitu, terasa berat mulutku untuk menuturkan permohonan itu. Aku tidak sanggup untuk melukai hati keduanya dan aku tidak tahu sama ada mereka membenarkan atau tidak Wan Jamilah ikut bersamaku ke Sabah.
Perasaan serba salah aku semakin menebal. Baru terasa diri diterima, aku tidak sanggup untuk dibuang sekali lagi. Perit rasanya hati ini disakiti dan kini, aku tidak mahu terluka lagi. Kulepaskan Wan Syamril pergi dengan linangan air mata. Berat rasanya penanggungan ini.

Tiada ulasan: