BAB 14
Selesai memasak makan
malam, aku menghidangkannya di atas meja makan seperti tiada apa yang berlaku.
Aku menjeling ibu yang telah mulai bersiap-siap untuk menunaikan solatnya. Dia
bertelekung dan duduk di birai katilnya. Selalunya, ibu akan begitu selepas
solat Maghrib sementara menantikan masuk waktu solat Isyak.
Biasanya
ibu akan mengaji al-Quran tetapi malam ini aku tidak melihat ibu memegang
mushaf al-Quran. Dadaku jadi berdebar-debar lagi, sepertinya ada sesuatu yang
ingin ibu khabarkan. Adakah Encik Rosman telah mengadu kepada ibu tentang
perbuatanku di dalam rumpun pisang petang tadi?
Aku
tidak takut kalau Mak Enun mengadu tentang perbuatan Encik Rosman terhadapku
tetapi aku lebih takut kalau Encik Rosman sendiri yang mengadu perihalku dengan
Abang Mahadi.
“Roha,”
panggil ibu.
“Ya,
bu.” Aku menghampiri ibu yang duduk berjuntai kaki di birai katil, cuba
berlagak setenang yang mungkin.
“Mari
sini dekat ibu.” Aku tidak membantah
meskipun ada sedikit perasaan cuak yang melingkari hatiku.
“Ada
apa, bu?” Aku melabuhkan punggung di sebelahnya, masih juga mengawal nada
suaraku.
“Roha, kita ini orang perempuan. Kita kena pandai jaga
diri, jaga maruah diri dan keluarga.” Aku menekur mendengar nasihat ibu, alunan
di dalam dadaku membuak-buak. Tentu Encik Rosman sudah melaporkan perbuatanku
dengan Abang Mahadi petang tadi..
“Ibu bukan menyekat kebebasan Roha tapi ibu tidak mahu
Roha tersalah langkah. Kita orang perempuan ini ibarat tebu. Banyak manisnya.
Semua orang lelaki suka padanya tetapi jangan sampai setelah habis manis kita
disedutnya, hampas kita dibuang begitu sahaja,” ibu menuturkan kata-kata
nasihat itu sambil mengelus-elus rambutku.
“Ibu tidak mahu Roha menyesal di kemudian hari. Ibu
bukan menghalang Roha berbaik dengan Mahadi tetapi kebaikan itu perlu ada
batasannya. Jangan letakkan harga diri kita terlalu murah di mata lelaki. Nanti
kita akan diludahnya.” Aku mendongak memandang wajah ibu. Ibu sudah mulai
memberi komen tentang Abang Mahadi. Aku tertanya-tanya.
“Ibu nampak apa yang Mahadi buat di gerai tadi.” Akhirnya,
ibu meluahkan juga kegusaran hatinya. Aku mengetap bibirku, terkenangkan
kucupan Abang Mahadi di pangkal pokok pisang. Kalaulah ibu tahu tentang itu,
pasti akan lebih panjang tazkirahnya malam ini.
“Maafkan
Roha, bu.” Hanya itu yang mampu
kuucapkan. Memang aku benar-benar ikhlas saat kututurkan kata maaf itu. Maafkan
Roha, ibu. Maafkan Roha kerana Roha juga sedang membohongi ibu saat Roha
menuturkan kata-kata maaf ini. Juga dalam diam-diam aku menitipkan maaf buat
Encik Rosman kerana berprasangka yang bukan-bukan terhadapnya sebentar tadi.
“Ibu faham, Roha. Ibu faham perasaan Roha. Perasaan
seorang gadis yang sedang meningkat remaja. Ibu juga pernah remaja dahulu. Ibu
juga pernah mengikut kata hati muda sehingga ibu terlontar ke mari. Ibu tidak
mahu Roha mengulangi kesilapan ibu.” Aku lihat mata ibu sudah mula berkaca.
Itulah senjata ibu. Senjata yang kadang kala menjengkelkan hatiku. Aku kalah
dengan air mata ibu. Aku cepat sahaja memaafkannya apabila ibu mulai
menangis.
Selesai menunaikan solat Maghrib, kami
makan bersama-sama dalam diam. Ibu memang tidak membenarkan aku bercakap pada
waktu sedang menikmati makanan. Selepas makan, aku mengemas meja dan menghantar
pinggan mangkuk yang kami gunakan ke singki. Sekali-sekala, aku mencuri pandang
ke arah ibu.
Seperti yang dijangkakan, ibu tidur selepas menunaikan
solat Isyak dan makan malam. Aku bersiap-siap juga untuk keluar dengan Abang
Mahadi. Aku akan pastikan ibu tidak akan terjaga dan aku akan pulang seperti
semalam. Hatiku sedikit cemas kerana melanggar pantang larang ibu. Aku cuba
melupai apa yang dipesankan ibu sebentar tadi.
Kali ini, aku menunaikan solat Isyak terlebih dahulu.
Aku tidak mahu terbabas seperti malam kelmarin sehingga tidak menunaikan solat Isyak. Selepas itu,
aku mengunci pintu bilik dan turun perlahan-lahan melalui pintu belakang. Tidak
berani untuk turun melalui pintu hadapan yang engselnya sudah berkarat itu.
Rumah-rumah jiran tetangga kulewati dengan penuh
hati-hati, tidak mahu bunyi derap tapak kasutku mengejutkan mereka lantas
menegurku. Lebih-lebih lagi Encik Rosman Perisik. Sekiranya hal ini terjadi, pasti
aku terpaksa melupakan hajatku untuk keluar bersama Abang Mahadi.
Aku masih tidak tahu kenapa Encik Rosman seakan
berdendam denganku. Aku tidak pernah melayan tingkahnya dan aku langsung tidak
pernah bercakap kasar dengannya. Tapi, apabila dia berhadapan denganku,
bagaikan ada sesuatu yang dia tidak puas hati denganku. Kenapalah ada makhluk
seperti Encik Rosman ini? Selalu sahaja dia merosakkan mood bahagiaku.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan