BAB
19
Kepalaku
masih berat. Rasanya aku baru sahaja melelapkan mata saat ibu mengejutkanku
untuk bangun menunaikan solat Subuh. Rasa malas melingkari tubuhku tapi aku
tidak boleh melayani rasa malas ini berterusan. Perlahan-lahan kubukakan mata.
Syukur padaMu yang Allah kerana masih mengizinkan aku untuk terus menghirup
udara segar di atas mayapadaMu ini.
Sunyi-sepi rumahku. Mungkin ibu sudah bergerak ke
gerainya. Aku bangun dan melemparkan selimutku ke tepi, perlahan-lahan menuju
ke bilik air, mandi dan mengambil wuduk. Selesai menunaikan solat Subuh, aku
bergegas ke dapur, tiada harum nasi lemak seperti kebiasaannya tetapi ada
sepinggan pulut tanak dan sepiring ikan kedera masin di bawah tudung saji. Air
kopi di dalam jag plastik juga masih panas dengan sebiji cawan tertangkup di
sebelahnya.
Aku mengintai ke dalam periuk nasi lemak. Kosong.
Maknanya, ibu tidak memasak nasi lemak pagi ini seperti kebiasaannya. Aku
termanggu-manggu. Mungkin ibu mahu aku berehat di rumah dan tidak perlu
membungkus nasi lemak untuk dibawa ke gerai. Kalau begitu, baguslah. Betis dan
tumitku masih terasa sakit-sakit akibat terlalu jauh berjalan semalam.
Aku menuangkan air kopi ke dalam cawan dan duduk
bersimpuh untuk menikmati pulut tanak bersama ikan kedera masin. Selepas ini,
bolehlah aku berehat-rehat sahaja di dalam bilik. Terdengar keriutan pintu
hadapan. Aku memanjangkan leherku untuk memastikan siapakah yang datang
bertandang pagi-pagi buta ini.
“Ibu,” aku memanggil ibu.
“Ya. Roha dah sarapan?” tanya ibu, lembut. Dia datang
menghampiriku. Aku kebingungan namun masih mampu mengangguk-anggukkan kepalaku.
“Ibu ke mana? Tak buka geraikah hari ni?” tanyaku pula
setelah ibu duduk bersimpuh di hadapanku. Aku bangun mengambil sebiji lagi
cawan dan kuletakkan di hadapan ibu sebelum aku menuangkan kopi suam ke
dalamnya. Timbul sedikit rasa bersalah kerana mungkin ibu menutup warungnya
hari ini rentetan daripada perbuatanku semalam. Kasihan ibu.
“Ibu ke warung bagitahu Julie, yang kita tak berniaga
hari ni. Semua barangan yang kita beli semalam ibu berikan kepada Julie sebab
dia kata, dia boleh tolong uruskan kedai tu hari ni,” terang ibu sambil
membasuh tangan dan kemudiannya, menyuapkan sedikit pulut yang diletakkan secubit
ikan kedera masin ke dalam mulutnya.
Kami makan diam-diam. Hatiku masih juga
tertanya-tanya. Jarang ibu meninggalkan kedainya kecuali kalau betul-betul ada
hal yang mustahak. Kasihan ibu. Mungkin kerana kes aku semalam membuatkan ibu
mengambil keputusan untuk tidak berniaga hari ni. Masih belum dapat aku
melupakan kemungkinan-kemungkinan itu.
“Lepas makan nanti, Roha tolong kemas-kemas rumah, ya.
Ibu nak masak sikit. Hari ini ada tetamu nak datang ke rumah kita. Roha pakai
baju yang cantik-cantik, ya.” Pesanan ibu membuatkan aku semakin keliru namun
aku tidak berani bertanya lebih-lebih.
Selepas mengemas piring dan cawan yang kami gunakan
untuk bersarapan, aku bergegas ke ruang tamu bersama sebatang penyapu. Rumah
kami kecil sahaja, tidak sukar untuk aku mengemasnya. Kusyen di atas setti
kutepuk-tepuk dan kususun kembali elok-elok.
Ikatan langsir yang longgar, kukemaskan kembali ikatan
rebennya. Setelah itu barulah aku menyapu sawang yang ada sedikit-sedikit di
atas tingkap dan seterusnya aku menyapu lantai. Terdengar keletung keletang di
dapur. Mungkin ibu sedang menyediakan pinggan mangkuk untuk menyambut tetamu
yang akan datang nanti. Sudah lama rumah kami tidak menerima kunjungan tetamu
kecuali pada hari raya sahaja.
Kukuakkan semua daun tingkap agar udara pagi yang
segar dapat menerobos masuk ke dalam rumah kami. Selesai menyapu di atas rumah,
aku turun ke bawah. Penyapu lidi di pangkal tangga kucapai dan aku mulai
menyapu-nyapu daun-daun kering yang gugur di halaman tidak berumput itu.
Sambil menyapu, sambil juga berkira-kira, siapalah
agaknya tetamu istimewa ibu ini? Selesai membersihkan halaman, aku naik semula
ke serambi. Beberapa biji buah labu yang tergolek di situ kuangkat dan kubawa
langsung ke dapur. Buah labu yang ibu tanam sendiri pokoknya berhampiran
bangsal kayu api.
“Roha tolong ibu kupas kulit labu tu, ya. Nanti boleh
kita buat lepat labu,” ujar ibu. Aku tidak membantah. Kutarik sehelai kertas
surat khabar yang tersusun di tepi dapur dan kujadikan alas untuk mengupas
kulit labu. Kemudian, kucapai pula beg plastik jernih lalu kusarungkan di
tangan untuk mengelakkan getah labu daripada melekat di tapak tanganku.
Sesudah itu, barulah aku mulai mengupas kulit labu.
Ibu turun ke tanah setelah menyusun pinggan mangkuk yang baru dibasuhnya di atas
talam.
“Ibu nak ke mana?” tanyaku sekadar ingin memecahkan
keheningan pagi.
“Ibu nak ambil daun pisang,” kata ibu sambil melangkah
menuruni tangga dapur tanpa menoleh ke arahku. Ibu pergi sendirian tanpa
mengajak aku menemaninya.
Aku meneruskan kerjaku mengupas kulit buah labu itu.
Agak lama juga ibu di bawah sehinggalah aku selesai membersihkan
potongan-potongan labu itu. Apabila ibu kembali, aku membantu ibu menyiapkan
lepat ubinya. Kami bekerja dalam diam. Rasanya seperti orang asing yang baru
berkenalan sahaja. Aku tidak suka keadaan ini berterusan.
Aku perlu lakukan sesuatu untuk mengembalikan
kejernihan hati ibu. Mungkin dengan kedatangan tetamunya nanti, ibu akan
kembali tersenyum dan bergembira. Aku semakin tidak sabar untuk menantikan
tetamu ibu yang kukira agak istimewa ini melihatkan cara dan persiapan ibu
untuk menyambut kunjungan mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan