
BAB 46
“Ya Allah, Abang Mahadi !” Kecilnya dunia ini. Bagaimana di sini pula
kutemui Abang Mahadi? Bukankah dahulu dia hanya pekerja biasa di kilang sarung
tangan berhampiran warung ibu? Tempat di mana kami berkenalan dan menyulam
cinta.
Teringat kembali rumah mewah yang pernah kukunjungi
dan kata-kata Abang Mustafa dahulu bahawa Abang Mahadi sudah berhenti kerja dan
pulang ke rumahnya untuk menyambung pengajian. Tidak
mustahil kalau Abang Mahadi menyambung pengajian dalam bidang kedoktoran.
“Roha!” Abang Mahadi juga terpaku. Mungkin tidak
menyangka bahawa wanita yang sedang dirawatnya ini adalah ibuku, pemilik gerai
tempat dia pernah bertandang dulu. Mungkin kerana kecederaan yang dialami ibu
membuatkan Abang Mahadi tidak mengenalinya langsung malahan aku sendiri tadi pun
agak terkejut melihat keadaan ibu.
Abang Mahadi terduduk di atas katil sebelah ibu. Dia
seakan ingin memegang tanganku dan aku
juga tapi tangan kami terhenti di udara. Aku kembali mengesat air mataku yang
kian deras membanjiri pipi. Lelaki ini yang meninggalkanku merana suatu ketika
dahulu tapi kenapa sekarang tiada langsung tersisa marahku terhadapnya?
Lama juga aku menangis. Menangis kerana melihatkan
keadaan ibu yang kaku tanpa reaksi juga menangis kerana tidak menyangka akan
ada lagi pertemuan yang melukakan dengan Abang Mahadi. Tiada kata yang mampu
kuungkapkan kerana aku kini sudah kehabisan kata-kata untuk melayani perbualan
Abang Mahadi.
Aku menyedari akan batasan kami. Aku ini isteri orang
dan ibu kepada dua orang anak dan kini bakal melahirkan anak yang ketiga pula.
Abang Mahadi juga bagaikan terkunci kata-katanya di dalam mulut. Mungkin dia
juga sama sepertiku. Tidak tahu mahu memulai semula perbicaraan setelah sekian
lama berpisah dan biarlah kami terus berpisah sampai bila-bila.
Akhirnya, kami diam. Sama-sama diam sehingga Abang
Mahadi mohon diri untuk melunasi kerjanya yang masih ada. Aku hanya
mengangguk-anggukkan kepala semasa melepaskan dia pergi. Pergilah dan janganlah
kembali ke sini untuk melukai hatiku sekali lagi. Aku yang sudah cukup dewasa,
jangan sampai terbuai dek perasaan yang tidak ketahuan tujuan hadirnya.
Bahagian yang suci dari dunia ini akan lenyap dan cuma
keraknya yang kotor sahaja akan tersisa. Maka pada hari itu, kematian adalah
kurniaan yang besar bagi setiap umat Islam. –Nabi Muhammad S.A.W.
Aku
tidak mahu meninggalkan katil ibu. Kalau boleh, aku ingin terus menemani ibu sehingga dia mengakhiri
nafasnya. Mengakhiri nafasnya? Ya, ALLAH. Janganlah Kau cabut nyawa ibuku
sekarang ini. Aku masih memerlukannya. Banyak perkara yang ingin kukongsikan
dengannya.
Aku juga ingin memberitahunya bahawa Wan Jamilah itu
anak Abang Mahadi, bukan anak Wan Syamril tetapi Wan Syamril, lelaki budiman
itu yang sanggup memikul tanggungjawab besar itu. Saat ini aku telah merestui
pernikahan Wan Syamril dengan Masyitah. Aku jadi terlalu sedar bahawa Wan
Syamril telah terlalu banyak berkorban untukku.
Biarlah kali ini kukorbankan perasaanku demi
kebahagiaannya. Aku, isterinya yang pernah melakukan dosa besar dan sepatutnya
saat ini aku telah pun dikenakan seratus kali sebatan mengikut undang-undang
Islam kerana melakukan zina sebelum akad nikah. Aku, isteri yang tidak layak
untuk menuntut hak sebagai seorang isteri.
Sehingga hari berangkat ke petang, ibu masih begitu
juga. Aku sudah berbelas kali membacakan surah Yassin. Sedarlah ibu.
Pandangilah Roha, bu. Bercakaplah dengan Roha. Katakanlah apa sahaja, Roha
ingin mendengar suara ibu. Aku tidak tahu sudah berapa ratus kalikah aku merayu
sedemikian rupa.
“Roha, kalau Roha penat, mari abang hantarkan Roha
pulang,” kata Abang Mahadi datang kembali dan menawarkan khidmatnya. Aku hanya
menikus. Adakah Abang Mahadi masih menunggang motosikalnya yang dulu?
“Abang rasa Roha juga perlukan rehat. Anak dalam kandungan
Roha juga perlukan istirahat.” Mungkin Abang Mahadi juga sudah nampak perutku
yang semakin berisi.
Aku tidak mahu berganjak dari katil ibu. Abang Mahadi
juga tidak menegahku. Beruntung aku kerana Abang Mahadi ialah doktor yang
bertugas untuk memantau keadaan ibu.
“Abang, mana arah kiblat?” Aku sudah mula memanggilnya
abang. Entah ke mana melayangnya rasa marah dan kecewaku terhadapnya sebelum
ini. Pertanyaan itu kuajukan apabila Abang Mahadi masuk semula ke wad kecemasan
yang hanya dilindungi tirai kain untuk memisahkan pesakit-pesakit yang nazak.
Ibu masih belum dibenarkan untuk dibawa ke wad biasa. Dan aku tidak tahu sampai
bila ibu akan terus berada di sini.
Selepas Abang Mahadi menunjukkan arah kiblat, aku
mengambil wuduk dan menunaikan solat bersebelahan katil ibu. Lama aku berdoa
dan mengharapkan yang terbaik buat ibu. Aku bangun menghampiri katil ibu,
mengusap mukanya dengan tanganku yang masih berwuduk dan berdoa agar Allah
menetapkan takdir yang terbaik buat ibu.
Saat ini jiwaku sedang berperang antara kemahuan untuk
melihat ibu kembali pulih dan juga redha dengan apa jua yang telah ditentukan
ALLAH. Bayi di dalam rahimku sudah mula menunjukkan gerakan-gerakan yang
perlahan. Baru aku tersedar, perutku masih belum diisi sejak aku tiba di sini
siang tadi.
“Roha,” Abang Mahadi memanggilku. Dia mengunjukkan satu
plastik berisi air milo suam dan nasi campur dalam bekas polisterin.
“Roha makan, ya,” katanya seakan memujuk. “Kalau nak
air panas, Roha ambil dalam termos ini.” Abang Mahadi meletakkan sebuah bekas
termos di atas meja bersebelahan katil ibu. Abang Mahadi menarik sebuah bangku
dan duduk bersebelahanku. Aku tidak mengendahkannya kerana aku sendiri sedang
larut dalam khayalanku dan harapan yang tidak pernah surut.
“Roha…,” Abang Mahadi menyeru namaku. Mungkin ada
sesuatu yang ingin disampaikannya kepadaku tetapi rasanya, ini bukanlah masa
yang sesuai untuk berbicara soal hati dan peristiwa silam yang pernah berlaku
antara kami. Sungguh! Aku sudah lama memadamkan ingatan lampau daripada terus
menghantui hidupku. Setelah menjadi isteri Wan Syamril, aku telah melupai
lelaki ini meskipun tanda mata yang ditinggalkan untukku iaitu Wan Jamilah
tetap sahaja menyuburkan ingatanku terhadapnya. Oh, Tuhan!
“Abang masih ingat Roha,” sambung Abang Mahadi. Ingat?
Ya, ingat. Aku juga masih mengingatinya. Sekadar ingatan. Ingatan terhadap
seseorang yang pernah hadir dan memaknakan hidupku. Namun selepas itu, ingatan
yang cuba kupadamkan sebersih-bersihnya. Bersih? Ya, aku mahu bersih. Bersih daripada
segala kenangan masa lampau.
Aku tidak mahu terlalu memandang Abang Mahadi. Aku
tidak mahu kenangan silam itu mengganggu konsentrasiku. Surah Yassin di tangan
kurenungi. Biarlah saat ini kuisi dengan membaca Yassin dan mendoakan keajaiban
buat kesihatan ibu. Ibu yang kaku dengan bunyi mesin bacaan jantung yang
cukup-cukup meruntun naluriku.
Kalau boleh, aku ingin menggantikan tempat ibu. Aku ingin
ibu bangkit dan menyapaku seperti selalu. Ibu yang sering meniupkan kata-kata semangat
buatku. Ibu yang sentiasa kuat dan sanggup berdepan apa sahaja cabaran demi
kelangsungan hidup kami berdua. Ibu yang tidak sanggup berjauhan denganku
walaupun seketika. Namun akhirnya, kami tetap juga dipisahkan oleh keadaan.
Kenangan bersama ibu melingkari mindaku. Kubiarkan Abang
Mahadi dengan ingatannya terhadapku manakala aku lebih senang melayani
ingatanku bersama ibu. Sambil melafazkan surah Yassin, air mataku tak henti
mengalir. Apa yang aku perlukan saat ini bukanlah Abang Mahadi tetapi ibu.
ALLAH, lindungilah ibu, kasihanilah ibu sebagaimana
ibu mengasihaniku semasa aku masih kecil. Aku tidak sanggup melihat keadaan ibu
yang kaku dan bisu begini. Bagaimana aku dapat membantu ibu dalam keadaan
begini?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan