Jumaat, 31 Oktober 2014

MTD Bab 56




BAB 56
Kami telah kembali ke rumah lama ibu. Warung makan ibu juga telah kujual kepada Kak Julie. Wang daripada hasil jualan warung itu kusimpan buat kegunaan kami pada masa akan datang. Mungkin kami perlukan banyak duit untuk menguruskan hidup kami selepas ini. Aku sendiri sudah mula bekerja dengan Ustazah Sarifah. Makin dekat aku dengannya, makin tenang rasa hati ini.
            Semasa tinggal bersama Hajah Wan Maimun dan Haji Nik Dasuki dahulu, aku juga ada menabung duit pemberian  bekas ibu dan bapa mentuaku. Kalau sesekali ke bandar untuk berbelanja, bapa mentuaku akan bekalkan duit buatku dan duit itu tidak pernah kuhabiskan. Duit sewa warung daripada Kak Julie, aku simpan sebahagiannya.
Amalan berjimat-cermat yang diajarkan ibu dugunakan sebaiknya saat ini. Lagipun selepas ibu meninggal dunia, wang simpanannya menjadi milikku. Aku tidak pernah mengeluarkan wang tersebut, kubiarkan ianya terus berada di dalam akaun simpanan bank.
Selain daripada memikirkan tentang Wan Jamilah, aku juga memikirkan tentang usaha untuk mencari Fahmi. Satu nama tapi ramai orang yang punya nama begitu. Fahmi Zulkifli. Puluhan manusia bernama Fahmi Zulkifli dan tiada satu pun yang kurasakan mempunyai pertalian darah denganku.
Dalam setiap solat dan doaku, aku sentiasa bermohon agar ALLAH kabulkan permintaanku. Permudahkan urusanku dalam menguruskan hal Wan Jamilah dan pertemukan aku dengan abangku, Abang Fahmi.
Sejak akhir-akhir ini, wartawan semakin kerap mencari kami. Wan Jamilah menjadi tidak selesa. Mula-mula dia masih mahu menjawab soalan yang dikemukakan tetapi lama-kelamaan dia juga jadi rimas dan takut. Aku faham perasaan Wan Jamilah, anak yang kukandung selama sembilan bulan sepuluh hari itu.
Kami semakin kerap dikunjungi pelbagai pihak yang menawarkan bantuan. Ada yang ingin mengambil Wan Jamilah sebagai anak angkat. Ada juga yang menyarankan agar Wan Jamilah dihantar ke Pusat Perlindungan Wanita. Aku jadi keliru dan sesekali terbit rasa amarahku. Wan Jamilah ini bukannya budak jahat. Segala yang berlaku ke atasnya buat atas kehendaknya sendiri.
Wan Jamilah perlu kuhindari daripada semua tekanan ini. Tekanan yang datang dari segenap sudut sehinggakan Wan Jamilah mengambil keputusan untuk meninggalkan bangku sekolahnya. Wan Jamilah, anak yang bijak. Anak yang pernah menjadi kebanggaan kami sekeluarga ini bagaikan ingin menamatkan zaman remajanya.
Aku tidak menyalahkan Wan Jamilah malahan aku sangat bersimpati terhadap nasib yang menimpa dirinya. Bukan setakat simpati malah lebih daripada itu, akulah yang paling terluka dan melara. Wan Syamril yang membantu aku keluar dari lubang kegelapan dan sengsara, tiba-tiba dia pula yang menggelapkan masa depan anakku. Anak wanita yang pernah diberikannya nyawa untuk kembali tersenyum menongkah arus kehidupan.
Baru-baru ini, aku didatangi seorang guru yang bernama Mas Khairani dan temannya, Nurin. Mereka berhasrat untuk mengambil Wan Jamilah sebagai anak angkat. Aku masih belum begitu yakin untuk melepaskan Wan Jamilah ke tangan orang lain. Lagipun, aku takut dituduh sebagai ibu yang tidak bertanggungjawab.
Setelah beberapa kali bertemu, aku dapat melihat keikhlasan yang terbit daripada hati insan yang bernama Mas Khairani ini. Ada sesuatu yang mengikatkan hatiku dengan hatinya. Tidak tahu apakah ikatan itu tetapi nampaknya Wan Jamilah juga turut menyukai Mas Khairani. Mas Khairani yang banyak bertanya tetapi setiap patah soalannya tidak pernah menjeratku dalam keadaan serba-salah.
Aku yakin, Mas Khairani bersungguh-sungguh dengan kata-katanya. Tiada nada pura-pura dalam setiap ungkapannya. Pandangan matanya yang penuh simpati dan melimpah dengan selautan kasih sayang itu membuatkan aku menyenanginya. Sesuai dengan namanya Khairani yang sebaik empunyanya. Mungkin masa depan Wan Jamilah akan lebih terjamin di bawah jagaan Mas Khairani.
Buat sementara waktu ini, biarlah kutitipkan Wan Jamilah di dalam jagaan Mas Khairani. Jauh daripada gangguan orang ramai yang mengenalinya dan jauh daripada tekanan yang datang bertubi-tubi menghimpit dan mendera perasaannya.
Tiba masanya pasti kami akan berkumpul semula. Berkumpul dalam sebuah keluarga yang besar. Semoga Allah segera pertemukan aku dengan Abang Fahmi. Oh Tuhan, tolonglah.




Tiada ulasan: