
BAB 21
Selepas
rombongan itu pulang, ibu hanya diam tidak berkata apa-apa. Ibu tidak langsung
meminta persetujuanku. Aku juga tidak mahu bertanya banyak. Aku tidak sanggup
menadah telinga untuk mendengar perihal peminangan oleh Encik Rosman. Apa yang
aku nampak, dalam tempoh dua hari ini ibu lebih kerap berkurung di dalam
biliknya selepas kembali dari berniaga di warung.
Ibu banyak menghabiskan masanya dengan solat dan
berdoa. Aku tidak tahu apa doa ibu. Sesekali, aku nampak mata ibu bengkak dan
merah. Aku tahu, ibu menangis tapi aku belum berani untuk bertanya apakah
sebabnya.
Aku juga selalu solat dan berdoa. Aku berdoa agar ibu
tidak menerima pinangan Encik Rosman. Aku tidak ingin berjodoh dengan Encik
Rosman yang mata keranjang itu. Encik Rosman yang selalu menggangguku itu.
Lagipun Encik Rosman sudah terlalu tua. Mungkin lebih tua daripada umur ibu
sendiri.
Aku ternanti-nanti juga kalau-kalau ibu mahu
berbincang denganku tetapi nampaknya belum ada tanda-tanda ibu mahu berkongsi
segala cerita terkini itu denganku. Mungkin ibu belum bersedia untuk
menyerahkanku kepada orang lain. Ibu yang tidak pernah mahu berpisah denganku
walaupun seketika.
Suatu ketika, aku lihat ibu sedang membelek-belek
álbum gambar lama di dalam biliknya. Aku pernah lihat album itu tetapi
gambar-gambar orang di dalam album itu tidak kukenali kecuali ibu. Kalau aku
bertanya, ibu hanya berkata, itu gambar ibu masa muda-muda dahulu. Aku juga ada
lihat gambar sepasang pengantin sedang bersanding. Aku tahu, itu gambar ibu dan
lelaki itu ayahku tetapi ibu tidak mahu menjawab.
Kalau aku tanya lebih-lebih, ibu akan menangis. Tanya
pasal gambar pun sensitif sangat. Sebab itu jugalah aku malas lagi bertanya
tentang gambar itu.
“Roha.” Aku terdengar ibu memanggil namaku. Aku
bergegas menuju ke bilik ibu. Ibu masih dalam balutan kain telekungnya.
“Mari sini duduk sebelah ibu,” ibu mempelawaku. Aku
menghampiri ibu dan duduk di sisinya. Ibu menarikku ke dalam dakapannya. Aku
turut berselubung di dalam kain telekung ibu. Sudah lama ibu tidak memelukku
semesra ini. Seperti yang kuduga, ibu menangis lagi.
Setelah sedunya agak mereda, ibu membuka helaian album
lama itu.
“Hari ini ibu nak bagitahu Roha sesuatu. Ibu rasa
sudah sampai masanya untuk Roha mengetahui rahsia ini,” ujar ibu melirih.
“Rahsia apa, ibu?” Aku semakin teruja untuk mengetahui
rahsia yang sekian lama ibu pendamkan. Ibu hulurkan album gambar itu padaku.
“Ini gambar ibu dengan ayah Roha,” ujar ibu
tersekat-sekat. Kan sudah kukatakan, lelaki gagah di dalam gambar itu ialah
ayahku. Memang tak salahlah tekaanku selama ini. Aku menatap gambar itu
lama-lama sambil jari telunjuk kananku menguis-nguis mesra pipi ayah. Serasakan
aku sedang mengusap pipi ayah yang sebenarnya.
“Ke mana ayah, ibu?” tanyaku agak sebak. Soalan yang
telah sekian lama aku pendamkan.
Ibu memaut kepalaku ke bahunya. Dia berjeda agak lama
sehingga bahunya terhinggut-hinggut menahan sedu. Dia menangis dan kali ini aku
memang bersungguh-sungguh ingin mengetahui kisah tentang ayah. Selama ini aku
masih belum mengenali ayahku. Siapakah dia dan di manakah dia kini?
“Roha, ayah Roha orang yang baik-baik. Sewaktu Roha
baru dilahirkan, ayah telah diarahkan untuk memikul tanggungjawab membenteras
musuh yang datang mencerobohi negara kita.” Ibu terhenti sejenak bagaikan
sedang membendung sisa-sisa kesedihan dan mengumpul kekuatan untuk terus
bercerita perihal ayah.
“Ayah Roha pergi dan tidak kembali lagi sehingga ke
hari ini. Tidak tahu sama ada dia masih hidup ataupun sudah tiada lagi di atas
muka bumi ini.” Aku sudah tidak mampu untuk membendung kesedihan di hatiku.
Memang aku tahu ayahku seorang tentera kerana ianya jelas tertulis di dalam
sijil kelahiranku tetapi aku tidak pernah tahu cara pemergiannya yang
bagaimana.
“Cukuplah sekadar Roha tahu, Roha punya ayah yang
sangat baik dan bertanggungjawab. Ayah Roha berpesan agar ibu mendidik Roha
dengan sempurna dan jangan ditinggalkan Roha tanpa kasih sayang. Itulah juga
yang menyebabkan ibu agak keberatan untuk berjauhan dengan Roha biar pun
seketika.”
Aku menarik nafas panjang. Patutlah selama ini ibu
terlalu mengawal pergerakanku. Rupa-rupanya, ibu bimbang sekiranya ibu gagal
menunaikan amanat ayah.
“Ibu terlalu takut akan kehilangan Roha.” Sekali lagi
ibu meluahkan rahsia hatinya.
Sebagai balasannya, aku memeluk ibu erat-erat. Maafkan
Roha, ibu. Roha telah membuatkan ibu bersedih dan mengalirkan air mata. Setelah
puas bertangis-tangisan, barulah kami melonggarkan pelukan.
“Roha jadilah anak ibu yang baik,” kata ibu,
teresak-esak.
“Ya, ibu. Roha janji, Roha akan jadi anak ibu yang
paling baik,” janjiku bersungguh-sungguh. Sesungguhnya pada saat aku berjanji
itu, aku terlupa akan jalan-jalan kehidupanku yang masih berliku-liku dan
bersimpang-siur di sana sini. Aku tidak ingin melangkaui takdir kerana aku
tidak tahu bagaimanakah takdir hidupku selepas ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan