BAB
15
Malam
masih muda. Rumah-rumah tetangga masih meriah. Suara anak-anak kecil
mengalunkan bacaan al-Quran dan saling bertingkah dengan suara garau sang ayah
yang mengajar. Juga ngauman peti televisyen dari arah beberapa buah rumah yang
lain.
Malam yang terang-benderang disimbahi cahaya lampu
elektrik di pinggir jalan yang berpadu
dengan cahaya sang rembulan menambah meriahnya suasana. Hatiku juga sedang
meriah.
Sewaktu melintasi rumah Encik Rosman, aku merenung ke
arah rumahnya yang tersergam hitam laksana gergasi angkuh dan sedang merenung
tajam padaku. Dadaku bergetaran. Rumah Encik Rosman gelap-gelita. Pintu dan
tingkapnya tertutup rapat.
Orang bujang dan sedikit berumur, mungkin dia keluar
makan di luar atau mungkin juga sedang berpeleseran dengan gadis-gadis cantik
di luar sana. Atau mungkin juga dia sedang melakukan risikan di luar. Aku jadi
tersenyum juga pabila teringatkan Encik Rosman Perisik ini.
Aku sedikit lega. Encik Rosman tiada di rumahnya.
Sekurang-kurangnya aku tidak terperangkap dalam ‘teguran’nya ataupun dengan
perbuatan liarnya. Perlahan-lahan kuhayunkan langkah kaki. Selepas meninggalkan
halaman rumah Encik Rosman, aku percepatkan langkah kakiku. Aku tidak mahu
Abang Mahadi jemu menanti kedatanganku.
Dalam aku berkira-kira tentang Encik Rosman, aku sudah
semakin mendekati jalan besar. Beberapa orang jemaah masih ada di atas beranda
surau di simpang jalan. Mereka sedang berbual-bual. Kalau mereka bertanya, aku
hendak ke mana? Apa aku nak jawab? Dadaku berdebar-debar juga.
Aku nekad, kalau ada yang bertanya, aku akan katakan,
aku hendak ke kedai runcit berdekatan gerai makan ibu. Memang aku akan ke kedai
itu dan bagitahu Abang Mahadi supaya batalkan pertemuan kami malam ini.
“Roha, nak ke mana?” Kan sudah ada yang menegurku.
“Errr…ke kedai, pak cik,” ujarku kepada Pak Cik Ayob
yang sedang menyarungkan seliparnya. Entah masa bila pula dia sudah berada di
hujung tangga surau itu.
“Ibu mana? Selalu jalan berdua,” kata Pak Cik Ayob
lagi.
“Roha keluar sekejap je. Nak beli minyak angin,”
sahutku tanpa dirancang. Macam mana pula boleh keluar minyak angin ni? Mungkin
kerana benjol di kepalaku masih terasa sengal-sengalnya dan betisku juga terasa
keras.
“Dah beli, cepat balik,” perintah Pak Cik Ayob seperti
bapa-bapa pula. Aku angguk-angguk kepala dan berlalu pergi. Beberapa kepala
terjenggul dari atas dinding surau. Aku pura-pura tidak nampak.
Abang Mahadi telah menungguku di tepi jalan menuju ke
kedai runcit. Kawasan itu agak gelap.
“Kenapa
lambat?” soalnya sebaik sahaja terlihat kelibatku.
Tanpa
menunggu jawapanku, dia terus sahaja menarikku ke dalam dakapannya. Tanpa
sebarang isyarat, sekali lagi dia melumati bibirku. Aku sedikit meronta, cuba
melepaskan pelukannya. Aku belum bersedia untuk menerima cumbuannya yang
tiba-tiba.
Abang
Mahadi melepaskanku kemudiannya. Aku termengah-mengah. Sekali lagi aku
dilambung perasaan kelainan itu. Entah perasaan apakah itu? Mungkin saat ini, iblis sedang bergelak
ketawa menyaksikan ketewasanku. Aku
terlupa segala pesanan dan nasihat ibu. Aku damai di dalam pelukan Abang Mahadi. Aku mengingininya lagi. Ah,
terdesak sangatkah aku ini?
“Abang,
malam ni, kita tak boleh keluar,” ujarku perlahan.
“Kenapa?”
tanyanya sambil merenung mataku. Muka kami terlalu dekat. Aku hampir tewas.
“Roha
terserempak dengan orang kampung tadi. Roha cakap nak ke kedai saja,” aku
menjelaskan.
Abang
Mahadi tunggu di luar manakala aku masuk ke dalam kedai untuk membeli minyak
angin dan panadol. Ada juga alasannya kalau ibu bertanya nanti. Manalah tahu
kalau-kalau Pak Cik Ayob ada menyampaikannya kepada ibu. Nanti boleh aku
bagitahu ibu, aku ke kedai sendirian kerana tidak mahu mengganggu ibu tidur.
Lagipun, malam masih muda.
Malam
ini Abang Mahadi hanya membawa aku pusing-pusing keliling bandar yang
berhampiran, bukan bandar besar tempat kami pergi semalam. Kami singgah makan
yong tau fu di gerai sebelum Abang Mahadi menghantar aku pulang. Abang Mahadi
meninggalkan motosikalnya di pinggir jalan sebelum turun dan berhasrat untuk
mengiringiku sehingga ke halaman rumah.
“Tak
apa, bang. Biar Roha balik sendiri,” ujarku, menolak budinya.
“Abang
tak senang hati kalau tak lihat sendiri Roha naik ke rumah,” balas pula Abang
Mahadi. Aku terharu dengan keprihatinannya.
“Tak
mengapa. Roha dah biasa dengan jalan ni. Lagipun, rumah Roha tak jauh lagi dari
sini.” Aku masih berkeras namun tetap menolaknya dengan baik. Aku tidak mahu
menggurisi perasaan Abang Mahadi.
Aku
tidak boleh membenarkan Abang Mahadi menghantar aku pulang. Aku tidak mahu
tertangkap oleh jiran-jiran yang mungkin masih belum tidur atau yang sedang
mengambil angin malam di beranda rumah. Abang Mahadi terpaksa menuruti
kemahuanku.
Dan
sebelum kami berpisah, Abang Mahadi mengulangi
perbuatannya yang sama, mencumbuiku sepuas hatinya dan aku tidak
membantah. Aku sudah semakin menghayati setiap perlakuannya. Aku biarkan dia
berbuat apa sahaja kerana aku juga mengingininya.
“Jalan baik-baik, ya,” pesan Abang Mahadi.
Aku mengangguk-anggukkan kepala sambil melepaskan
tangan kami yang masih bertaut, perlahan-lahan. Sesekali, aku menoleh ke
belakang, melihat Abang Mahadi yang masih lagi berdiri di sisi motosikalnya
sambil memandangiku. Aku melambai-lambaikan tangan ke arahnya. Diri terasa amat
disayangi dan dilindungi oleh Abang Mahadi yang kucintai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan