BAB
6
“Kenapa
pakai baju macam nak pergi kenduri kahwin ni?” tegur Abang Mahadi apabila
melihat aku memakai baju kurung moden daripada kain sutera Terengganu yang
dihadiahkannya dulu. Aku terkulat-kulat menahan perasaan malu. Lagi
bertambah-tambah rasa sakit di kepalaku.
Selepas putus cinta dengan Wan Syamril dulu, inilah
kali pertama aku akan keluar lagi dengan lelaki. Kalau dengan Wan Syamril, kami
hanya berjumpa pada waktu siang dan terkadang masih di dalam pakaian seragam
sekolah. Manalah aku tahu pakaian mana yang sesuai untuk kupakai malam ini.
Rasa-rasanya, pakaian ini sudah cukup cantik malahan
sudah puas aku berpusing-pusing di hadapan cermin sebelum menapak keluar dari
rumah tadi. Ditegur tiba-tiba dek Abang Mahadi membuatkan rasa harga diriku
merudum ke paras yang paling bawah. Aku
rasa betul-betul malu.
“Nak Roha balik tukar baju, kah?” tanyaku
kebodoh-bodohan.
“Tak
payahlah. Dah lewat ni. Nanti tak sempat nak masuk menonton tayangan awal.”
Abang Mahadi menyerahkan topi keledar kepadaku. Dia menyarungkannya di kepalaku
dan mengetatkan tali ikatannya. Kemudiannya, aku terkial-kial memanjat untuk
naik ke tempat duduk motosikalnya.
Patutlah
Abang Mahadi menegur pakaianku tadi. Rupa-rupa, sukar untukku membonceng di
belakang dengan kain ketat kurung modenku. Dalam hatiku berdoa, janganlah
sampai kain suteraku yang istimewa ini terkoyak rabak.
“Lain
kali pakai seluar panjang saja kalau keluar dengan abang,” katanya. Lain kali?
Adakah Abang Mahadi berhajat untuk membawaku keluar lagi selepas ini? Kalau
memang itulah maksudnya, memang hatiku sedang mengembang setaman. Lupa sejenak
sakit di kepalaku.
Lupa?
Mana boleh aku lupa. Sakit di kepalaku ini sakit sangat-sangat. Dihentak topi
keledar ini membuat aku rasa lebih perit. Segera kutanggalkan kembali topi
keledar itu.
Aku
meraba-raba atas kepalaku, masih ada bonjolan besar. Serasakan ada cecair
melekit di jemariku. Kuturunkan tanganku dan dalam gelap itu, tiada apa yang
bisa kulihat. Pabila kudekatkan jari itu ke hidung, ada bau hanyir seperti
darah.
“Roha
kenapa?” Abang Mahadi berpaling ke arahku. Tidak jadi hendak menekan gear
motornya. Terdengar teguran Abang Mahadi, aku cepat-cepat menyarungkan semula
topi keledar itu di atas kepalaku dengan penuh hati-hati. Kutahankan perit yang
terasa.
Abang
Mahadi mulai menunggang motosikalnya dengan hati-hati. Menciluk ke kiri dan
kanan untuk melepasi barisan kenderaan yang panjang berhampiran lampu isyarat
berwarna merah.
Aku
tidak tahu mahu berpegang di mana. Akhirnya aku hanya memegang bajunya di kiri dan kanan. Apabila
tiba di lampu isyarat, Abang Mahadi memberhentikan motosikalnya dan sempat
memberi ingatan padaku.
“Jangan
tarik baju abang. Nanti terkoyak. Peluk saja
pinggang abang,” katanya, mengajarku. Aku serba-salah. Namun sebaik
sahaja motosikal Abang Mahadi memecut, aku tidak punya pilihan lain. Aku memeluk pinggangnya
erat-erat, rapat-rapat. Dadaku bergetaran dan merenek. Aku merasai kehangatan
tubuhnya di dalam dingin malam itu.
Apabila Abang Mahadi tidak memecut, aku akan
melonggarkan pelukanku tetapi Abang Mahadi selalu sahaja menekan brek secara
mengejut di belakang kereta atau lori sehinggakan aku tersengguk ke depan.
Akhirnya, aku mengambil keputusan untuk tidak melepaskan pelukan lagi. Aku
takut jatuh tergolek di tengah jalan yang sibuk ini dan digelek tayar lori.
Sudahlah kepala aku sakit dan berdarah, nanti aku pula
yang hancur berkecai. Aku tidak mahu terpenyek di tengah-tengah jalan ini. Dan
yang lebih penting lagi, aku tidak mahu rahsiaku membohongi ibu, pecah kerana
kemalangan yang menimpaku. Oh Tuhan. Jahat sangatkah aku ini?
Motosikal Abang Mahadi terus gagah membelah kepekatan
gelap malam. Di kiri kanan kami telah dipenuhi dengan iringan lampu jalan yang
bergemerlapan menandakan bahawa kami telah hampir tiba dalam kawasan bandar.
Aku rasa begitu teruja. Lupa sejenak akan kekesalan yang melanda sebentar tadi.
Suasana kemeriahan malam yang belum pernah kualami
sebelum ini. Pastinya sangat meriah. Semeriah hatiku kerana dapat bersama Abang
Mahadi yang aku gilai.
Abang Mahadi berhenti di tapak letak motosikal dan
mematikan enjinnya. Aku melangkah turun. Abang Mahadi juga turun dan membuka
topi keledarnya. Aku menyerahkan topi keledar yang kupakai untuk dia kuncikan
di sisi motosikalnya bersama-sama topi keledarnya. Mula-mula, kami melangkah
beriringan. Kemudiannya, aku membiarkan Abang Mahadi berjalan di hadapanku
kerana aku tidak tahu ke mana tujuannya.
“Kenapa berjalan di belakang abang ni? Kita bukannya
di atas motor lagi. Mari berjalan di sebelah abang.” Abang Mahadi menarik
tanganku hingga rapat ke sisinya. Aku biarkan sahaja kerana aku bahagia dengan perlakuan Abang Mahadi. Aku rasa
dimanjakan. Aku rasa disayangi.
“Kita makan dulu, ya?” saran Abang Mahadi.
“Tadi
abang kata dah lewat.”
“Tayangan
bermula pukul sepuluh. Abang takut kita lewat tiba tadi. Lagi pun jalan raya
agak sesak.” Aku mengangguk-anggukkan kepalaku, mengiyakan kata-kata Abang
Mahadi. Sewaktu melewati bangunan panggung wayang, aku nampak Masyi dan Wan
Syamril sedang berdiri di depan pintu besar sambil berpegangan tangan.
Darah
cemburuku menyerbu naik ke muka. Aku hampir terlupakan Abang Mahadi yang
berdiri di sebelahku. Masyi melambaikan tangannya apabila ternampak kami
berdua. Aku menyeret tangan Abang Mahadi. Abang Mahadi hanya mengikut gerakku.
“Bang,
itu kawan Roha. Mari Roha perkenalkan.” Abang Mahadi tidak membantah. Dia
mengekori langkahku. Aku bersalaman dengan Masyi manakala Abang Mahadi
bersalaman dengan Wan Syamril dan tanpa kuduga, Masyitah turut bersalaman
dengan Abang Mahadi sedangkan aku sendiri
tidak bersalaman dengan Wan Syamril.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan