
BAB 48
Abang Mahadi. Banyak perkara yang ingin kutanyakan padanya. Aku ingin
bertanya kenapa dia tinggalkan aku di hotel penginapan kami dulu. Aku ingin
bertanya kenapa dia pergi tanpa pesan dan tidak kembali-kembali lagi.
Namun keinginan itu menyurut kembali apabila aku
teringatkan akan keadaan diriku saat ini. Di antara kami berdua terdapat
batasan yang memisahkan dan aku tidak mungkin akan melepasi batasan itu.
Cukuplah sekali aku terleka dengan mainan dan nafsu
dunia. Aku tidak ingin terjebak lagi buat kali yang kedua. Lagipun, aku tidak
akan merendahkan harga diriku untuk bertanya tentang kejadian masa silam kerana
aku sendiri sudah punya jawapannya.
Tidak mungkin Abang Mahadi begitu bodoh untuk
mengambil aku menjadi suri hidupnya sedangkan dia punya pilihan lain yang
sangat sempurna. Aku tidak menyalahkan Abang Mahadi kerana yang bersalah ialah
aku. Aku yang mudah terpesona dengan kilauan cahaya kepalsuan.
“Roha,” panggil Abang Mahadi. Sejak semalam, Abang
Mahadi menemaniku dan menguruskan jenazah ibu. Encik Rosman, jiran yang paling
kubenci ini juga yang bertungkus-lumus membantuku. Mak Enun, Kak Julie dan
Abang Mustafa juga datang membantu kami. Aku yang terkapar-kapar, tidak tahu
mahu berbuat apa.
Semuanya telah selesai tetapi aku masih sahaja tidak
dapat menghubungi Wan Syamril. Entah di manakah dia berada kini. Panggilan ke
rumah juga masih tiada sambutan. Mataku sudah memerah dan darahku juga sesekali
menyirap naik walaupun sedaya upaya cuba kutahankan perasaan ini. Apa perlunya
aku memarahi Wan Syamril dan menanggung sakit hati yang amat sangat.
“Roha,” panggil Abang Mahadi lagi.
“Ya,” sahutku sambil tersedu.
“Jangan menangis lagi. Yang pergi tetap akan pergi.
Roha jangan terlalu bersedih. Fikirkan sama anak yang di dalam kandungan itu.”
Tetamu kami semakin beransur pulang dan aku juga tidak
mahu Abang Mahadi terus berada di sini.
“Terima kasih abang kerana banyak membantu Roha. Budi
dan jasa baik abang amat Roha hargai,” ujarku kemudiannya.
“Abang minta maaf
kerana meninggalkan Roha dahulu. Abang masih mengingati segala kenangan
manis kita berdua.” Ungkapan Abang Mahadi membuatkan darah merahku kembali
menyerbu naik ke muka. Aku kehilangan kata-kata.
Suasana hening agak lama.
“Selesai membaiki motosikal, abang kembali ke hotel
tempat kita menginap tetapi abang dimaklumkan bahawa Roha telah pulang.”
Terbayang di ruang ingatanku segala kenangan yang pernah kami lalui suatu
ketika dahulu. Bayangan yang cuba kupadamkan terus daripada ingatanku. Sejarah
dosaku yang tidak terampunkan. Air mataku mengalir deras.
“Cukuplah, bang. Perkara yang berlalu janganlah
disebut-sebut lagi. Ianya amat menyakitkan hati saya. Kesilapan lalu tak
usahlah diulangi. Saya sudah melupainya,” aku bersuara juga akhirnya.
“Beberapa kali abang datang ke sini untuk mencari Roha
tapi Roha tak ada. Abang ke kedai ibu tetapi Roha juga tiada di sana. Abang
segan untuk bertanya kepada ibu tetapi bila Kak Julie bagitahu Roha sudah
berkahwin, abang terus bawa diri.” Abang Mahadi terus menjelaskan tanpa
menghiraukan tegahanku.
Hampir tujuh tahun Abang Mahadi meninggalkanku. Dan
hampir enam tahun juga usia Wan Jamilah, baru sekarang ini Abang Mahadi mahu
menyatakan bahawa dia ada mencariku. Memang agak sukar untukku mempercayainya.
Sebenarnya, banyak persoalan yang ingin kutanyakan padanya. Salah satu
daripadanya ialah siapakah perempuan genit yang menggendeng di lengannya saat
aku berjaya menjejaki rumahnya dulu?
Apa yang pasti, aku tidak mahu mengulangi kisah lama.
Segala yang berlaku dahulu telah menjadi sejarah. Sejarah hitam yang mengajar
aku untuk lebih menghargai apa yang aku miliki sekarang, mentua, suami dan
anak-anakku. Abang Mahadi bayangan masa silamku dan bukannya jodoh masa
depanku.
Abang Mahadi juga mungkin sudah berkahwin dengan
perempuan yang aku lihat bersamanya dahulu. Mungkin sekarang mereka juga sedang
berbahagia dan aku juga tidak ingin Abang Mahadi tahu bahawa aku pernah
mencarinya dan terserempak dia sedang bergembira dengan perempuan itu.
Sebelum pulang, Abang Mahadi menawarkan khidmatnya
untuk menghantar aku pulang walaupun aku menolak keras. Namun kerana merasakan
tiada salahnya aku menumpang dia, akhirnya aku mengambil keputusan untuk
menumpang keretanya.
Doaku agar segalanya dilindungi Allah. Jangan sampai
Abang Mahadi bersandiwara lagi dan membawa aku menginap entah di mana-mana. Oh,
Tuhan. Aku masih mengingati peristiwa itu. Ah, mana mungkin Abang Mahadi akan
bertindak sejahat itu. Lagipun perutku sedang memboyot. Mana mungkin akan dapat
memikat hatinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan