Ahad, 26 Oktober 2014

MTD - Bab 43





BAB 43
Sewaktu Wan Syamril menghadiri majlis konvokesyennya, aku juga tidak dapat menemaninya kerana waktu itu aku baru sahaja lima hari melahirkan anak keduaku, maksudku anak pertama aku dengan Wan Syamril iaitu Nik Jamali.
Wan Syamril terbang balik dari Sabah untuk menghadiri majlis itu dan sekaligus menziarahi anak kami. Ibu dan bapa mentuaku turut serta ke majlis berkenaan dan membawa Wan Jamilah yang waktu itu telah berusia dua tahun.
Wan Syamril, walaupun seorang ayah tapi dia tidak pernah merasai nikmat sebagai seorang ayah. Dia tidak pernah memandikan anaknya apatah lagi untuk menukar lampin dan menyuap makanan. Dia juga tidak pernah bangun di tengah malam untuk membancuh susu atau mengulit si kecil yang terjaga dan meragam.
Aku bertuah kerana ibu dan bapa mentuaku banyak membantu. Sewaktu Nik Jamali masih kecil, Wan Jamilah dibawa untuk tidur bersama mereka seperti kebiasaannya. Wan Jamilah lebih manja dengan mereka berbanding denganku. Aku sudah lama tidak perlu bersusah payah untuk melayani Wan Jamilah kerana perhatianku lebih tertumpu kepada si kecil, Nik Jamali.
Ibu dan bapa mentuaku juga amat menyayangi Nik Jamali. Mungkin juga kehidupan mereka sudah lengkap dan semakin bahagia kerana dianugerahi sepasang cucu daripada zuriat tunggalnya, Wan Syamril.
Ketiadaan Wan Syamril menjadikan hubunganku dengan kedua mentuaku semakin rapat. Pun begitu, aku masih tetap sahaja menjaga batasanku. Aku tidak mahu mengguris hati mereka. Aku tidak pernah duduk bersama mereka untuk menonton televisyen. Selalunya, aku bersama Kak Tipah menonton televisyen yang diletakkan di ruang dapur.
Aku lebih selesa menonton di situ dan dapat  berbual-bual dengan Kak Tipah. Sesekali, ada juga aku menemani mereka di ruang tamu itupun sekiranya diminta oleh Puan Hajah Wan Maimun. Aku masih sahaja segan-segan.
Sekali sekala pulang ke Semenanjung, aku lebih banyak memberikan perhatian kepada Wan Syamril. Aku tidak betah tinggal di sini tanpa kehadiran Wan Syamril. Kata Ustazah Sarifah, tempat isteri adalah di sisi suaminya. Aku sendiri tidak keberatan untuk mengikut suamiku ke Sabah tetapi suamiku tidak pernah mempelawa.
Pernah juga sekali aku menyuarakan hasrat hatiku tetapi Wan Syamril membantah. Katanya, lebih baik aku tinggal di Semenanjung. Dia akan usahakan pertukaran untuk pindah balik dan tinggal bersamaku. Lagipun di sini, aku ada ibu dan ayah mentuaku yang akan menjaga kami dengan lebih sempurna. Aku termakan juga dengan pujukan Wan Syamril.
Anak-anak kami semakin membesar dan di dalam perutku rasa-rasanya sudah ada tikus  baru yang menguit-nguit. Saat ini, aku telah tahu, bahawa yang selalu menguit-nguit di dalam perutku dulu adalah janinku. Aku tidak lagi setolol dulu. Pengalaman mengajarku untuk jadi lebih matang dan tabah. Tanda-tanda yang aku alami kini adalah sama seperti sewaktu aku mengandungkan Wan Jamilah. Mungkin anakku ini perempuan, sama seperti Wan Jamilah. Naluriku kuat menyatakan sedemikian.
Sebenarnya, aku tidak ambil kisah sangat tentang jantina anakku yang ketiga ini. Lelaki atau perempuan, aku pasrahkan sahaja kerana aku sudah punya sepasang cahaya mata. Kali ini, ibu mentuaku membawa aku untuk mendapatkan rawatan kehamilan di sebuah hospital swasta. Doktor Ramlah tidak lagi bekerja sebagai doktor peribadi keluarga mereka. Sementara menantikan ketibaan doktor peribadi yang baru, aku dibawa ke hospital oleh Pak Wan Daud, adik ibu mentuaku yang tinggal berdekatan rumah kami.
Sewaktu usia kandunganku tiga bulan, Wan Syamril pulang lagi ke Semenanjung untuk cuti akhir tahun. Walaupun sudah agak lama tidak pulang, aku lihat Wan Syamril biasa-biasa saja. Aku juga tidak mampu untuk melayaninya dengan lebih baik kerana aku lebih banyak menghabiskan masaku di bilik air, memuntahkan segala apa yang aku makan sehingga tiada lagi yang tersisa di dalam perutku.
Wan Syamril juga tidak terlalu mesra dengan anak-anak kami. Mungkin kerana jarang bersua, anak-anak kami juga jadi liar dengannya. Cuma Nik Jamali yang seakan ingin merapati ayahnya tapi agak malu-malu. Wan Syamril juga agak memanjakan Nik Jamali. Mungkin kerana mereka sama-sama lelaki.
 Wan Syamril jarang berada lama di rumah. Katanya, dia keluar untuk bertemu rakan-rakan sekampung yang sudah lama tidak bersua. Aku tidak ambil peduli tentang aktivitinya mungkin kerana sudah terbiasa ditinggalkan.
Cuma satu permintaanku iaitu aku ingin mengajaknya menziarahi ibu seperti kelazimannya apabila pulang bercuti sejak dulu lagi. Tetapi nampaknya kali ini, Wan Syamril tidak akan menziarahi ibu seperti selalu. Dia asyik keluar sahaja dan kalau pulang pun, sewaktu aku sedang nyenyak menguliti mimpiku. Sudah lama aku tidak menatap wajah ibu dan entah kenapa, aku tiba-tiba sahaja jadi teramat rindu.
Walaupun setiap hari menelefon dan mendengar suara ibu tetapi tidak sama seperti memandang dan memeluknya sendiri. Aku jadi teramat rindu akan pelukan dan belaian ibu. Saban malam, aku tidur bertemankan air mata itupun selepas berbual dengan ibu. Entah mengapa, aku jadi terlalu sensitif dan terlalu merindui ibu.
Memang tidak dapat kusangkalkan, selepas melalui pahit-getir mengandung dan melahirkan dua anakku yang terdahulu, aku semakin mengasihi ibu. Aku semakin menghargai pengorbanannya melahir dan membesarkanku tanpa sesiapapun di sisinya.
Aku ingin berbual lagi dengan ibu. Aku ingin bertanyakan ibu tentang ayahku. Tentang keluarga ayah dan tentang asal-usul kami. Baru sekarang tergerak hatiku untuk menyiasat susur galur keluarga kami. Baru sekarang, aku punya banyak waktu untuk memikirkan tentang salasilah keluarga kami.
Ayahku Leftenan Zulkifli bin Abdul Majid dan ibuku Maisarah binti Hassan. Siapa datukku? Siapa nenekku? Siapa saudara-mara ibu? Untuk bertanya melalui telefon, rasa-rasanya kurang sesuai. Aku mahu menatap wajah ibu dan berbual secara empat mata dengannya. Sekurang-kurangnya, aku boleh bercerita kepada anak-anakku nanti kisah tentang keluarga sebelah ibu mereka pula.

Tiada ulasan: