Jumaat, 17 Oktober 2014

MTD Bab 34



BAB  34

Selepas kejadian tempoh hari, ibu seakan menjarakkan dirinya daripadaku. Mungkin ibu belum dapat menerima hakikat yang aku ini telah mencontengkan arang di mukanya. Tragedi itu benar-benar memberi kesan yang mendalam dalam hidup kami. Aku mengerti  kelukaan hatinya sedangkan hatiku sendiri juga sedang terluka. Maafkan Roha, ibu.
Segalanya  tetap  berjalan  seperti biasa  sehinggalah pada suatu malam sekembalinya kami dari warung ibu. Kami dikunjungi oleh ibu  dan ayah Wan Syamril. Mulanya, aku tidak tahu akan tujuan mereka kerana aku disuruh ibu ke dapur untuk menyediakan minuman. Saat kuhantarkan hidangan ke hadapan, keduanya tidak memandangku walaupun aku telah cuba memaniskan muka dan melontarkan senyum ke arah mereka. Senyumanku berlalu tanpa sebarang balasan.
Aku menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Hajah Wan Maimun tetapi dia seperti tidak sudi untuk menyambut huluran tanganku. Agak lama juga aku menunggu dan aku sudah berkira-kira untuk menarik kembali tanganku tatkala tangan Hajah Wan Maimun menyentuh jemariku. Bersalaman juga kami walaupun dia tidak memandang padaku. Mungkin aku terlalu hina pada pandangan matanya.
Aku kurang biasa dengan mak dan ayah Wan Syamril. Waktu zaman persekolahan kami, aku tidak pernah menjejakkan kaki di rumah mereka walaupun beberapa kali juga Wan Syamril mempelawa aku ke rumah mereka. Aku segan untuk ke rumah besar itu. Aku segan untuk berjumpa dengan ibu bapa Wan Syamril.
Kata Wan Syamril, “Jangan segan-segan, nanti Roha akan masuk juga ke rumah itu sebagai isteri Syam.” Itu kata-kata Wan Syamril lama dulu. Sekarang ini, kata-kata itu hanya tinggal kenangan. Aku tidak mungkin akan menjadi isteri Wan Syamril kerana aku kini sedang terumbang-ambing. Abang Mahadi yang aku cintai juga telah berlaku curang. Segala harapan yang kubina runtuh begitu sahaja.
“Cik Sarah, saya mohon sangat. Pesan dengan Roha, jangan diganggu lagi anak saya. Wan Syamril masih belajar. Jangan ganggu dia,” terdengar jelas suara ibu Wan Syamril di hujung tangga.
Aku baru bergegas ke depan untuk bersalaman dengannya sebelum mereka pulang. Kata-kata itu menyentap tangkai hatiku. Aku menghormati mereka sebagai orang tua Wan Syamril. Aku banyak terhutang budi dengan Wan Syamril. Wan Syamril yang terlalu banyak budinya padaku.
Berbaik dengannya bukanlah bermakna aku mahu menjadi isterinya dan berbaik dengannya juga bukanlah tujuan aku untuk mengganggu pembelajarannya. Ibu Wan Syamril telah tersalah sangka. Peristiwa penangkapan kami tempoh hari bukanlah seperti yang disangkakan. Ianya berlaku dalam keadaan yang salah. Sangat-sangat salah dan akulah yang paling rasa bersalah dalam hal ini.
Selepas mereka pulang, aku lihat ada air yang mengalir dari kelopak mata ibu. Apakah  tujuan kedatangan ibu bapa Wan Syamril? Apakah mereka telah mengguris hati  ibu? Aku semakin kasihan melihat bebanan yang ditanggung  ibu. Tapi, apa boleh buat. Segala-galanya aku  yang mulakan. Terlajak perahu bolehlah diundur. Inikan pula sudah terlajak perbuatan. Terpaksalah kupikul akibat buruknya seumur hidup meskipun perit.
“Roha, jangan diangankan anak orang. Sedarlah siapa diri kita yang sebenarnya. Kita ini tidak layak digandingkan dengan mereka.” Aku meneguk liur mendengar ibu memulakan bicara.
“Haji Nik Dasuki dan Hajah Wan Maimun datang untuk meminta Roha supaya tidak mengganggu anak mereka. Wan Syamril perlu menamatkan pengajiannya.” Aku semakin tidak memahami ibu. Ibu memihak kepada  siapa sebenarnya?
“Roha, bukan ibu menghalang Roha berkawan dengan Wan Syamril tetapi kita ini tidak setaraf dengan mereka. Ibu harap Roha faham. Janganlah sampai kita terus-terusan dihina orang,” tutur ibu satu-persatu.
Ya, ibu. Roha faham. Roha tahu kedudukan diri Roha. Roha sendiri pun tidak pernah menyimpan niat untuk mendampingi Wan Syamril jika tidak mendapat restu daripada keluarganya. Tidak mungkin aku akan membenarkan orang menghina ibu lagi. Aku sanggup lakukan apa sahaja asalkan ibuku tidak dipandang hina.
Aku cuba menahan rasa mual yang kembali menghantui diri. Aku tidak mahu ibu bersedih hati seandainya dia tahu yang aku ini sedang sakit. Mungkin juga aku akan mati dan pergi meninggalkan ibu tidak lama lagi kerana aku rasa terlalu lemah. Tidak tahu penyakit apakah yang sedang menular di dalam tubuhku sekarang.
Akhirnya, kerana tidak tertahan lagi. Aku berlari ke singki dan kumuntahkan segala apa yang kutahan sejak tadi. Ibu membuntutiku. Ah, mungkin selepas ini ibu akan tambah sedih apabila dia tahu aku sedang tenat menanggung sakit rindu akibat putus cinta.
Ibu memandangku. Pandangan yang tepat dan keras. Aku tidak tahu apakah maknanya pandangan itu. Kepalaku penuh sarat dengan tanda tanya. Ibu berlalu pergi. Apakah dia langsung tidak kisah dengan penyakit yang menimpaku? Tidak inginkah dia mencari penawar untuk mengubati penyakitku ini? Aku sedih melihat sikap ibu yang langsung tidak mahu mengambil berat akan keadaan kesihatanku.
Aku tidak tahu apakah yang ada di dalam perutku sekarang. Terkadang, kurasakan seperti ada seekor anak tikus kecil yang sedang mengeruit di dalam perutku. Aku geli dan rimas tapi aku tidak tahu harus berbuat apa. Sudah banyak kali aku muntah tetapi anak tikus itu tidak pernah mahu keluar bersama-sama muntahku. Lama-lama, aku telah terbiasa dengan keadaan ini. Kubiarkan  sahaja anak tikus itu terus menguit-nguit dan bermaharajalela di dalam sana.
Tidur malamku sering terganggu. Aku diburu oleh  mimpi-mimpi yang mengerikan. Aku tidak tahu mengapa aku jadi begini. Mungkin kerana perpisahan yang berlaku membuatkan aku  terlalu mengingati Abang Mahadi. Abang Mahadi yang sering datang dalam mimpi-mimpiku. Mimpi ngeri kerana wajah Abang Mahadi yang muncul tidak memperlihatkan wajahnya yang sering kuidamkan tetapi  wajah bengis dan menakutkan.
Kenapa  Abang Mahadi perlu menampakkan wajahnya yang menakutkanku? Dan aku tambah tak faham, kenapa Abang Mahadi begitu menakutkan pada pandangan mataku. Apa perlunya dia menakut-nakutkanku? Aku kini sudah agak jarang ke gerai ibu. Aku tidak mahu pelanggan ibu melihat wajahku yang pucat tidak bermaya  ini.
Aku tidak mahu mereka tertanya-tanya perihal  penyakitku. Ibu juga tidak memaksa aku menghantar nasi  lemak seperti kebiasaanku sebelum ini. Ibu akan membungkusnya sendiri dan membawa bersamanya ke gerai. Saat-saat begini, aku amat menghargai keprihatinan ibu. Dia bagaikan turut memahami kelukaanku.

Tiada ulasan: