
BAB 36
Wan Syamril memang
seorang lelaki yang budiman. Dia
tidak rela melihat aku dan ibu terus-terusan dihina. Dia ingin memikul
tanggungjawab atas apa yang telah berlaku walaupun aku tidak pernah meminta dia
melakukan semua itu. Aku tidak mahu terus menyulitkan hidupnya. Aku tidak
perlukan pengorbanannya.
Tetapi Wan Syamril terlalu baik. Dia sudi mengubati
luka di hatiku meskipun aku tidak pernah memberitahunya tentang kelukaanku
terhadap sikap Abang Mahadi. Dia masih tidak peduli meskipun Haji Nik Dasuki
dan Hajah Wan Maimun membantah keras perhubungan kami.
Tindakannya mempertahankan maruah aku dan ibu
menerbitkan rasa kagumku yang teramat terhadapnya. Walaupun Abang Mahadi sudah
meninggalkanku tetapi kehadiran Wan Syamril telah mengubati luka di hatiku.
Entah apakah yang Wan Syamril lakukan sehingga mampu
meyakinkan ibu dan ayahnya untuk datang melamarku, tidaklah aku ketahui. Namun,
kehadiran rombongan peminangan daripada pihak Wan Syamril memang benar-benar
mengubah nasibku. Keluarga Haji Nik Dasuki dan Hajah Wan Maimun memang disegani
oleh orang-orang kampong kami.
Kini, aku bakal menjadi sebahagian daripada ahli
keluarga ternama itu. Dan apa yang lebih mengejutkanku, tempoh pertunangan kami
hanyalah dua minggu. Itu adalah atas permintaan Wan Syamril sendiri. Selepas
ini, aku bakal menjadi isteri Wan Syamril yang sah. Aku semakin gementar
menantikan hari yang bakal menjelang tiba. Mungkin kerana kegusaran ini,
peningku di kepalaku semakin menjadi-jadi.
“Roha, jadilah isteri yang baik. Hormatilah ibu dan
bapa mentuamu sebagaimana Roha menghormati ibu. Taatilah suamimu kerana
sekarang syurgamu berada di bawah
telapak kakinya. Maafkan ibu kerana tidak dapat lagi untuk menjaga kamu.”
Sekali lagi air mata ibu tumpah saat aku bakal bergelar isteri orang.
Patutlah dulu ibu pernah berkata yang ibu tidak dapat
bersamaku selalu dan menjagaku selepas ini. Rupa-rupanya ibu akan menyerahkan
aku kepada Wan Syamril dan keluarga Wan Syamril. Aku semakin takut. Dapatkah
aku menyesuaikan diri di dalam keluarga ternama itu?
“Maafkan ibu kerana tidak menunaikan hasratmu untuk melanjutkan
pelajaran. Kalau kamu ada pelajaran, tentu nasibmu akan lebih beruntung. Ibu
tidak pernah menyangka yang nasibmu akan semalang ini. Maafkan ibu, nak.” Ibu
masih saja bertangis-tangisan mengenangi untung nasibku yang entah bagaimanakah
kemudiannya nanti.
Namun bagiku, aku tetap bersyukur dengan nikmat yang
ALLAH S.W.T kurniakan ke atasku. Aku mensyukuri kehidupan yang ALLAH berikan.
Aku yakin akan wujudnya kasih sayang ALLAH terhadapku. Keyakinan dalam hati
yang kemudiannya kulafazkan dengan kata-kata dan kulaksanakan dengan amalan
serta patuh kepada larangan dan suruhan ALLAH walaupun pernah sekali aku
mengingkari perintahnya iaitu semasa aku mengikut Abang Mahadi bermalam di
hotel. Ah! Aku tidak ingin mengingati detik pahit itu lagi.
Ya Tuhan, aku pohon keampunan Mu. Terimalah taubatku
ya ALLAH. Aku ini hamba Mu yang zalim.
Perkahwinan kami dijalankan dalam suasana yang cukup
meriah di rumah keluarga Wan Syamril walaupun di rumahku tiada apa-apa sambutan
yang dibuat. Ini semua atas permintaan ibu Wan Syamril. Dia tidak mahu ada
tetamu atau ahli keluarganya yang tahu akan keadaan rumah kami. Rumahku kecil
tetapi inilah syurga buat aku dan ibu. Ibu tidak membantah. Dia lebih menurut
sahaja segala kata bakal besannya. Ibu yang amat mudah diuruskan. Tiada kata
tidak dalam dirinya. Apa yang disuruh, itu yang dibuat. Mungkin ibu tidak mahu
merumitkan lagi keadaan.
Hajah Wan Maimun menghantar seorang tukang jahit ke
rumahku untuk mengambil ukuran badanku. Semua pakaian persalinan pengantin kami
pun, Hajah Wan Maimun yang uruskan.
“Adik cantik tapi terlalu kurus. Perut sahaja yang
besar. Makan banyak sikit bagi berisi badan. Baru nampak lebih cantik masa majlis persandingan nanti,”
kata kakak tukang jahit itu. Aku hanya tersenyum. Kurus sangatkah aku ini?
“Kakak gurau saja. Adik jangan marah, ya?” sambung
lagi kakak tukang jahit itu. Mungkin dia risau apabila melihat aku hanya
berdiam diri. Memang aku tidak tahu mahu bercakap apa. Aku ini robot bernyawa.
Buat apa sahaja yang disuruh. Ibu sudah pesan, jangan banyak kerenah.
Fikirku, perjalananku ke rumah Wan Syamril adalah
terlalu mudah. Semudah
merintis jalan yang telah sedia terang. Tidak pernah kusangka, lorongnya amat
berliku sekali. Saat kumenangis kerana terpaksa meninggalkan ibu sendirian,
tidak pernah kusangka, aku akan menempuhi lorong yang lebih berliku dan
kerikilnya amat tajam.
Kedatanganku
tidak mendapat sambutan yang memberangsangkan. Wajah keruh Hajah Wan Maimun
tidak pernah jernih lagi meskipun Haji Nik Dasuki menampakkan sedikit
kemesraan. Keceriaannya pada hari perkahwinan kami tidaklah seceria dia hari
ini. Mungkin keceriaan dulu hanyalah palsu untuk menutup keresahan daripada
pandangan sanak-saudara dan jiran tetangga.
Aku
tidak tahu kenapakah aku dilayan sebegini rupa. Apakah salah dan dosa yang telah kulakukan? Deritaku
bermula saat pertama kali kulangkahkan kakiku ke ruang tamu rumah banglo dua
tingkat ini, hatiku direnggut kepedihan. Ujian yang besar bakal menantiku di
sini. Kumohon pada Tuhan, agar aku tabah menempuh semua ujian ini.
Sesungguhnya, aku tidak secantik Wan Empuk dan Wan
Malini dan aku juga tidak pernah mengharapkan pokok-pokok padiku berbuahkan
emas tetapi ibu mentuaku, cukuplah sekadar engkau menerimaku dan melayaniku
seperti manusia. Aku ini hanyalah manusia biasa dan bukanlah hamba abdi atau
kuda yang boleh kau tunggangi bila-bila perlu. Tanpa mengira masa dan ketika.
Tapi, itulah yang berlaku. Sewaktu Wan Syamril ada
bersamaku pun, mereka tetap menunjukkan riak tidak senang, apatah lagi saat Wan
Syamril terpaksa meninggalkanku untuk kembali ke kampusnya. Aku tidak minta Wan
Syamril berkorban hanya untuk menempatkan aku di rumah neraka ini.
Ibu tidak pernah melayaniku sebegini. Pada saat-saat
ini, aku amat mengharapkan kehadiran ibu. Entah apalah khabarnya ibu di rumah
sana. Aku menangis saat kusuapkan nasi ke mulut. Mungkin juga ibu sedang
menangis saat ini. Aku ingin bersama ibu semula. Aku rela dimarahi ibu daripada
terus dibelenggu kesedihan di dalam rumah ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan