Khamis, 23 Oktober 2014

MTD Bab 41





BAB 41
Aku bukan anak gadis yang lepas bebas bersosial ke sana ke mari. Aku dijaga ibu dengan sebaiknya tetapi aku membantah cakap ibu dalam diam. Ibu melarangku melayani lelaki tetapi dalam diam, aku ingkarinya.
Ibu tidak mengizinkan aku berbaik dengan Abang Mahadi tetapi aku degil. Apa yang ibu larang, itu yang aku buat. Apa yang ibu tegah, itu juga yang ingin aku cuba. Aku hanyut dan terpedaya dalam kemilau cahaya duniawi. Kalau aku turut kata ibu, tentu aku tidak jadi begini.
Oh, Tuhan. Apa guna kusesali takdir ini? Kalau tidak kerana Abang Mahadi, tentu aku tidak menghubungi Wan Syamril. Kalau aku tidak menghubungi Wan Syamril, tentu kami tidak ditangkap atas tuduhan berkhalwat. Kalau tidak kerana ditangkap, tentu aku tidak berkahwin dengan Wan Syamril.
“Ustazah, kalau kita pernah melakukan dosa besar, bolehkah kita rahsiakan daripada suami kita?” tanyaku agak ragu-ragu saat kuhantar Ustazah Sarifah ke keretanya yang diparkir di luar pagar. Ustazah muda ini merenungku agak lama.
“Emm…kalau rahsia itu jika didedahkan boleh memporak-porandakan rumahtangga, lebih baiklah disimpan sahaja. Tidak perlu diluahkan,” Ustazah Sarifah memberikan penjelasan.
“Apa yang boleh kita lakukan untuk membersihkan dosa itu?” Aku semakin berani untuk bertanya.
“Bertaubat! Bertaubat dengan taubat nasuha dan berjanji tidak akan melakukan perbuatan itu lagi. Lakukan solat sunat taubat, solat hajat dan perbanyakkan berzikir. Insya Allah, Allah akan membantu hamba-hambaNya yang meminta pertolongan dengan hati yang ikhlas kerana hanya Allah jua yang mengetahui segala isi hati hamba Nya. Wallahua’lam,” penjelasan Ustazah Sarifah kian kufahami.
“Bagaimana nak lakukan solat sunat taubat dan taubat nasuha itu, ustazah?” tanyaku lagi meskipun kami sudah tiba  di sisi pintu keretanya.
“Insya Allah, untuk sesi kuliah yang akan datang ustazah akan terangkan tentang cara-cara untuk bertaubat dan melakukan solat sunat taubat atau…mungkin kita boleh melakukannya bersama-sama nanti.” Aku jadi bimbang. Bukan niatku untuk memberitahu semua orang tentang dosa yang pernah aku lakukan.
“Roha jangan risau. Ustazah cuma nak selitkan dalam sesi pengajian kita sahaja. Ustazah tidak akan bongkarkan tentang perbualan kita ini kepada sesiapa pun. Lagipun solat taubat ini boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja,” ujar Ustazah Sarifah menenangkanku seolah-olah dapat membaca kemelut yang berkumandang di dalam jiwaku.
Mataku mula berkaca. Air mata bergenang di tubirnya. Kata-kata Ustazah Sarifah sangat terkesan di hatiku. Syukur pada Mu ya ALLAH. Kau utuskan insan semulia ini untuk kudampingi.
“Roha tak perlu sedih. ALLAH itu Maha Kaya dan ALLAH juga Maha Pengasih terhadap setiap makhluk yang diciptaNya,” kata-kata Ustazah Sarifah semakin meruntun perasaanku.
“Banyak dosa saya, ustazah. Takut tak terampun…” suaraku tersekat di situ. Aku tidak mampu untuk meneruskannya. Air mata yang berjuraian kukesat dengan hujung tudungku.
“Dah. Roha jangan menangis. Nanti orang nampak, tak elok. Roha menangis, mengadu dan minta ampun daripada ALLAH kerana ALLAHlah sebaik-baik tempat untuk kita mengadu. Insya ALLAH, ustazah akan tolong Roha setakat mana yang ustazah terdaya,” Ustazah Sarifah menepuk dan menggosok-gosok bahuku, lembut. Aku semakin sayup ditelan pilu.
“Ustazah balik dulu. Kalau ada apa-apa yang Roha nak tanya, Roha boleh telefon. Roha ada kan, nombor saya?” tanya Ustazah Sarifah. Aku mengangguk-anggukkan kepala, cuba mengimbangi perasaan sedihku.
“Kalau tidak pun, Roha boleh tunggu minggu depan. Insya ALLAH, ustazah datang lagi untuk majlis pengajian kita,” kata Ustazah Sarifah dan sebagai tanda meminta diri juga.
Aku menyalami tangan Ustazah Sarifah dan mengucupnya. Terasa damai berada di samping insan yang mulia dan beriman ini. Ustazah ini mungkin sebaya denganku atau lebih tua sedikit daripadaku tapi dia mahu kuanggapnya seperti kakakku juga.
“Roha kalau ada apa-apa masalah, bolehlah berkongsi dengan ustazah. Insya Allah, tiada masalah yang tidak dapat diselesaikan. ALLAH sentiasa ada dan memelihara hamba Nya. Jangan sombong untuk meminta dan mengadu pada ALLAH,” ujar Ustazah Sarifah seraya masuk ke dalam keretanya. Aku melepaskan pemergian ustazah dengan perasaan tenang.
Dunia ini ibarat bayanganmu sendiri. Ia meneduhi orang lain, tetapi kamu tetap terbakar  oleh bahang matahari. Kamu kejar  ia ke mana saja, ia terus menjauh walaupun ia seolah-olah dekat denganmu. Ia milikmu, namun tidak pernah menjadi satu denganmu. –Ibnu Qayum.

Tiada ulasan: