Rabu, 4 Jun 2014

MENGUAK TIRAI DERITA - Fragmen1 Bab 4



BAB 4
Waktu makan tengah hari itu, Abang Mahadi datang lagi. Datang bersendirian juga. Mungkin kerana dia ingin berbicara denganku. Dan dia masih mengulangi pelawaan yang sama dan aku masih juga belum punya jawapannya. Aku masih tercari-cari masa yang sesuai untuk meminta kebenaran ibu.
Berat benar mulutku untuk mendapatkan keizinan ibu apatah lagi aku sememangnya takut untuk menyatakan hasratku. Perasaanku kuat menyatakan bahawa ibu tidak akan membenarkan aku keluar malam. Bukan caranya membenarkan aku untuk menikmati suasana malam dan entah dengan siapa-siapa pula.
Aku rasa ingin memberontak. Aku ini sudah terlalu dewasa untuk menjaga diriku tapi ibu masih juga tidak mahu mempercayaiku atau membenarkan aku melakukan sesuatu yang menjadi kesukaanku. Bukanlah kesukaanku berpeleseran di tengah malam tetapi sekurang-kurangnya ibu perlu memberi aku peluang untuk bergaul dengan remaja sebayaku.
Selepas Abang Mahadi kembali ke kilangnya, aku membantu Kak Julie mengemas meja yang ditinggalkan para pelanggan apabila secara tiba-tiba aku disergah dari belakang.
“Hai, Roha.” Aku terkejut. Sepantas kilat, aku menoleh.
“Masyi,” aku turut sama terjerit memanggil namanya. Masyitah teman sekolahku yang sudah lama tidak kutemui selepas kami menamatkan tingkatan lima dua tahun lepas.
“Bila kau balik?” tanyaku sedikit teruja. Masyitah, sebaik sahaja mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM terus menerima tawaran untuk melanjutkan pengajian pada peringkat matrikulasi di UKM manakala aku yang juga mendapat keputusan cemerlang tetapi tidak dibenarkan ibu untuk meneruskan pengajianku.
Aku juga memohon untuk melanjutkan pelajaran dan menerima tawaran yang sama seperti Masyitah tetapi kata ibu, dia tidak punya wang untuk menyara yuran pengajianku walau pun telah kusuarakan hasrat untuk memohon bantuan baitulmal dan biasiswa. Ibu tetap menghalang dan meminta aku membantunya di gerai makan ini.
Kata ibu, aku tidak perlu belajar tinggi-tinggi. Aku kena belajar berniaga sepertinya. Hasil harian ibu juga agak lumayan dan sudah mampu untuk menampung hidup kami berdua. Ibu tidak mahu aku terlepas daripada pandangan matanya walaupun sedetik. Jiwa remajaku memberontak tapi aku tidak mampu untuk berbuat apa-apa.
Disebabkan pelanggan tidak begitu ramai di gerai kami, ibu tidak menghalang aku untuk terus berbual-bual dengan Masyitah. Kak Julie yang mengambil pesanan daripada pelanggan yang datang.
“Masyi, malam ni engkau ada program apa?” tanyaku tiba-tiba.
“Aku nak keluar makan di bandar. Aku dah janji dengan Wan Syamril,” sahut Masyitah dalam nada yang cukup untuk membuatkan aku rasa teramat cemburu. Wan Syamril adalah rakan sekolah kami dahulu. Kami sama-sama bersaing untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM dan kami berjaya memperolehnya.
Wan Syamril juga pernah menaruh hati padaku. Aku tahu lewat pertemuan dan surat-suratnya kepadaku dahulu malahan surat-surat itu masih ada dalam simpananku hingga kini. Kami pernah bercinta. Cinta zaman remaja. Cinta di alam persekolahan dan paling manis untuk dikenang walaupun luka yang Wan Syamril tinggalkan masih belum sembuh.
Masyitah juga tahu tentang perhubungan kami tetapi itu semua adalah cerita lama. Wan Syamril tidak lagi sudi untuk berteman denganku apabila aku hanya memerap sahaja di kampong sebaik sahaja keputusan SPM diumumkan. Aku sedar siapa diriku, tiada segandingan dengan mereka berdua.
Perasaannya kini beralih arah kepada Masyitah. Mungkin kerana mereka sama sepadan. Masyitah di UKM manakala Wan Syamril di UM, tiga tahun lagi mereka bakal bergelar siswazah. Hubungan dua sejoli yang mendapat restu daripada kedua belah pihak. Malahan, Masyitah  bebas untuk keluar bersama Wan Syamril tanpa sebarang halangan daripada ibu bapanya sedangkan aku masih sahaja takut-takut untuk mendapatkan kebenaran ibu. Aku semakin cemburu.
“Roha, kau tak keluar ke mana-manakah malam ini?” Masyi seakan cuba mempermainkan perasaanku. Aku rasa dia tahu akan kekecewaan hatiku yang sengaja kulindungi.
“Aku nak keluar juga. Nak tengok wayang,” ujarku tidak mahu  mengalah lebih-lebih lagi apabila aku teringatkan pelawaan Abang Mahadi. Terbeliak mata Masyi memandangku, mungkin kurang percaya agaknya.
“Dengan siapa?” Luahan pertanyaan tidak percayanya dilontarkan.
“Adalah…” aku masih sahaja ingin berteka-teki. Sebenarnya, sengaja ingin buat dia cemburu padaku walaupun aku tidak punyai apa-apa kelebihan berbanding Masyitah.
“Kalau begitu, kita keluarlah sama-sama. Aku nak berkenalan dengan teman lelaki engkau,” cadang Masyitah. Tiba-tiba sahaja aku terasa berat untuk memperkenalkan Masyitah kepada Abang Mahadi. Aku tidak mahu peristiwa lama berulang kembali.
Dulu, sewaktu aku masih bersama Wan Syamril, Masyitahlah teman kami yang paling akrab. Dia menyimpan segala rahsia kami berdua. Dia keluar bersama-sama kami sewaktu aku dan Wan Syamril ada temu janji. Dia menjadi penjaga sewaktu kami bermesra di balik rimbunan pokok bunga raya di Taman Rakyat.
Dia rela menunggu sehingga kami selesai berbicara sambil menampar nyamuk dan agas yang hinggap di kaki dan lengannya. Aku percayakan dia. Terlalu percaya. Dan lihatlah apa yang telah dia lakukan di atas kepercayaanku itu. Dia  merampas Wan Syamril daripadaku. Dia  menabur garam di atas luka pedih yang ditinggalkan Wan Syamril. Malahan aku pernah berjanji untuk tidak bertemunya lagi.
Tetapi tiba-tiba sahaja hari ini iaitu setelah dua tahun tidak bertemu, dia berani datang untuk bertemuku. Dan yang anehnya, aku pula tidak langsung punya perasaan marah terhadapnya. Aku gembira dapat bertemu dengannya kini dan yang lebih menggembirakanku, aku akan punya alasan untuk menerima pelawaan Abang Mahadi.
Setelah Masyi berlalu pergi, aku menghampiri meja kaunter ibu.
“Ibu, malam nanti Roha nak ke rumah Masyi. Boleh kan, bu,” pintaku melunakkan suara. Ibu merenungku lama. Ibu memang tahu, Masyitah teman rapatku sejak di bangku sekolah lagi. Cuma yang ibu tidak tahu ialah aku pernah bersengketa dengan Masyitah kerana berebutkan kasih seorang lelaki.
Ibu mengangguk-anggukkan kepalanya perlahan-lahan, “Tapi, balik cepat, ya.” Ah, alangkah bahagianya kerana ibu mengizinkan aku keluar malam.
“Terima kasih, bu.” Ingin sahaja aku melonjak setinggi bumbung gerai makan ibu tapi perasaan teruja itu tetap cuba kuredakan sebaik mungkin. Aku tidak mahu terlalu menonjolkan kerianganku yang berlebihan di hadapan ibu.
Sewaktu Abang Mahadi tiba untuk minum petang bertemankan Abang Mustafa, dia merenungku, lama. Aku yang berada di tempat membancuh minuman mengangguk-anggukkan kepalaku, perlahan. Abang Mahadi menerima isyaratku sambil tersenyum dan mengenyitkan matanya.
“Apasal senyum-senyum ni?” tegur Kak Julie sambil menyinggung bahuku dengan bahunya.
“Haa…tak ada apa-apa, kak.” Aku terkejut disergah begitu. Kak Julie ni memang sengaja hendak beri serangan jantung padaku.
“Ada rahsia apa ni?” serkap Kak Julie, masih sahaja ingin mengorek rahsia. Aku tetap sahaja tersenyum-senyum. Memang aku ada rahsia yang besar tapi aku tidak bermaksud untuk berkongsi rahsia ini dengan Kak Julie. Biarlah rahsia ini terus menjadi rahsiaku. Kalau sudah ada orang ketiga yang mengetahuinya, sudah pasti rahsia itu sudah tidak menjadi rahsia lagi.
“Tak nak kongsi dengan akak, heee?” rajuk Kak Julie sambil tangannya terus lincah membasuh cawan yang sudah digunakan pelanggan. Aku tertawa kecil.
“Tak ada rahsia apanya, kak,” sahutku, tidak mahu Kak Julie terus bertanya.
“Bercinta itu indah. Langit dan bumi kita yang punya. Orang lain di depan mata pun kita tak nampak. Yang nampak hanya si dia sahaja,” usik Kak Julie lagi. Orang yang pernah punya pengalaman dalam bercinta.
Aku dilamun cinta? Betulkah? Oh, alangkah indahnya rasa ini. Rasa disayangi dan rasa dihargai. Rasa yang sukar untuk dizahirkan dengan kata-kata.
“Haaa…dah mula senyum sorang-sorang lagi tu.” Kak Julie masih sahaja mahu menyakatku.
“Pandai-pandai ajelah akak ni,”  aku menurunkan nada suaraku, tidak mahu mempamerkan riak kegembiraan yang berlebihan.
“Tak nak kongsi tak apa. Nanti akak tahu juga,” kata  Kak Julie sambil berlalu pergi kerana ada sekumpulan pelanggan yang sedang mengambil tempat di meja bersebelahan meja Abang Mahadi. Aku tersenyum lagi sambil mencuri-curi pandang ke arah Abang Mahadi.
Entahlah, mungkin aku tidak akan berkongsi rahsia ini dengan Kak Julie sampai bila-bila. Hehehe…boleh percayakah? Dulu pun, sewaktu Abang Mahadi menyuarakan hasratnya untuk menjadikan aku sebagai teman istimewanya, aku berjanji untuk merahsiakannya daripada pengetahuan Kak Julie.
Tapi, lihatlah. Aku tidak betah untuk menyimpan kegembiraan itu bersendirian. Tidak sampai dua minggu Abang Mahadi meluahkan rasa hatinya, Kak Julie telah kukhabarkan berita itu. Aku yang memang tidak pandai menyimpan rahsia. Tengoklah, selama mana pula aku boleh menyimpan rahsia ini.

Tiada ulasan: