Sinopsis
Cerita ini mengandungi tiga fragmen. Fragmen pertama
berkisar tentang kisah hidup Roha bersama ibunya manakala fragmen kedua pula
kisah Maslinda yang cuba membela nasib Wan Jamilah iaitu anak Roha yang
mengandung anak luar nikah akibat perbuatan ayah tirinya dan fragmen ketiga
tentang perjalanan hidup Fahmi, Doktor Mahadi dan keluarga mereka.
Cerita ini dimulai dengan prolog iaitu
kisah bagaimana Maisarah dan Zulkifli berpisah. Maisarah dan Zulkifli memiliki
dua orang anak iaitu Roha dan Fahmi. Leftenan Zulkifli hilang semasa operasi
menentang penceroboh di perbatasan negara. Ibu dan bapa mentua yang tidak
menyukai Maisarah telah menghalaunya dan anak kecilnya, Roha manakala Fahmi
pula diambil untuk tinggal bersama mereka.
Fahmi membesar dengan perasaan dendam yang
dipendamkan. Apabila dewasa, dia cuba menjejaki ayah, ibu dan adik kandungnya.
Maisarah pula memelihara Roha dengan berniaga kecil-kecilan tanpa memberitahu
Roha tentang sejarah keluarga mereka.
Roha berkenalan dengan seorang lelaki iaitu
Mahadi yang bekerja sementara di kilang sarung tangan berhampiran gerai ibunya
berniaga. Mahadi yang berjanji untuk mengahwininya telah meninggalkan Roha
secara tiba-tiba setelah gadis itu dinodai.
Roha mengandung akibat keterlanjurannya
dengan Mahadi dan dia dikahwini oleh Wan Syamril tanpa dirancang. Roha tidak
begitu disukai oleh kedua mentuanya tetapi kerana sikapnya yang baik telah
berjaya melembutkan hati keduanya. Malang menimpa apabila suaminya, Wan Syamril
mengahwini gadis lain tanpa pengetahuan Roha dan Roha diceraikan sebaik sahaja
anak ketiganya dilahirkan.
Wan Syamril kembali ke rumah ibu bapanya
yang turut didiami Roha dengan membawa isteri mudanya. Wan Syamril yang selalu
mabuk dan sesekali masih mengingini Roha telah menodai Wan Jamilah. Wan Jamilah
mengandung akibat perbuatan Wan Syamril.
Ibu Roha, Maisarah meninggal dunia dalam
satu kemalangan di gerainya dan Roha kembali ke rumah lama mereka bersama
anak-anaknya. Seorang guru, Maslinda
bersimpati dengan nasib yang menimpa Wan Jamilah dan cuba membantu gadis itu
untuk menduduki peperiksaan PMRnya.
Manakala Fahmi, tidak berputus asa dalam
usahanya mencari keluarganya kembali. Setelah pelbagai onak dan duri ditempuhi,
akhirnya mereka bertemu kembali ; Fahmi, Roha dan Zulkifli di pusara Maisarah.
Semuanya ada di dalam MENGUAK TIRAI DERITA.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan